Mengejutkan bila sidang media MH370 oleh DCA dibatalkan

Thursday, January 29, 2015

Mengejutkan bila sidang media MH370 oleh DCA dibatalkan

Wartawan dan orang ramai yang menanti sidang media daripada Jabatan Penerbangan Awam (DCA) yang dijadualkan berlangsung jam 3.30 petang tadi menerima khabar mengejutkan apabila ia dibatalkan.

Sidang media yang amat dinanti-nanti tersebut sepatutnya disampaikan oleh Ketua Pengarah DCA, Datuk Azharuddin Abdul Rahman dan antara perkara yang dijangka akan disampaikan adalah mengenai situasi terkini misi pencarian pesawat Penerbangan Malaysia MH370.

Pengumuman itu dibuat sekitar jam 4.05 petang di Dewan Serbaguna DCA di Putrajaya di hadapan ratusan media dan juga beberapa waris keluarga penumpang.

Sementara itu, di studio Astro AWANI, bekas pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia, Kapten (B) Abdul Rahmat Omar Tun Mohd Haniff yang sedang menjadi panel undangan dalam program Buletin AWANI Khas memberitahu, pembatalan sidang media itu amat mengejutkan.

“Sidang media ini dikendalikan oleh sebuah jabatan kerajaan. Jika tidak bersedia, jangan diumumkan atau memanggil wartawan. Kalau dah bersdia betul-betul, jangan batalkan.

"Ini menjejaskan pengurusan persepsi memandangkan berita ini dinanti-nanti oleh seluruh rakyat Malaysia malah komuniti di seluruh dunia,” ujar beliau.

Abdul Rahmat Omar khuatir ia akan membawa lebih banyak cemuhan terhadap negara ini khususnya daripada komuniti antarabangsa.

Keluarga kecewa

Pada masa yang sama, Jacquita Gonzales, isteri kepada penyelia pesawat Patrick Francis Gomes, menzahirkan rasa kecewanya.

"Daripada anggota keluarga kru kabin, ini sekali lagi suatu roller-coaster (emosi). Apa sahaja yang anda hendak umumkan, tolonglah berikan kami ketenangan. Beritahu kami, jangan berdolak-dalik," luahnya.

Jacquita juga memberitahu, pengumuman deklarasi kehilangan tidak akan mengubah apa-apa walaupun dari sudut lain dapat membantu keluarga mangsa khususnya mengenai tuntutan insurans.

Namun sebelum itu, dia mahu dijelaskan tentang maksud 'hilang'.

"Jelaskan pada saya maksud 'hilang', barulah tanya apa perasaan saya. Saya pasti suami saya mahu pulang. Sesiapa sahaja yang tersasar arah mahu pulang." katanya sebak.

Dalam perkembangan terkini, Bernama memetik bahawa Ketua Pengarah DCA bakal mengeluarkan kenyataan mengenai MH370 pada jam 6 petang ini.


~ Awani

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI