Raja Abdullah Abdulaziz: Antara tokoh paling berpengaruh di dunia

Friday, January 23, 2015

Raja Abdullah Abdulaziz: Antara tokoh paling berpengaruh di dunia

Raja Abdullah yang dilahirkan pada 1 Ogos 1924 ditabalkan sebagai Raja Arab Saudi sejak 1 Ogos 2005 hingga kemangkatannya pada 22 Januari 2015 akibat penyakit radang paru-paru. Baginda adalah anak ke-10 Raja Abdulaziz.

Baginda mengambil alih takhta pemerintahan keluarga berpengaruh dalam dunia Arab itu selepas kemangkatan abang tirinya, Raja Fahd.

Menurut Majalah Forbes, pada tahun 2013, Abdullah adalah antara individu paling berpengaruh di dunia dan berada pada kedudukan ke-8 di peringkat global.

Abdullah, seperti mana bekas Fahd, adalah seorang daripada anak lelaki Ibnu Saud, pengasas negara moden Arab Saudi. Baginda memegang banyak jawatan politik sepanjang hayatnya.


Pada 1961, baginda dipilih sebagai Datuk Bandar Makkah, pejabat awam pertamanya dan pada 1962, dilantik sebagai komander Pengawal Kebangsaan Arab Saudi, jawatan yang masih dipegangnya walaupun selepas ditabalkan sebagai Raja.

Baginda juga memegang jawatan sebagai timbalan menteri pertahanan dan ditabalkan sebagai Putera Mahkota apabila Raja Fahd mengambil alih takhta pemerintahan pada 1982.

Selepas Raja Fahd diserang strok pada 1995, Abdullah menjadi pemerintah 'de facto' atau sementara Arab Saudi sehingga mengambil alih pemerintahan itu sedekad kemudian.

Ketika pemerintahannya, baginda mengekalkan hubungan rapat dengan Amerika Syarikat dan Britain serta membeli peralatan pertahanan bernilai bilion dolar daripada kedua-dua negara selain memberi wanita hak untuk mengundi dan bertanding dalam sukan Olimpik.

Selain itu, baginda masih mempertahan kerajaan walaupun berlaku gelombang bantahan besar-besaran ke atas pemerintahan beraja itu ketika Kebangkitan Arab atau 'Arab Spring.' Pada bulan November 2013, satu laporan BBC turut mendakwa Arab Saudi mungkin memperoleh senjata nuklear pada bila-bila masa dari Pakistan berikutan hubungan sekian lama antara kedua-dua negara.

Raja Abdullah hidup lebih lama berbanding dua putera mahkota Arab Saudi sebelum ini iaitu Menteri Dalam Negeri Nayef bin Abdul Aziz Al-Saud yang dinamakan sebagai pewaris takhta ketika kemangkatan Sultan bin Abdulaziz pada Oktober 2011, namun Neyef sendiri mangkat pada Jun 2012. Abdullah kemudian menamakan menteri pertahanan, Salman bin Abdulaziz Al Saud yang berusia 76 tahun ketika itu sebagai putera mahkota.

Menurut laporan tahun 2001, Abdullah memiliki empat isteri, tujuh anak lelaki dan 15 anak perempuan. Anggaran kekayaan baginda adalah AS$18 bilion (RM64.61 bilion), menjadikannya individu ketiga paling kaya di dunia. - Agensi

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI