QZ8501:BASARNAS tetap terus usaha cari mayat mangsa QZ8501

Wednesday, January 28, 2015

BASARNAS tetap teruskan usaha cari mayat mangsa QZ8501
 
Usaha mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan 92 lagi baki mayat mangsa nahas pesawat Airasia Indonesia Penerbangan QZ8501 akan diteruskan walaupun tiada lagi pembabitan pihak berkuasa lain seperti Tentera Nasional Indonesia (TNI).

Ketua Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS), Bambang Soelistyo, berkata penarikan diri TNI tidak ada kaitan dengan tindakan memberhentikan operasi seperti yang dilaporkan media.

"Sepanjang saya selaku penyelaras usaha mencari dan menyelamat, belum dinyatakan ditutup. Maka operasi pencarian masih tetap berlanjut," katanya dalam sidang akhbar yang disiarkan secara langsung menerusi siaran televisyen MetroNews di sini, hari ini.

Bambang berkata, kekuatan BASARNAS tidak lemah walaupun tanpa pasukan TNI kerana BASARNAS turut mempunyai sistem pencarian seperti alat pencarian di bawah air dan sedang diusahakan oleh kapal milik SKK Migas.

Katanya, BASARNAS memberikan tempoh dua hari untuk pasukan SAR berehat selepas bekerja selama sebulan di tengah laut.

Usaha mencari pesawat Airasia memasuki hari ke-31. Penerbangan QZ8501 itu hilang daripada imbasan radar pada 28 Dis lepas semasa dalam penerbangan ke Singapura dari Surabaya, Indonesia bersama 155 penumpang dan tujuh anak kapal.

Pesawat malang itu terhempas di perairan Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah, Indonesia.

Setakat ini, usaha mencari dan menyelamat telah menemukan 70 mayat dan daripada jumlah itu, 55 mayat telah dikenal pasti dan diserahkan kepada waris masing-masing.

BASARNAS kini akan menumpukan usaha mencari mayat dan tidak lagi menjalankan kerja-kerja mencari bangkai pesawat berkenaan.

Pihak berkuasa juga sudah memulakan siasatan kejadian selepas menemui kotak hitam pesawat minggu lalu dan sudah menaikkan badan pesawat itu yang terbenam dalam dasar laut di Selat Karimata di Laut Jawa dua hari lalu.

- BERNAMA


0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI