Sedia hadapi Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) - PM

Friday, December 02, 2011

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini meniupkan semboyan kepada seluruh ahli dan kepimpinan UMNO dengan menegaskan masa dan waktunya sudah tiba untuk mereka turun bertempur di gelanggang Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Mengungkapkan demikian pada akhir Ucapan Dasar Presiden di sini, Presiden UMNO berkata, dalam sistem demokrasi, tidak ada tempat kedua sebaliknya UMNO wajib menjadi juara.


Menurut beliau, biar berdepan apa pun dugaan, orang UMNO mesti terus berdamping dengan rakyat.

“Ayuh, rapatkan saf, nyalakan jamung, gigitlah kuat-kuat perjuangan ini dengan geraham kita.

“Palulah genderang perang, palulah ia tabuh-tabuhan dan tiupkanlah semboyan. Masanya sudah hampir, waktunya sudah tiba. Bingkaslah orang-orang UMNO, kita turun ke medan bakti,” kata beliau.

Dalam ucapan selama sejam itu, Najib berkata, parti akan menempah tragedi jika ia masih gagal memahami dan menghayati faktor-faktor yang menjadi ‘game changer’ atau peneraju cara baru kepada landskap politik nasional.

Pada masa sama, parti berdepan risiko jika tidak pula mengambil langkah merangka semula gerakan terancang.

“Apakah yang dimaksudkan dengan game changer ini? Pertamanya ialah realiti baru. Jika UMNO tidak memahami realiti baru lanskap politik nasional, bagaimana UMNO dan BN mahu berjaya?

“Keduanya, media baru. Mahu tidak mahu, suka tidak suka, UMNO harus menguasai media baru kerana hari ini, detik ini, ia mampu menentukan kemenangan atau kekalahan.

“Ia berupaya mendatarkan “the playing field” atau ia turut boleh menjadikan satu pertarungan itu tidak setara,” kata beliau.

Memenuhi maksud dan menjiwai realiti baru juga, kata beliau, UMNO tidak boleh hanya sekadar hebat bertempur dalam pertarungan lalu.

“Kita semestinya juga menjadi juara dalam berperang di medan laga terkini,” katanya.

Ketiga, kata Najib, UMNO juga harus menghayati pemikiran baru yang ada di kalangan semua segmen pengundi bagi menarik sokongan mereka.

Kata beliau: “UMNO tidak boleh bersikap atau sekalipun dilihat sebagai bersikap angkuh lagi sombong. Jika tidak, para pengundi dan rakyat akan benci dan menjauhi kita.”

Beliau mengingatkan bahawa jasa UMNO yang memberi kemakmuran kepada rakyat negara ini seolah-olah hendak dipadam terus dari helaian sejarah oleh pembangkang.

“Mereka tanpa malu dan segan, gah mendakwa bahawa UMNO langsung tiada budi atas kehidupan mereka. Kalau benarlah begitu, siapakah yang mengubur Malayan Union? Siapa yang memenangi kemerdekaan secara aman? Kalau bukan parti bertuah ini.

“Mengatasi semua persoalan ini, kata orang, kalau mandi air di kali, jangan lupa pada siapa yang menggalinya. Kerana bukankah UMNO yang menjadi induk, mencipta kemakmuran?,” katanya.

Kata Presiden UMNO: “Ini tidak, belum lagi berkuasa, sudah ibarat kaduk naik junjung. Ibarat lidah tidak bertulang, katanya mahu membuang separuh dari penjawat awam kalau sudah berkuasa.

“Apa maksud mereka mahu membuang lebih 200 ribu orang guru? Siapa yang mahu mengajar anak-anak kita? Bukan semua yang mampu menghantar anak ke sekolah-sekolah swasta.”

Tidak cukup dengan itu, kata beliau, pembangkang juga mahu menamatkan khidmat separuh doktor dan jururawat sedangkan tidak semua rakyat Malaysia mampu mendapatkan rawatan di hospital-hospital swasta.

“Mahu diberhentikan separuh tentera dan polis? Lalu, pada siapa hendak diharap untuk membenteng keselamatan kita dan keluarga?,” katanya.

Kata beliau: “Inilah nasib yang akan melanda, jika UMNO sudah hilang kuasa, siapa yang akan membela syiar Islam? Siapa yang mampu membela hak umat dan agenda orang Melayu? Siapa pula yang dapat terus memuliakan Raja-Raja kita? Tepuklah dada, tanyalah jawapan.” ~ Utusan

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI