Azam Tahun Baru Paling Popular

Thursday, December 29, 2011

Apa Azam Tahun Baru 2012 anda?

Setiap kali menjelang tahun baru, ramai yang mula memasang azam baru. Ada juga azam di tahun lalu terpaksa dibawa ke tahun baru kerana masih belum dicapai. Ada juga yang bertekad mahu memulakan kehidupan baru di tahun baru yang lebih segar dan melupakan kisah lalu.

Apa-apa pun, tahun baru disambut dengan penuh harapan.

Azam Tahun Baru 2012

Di sini ada beberapa azam yang sangat popular setiap kali tiba tahun baru.

1. Azam mahu kaya dan berjaya
Ini azam yang paling popular. Ramai yang memasang niat untuk menjadi lebih kaya dan berjaya tidak kiralah dalam bisnis atau karier. Sekiranya bekerja di pejabat, kita memasang angan untuk naik pangkat. Jika menceburi bidang bisnes, kita mahu bisnes kita bertambah maju, berkembang dan mendatangkan lebih keuntungan.

2. Azam mahu kurus dan cantik
Ini azam yang popular di kalangan wanita yang sentiasa mahu menjaga penampilan. Bagi yang gemuk, pasti memasang azam untuk jadi kurus dan langsing. Mungkin minum jus langsing, menjaga pemakanan yang lebih baik dan melakukan senaman. Bagi yang merasakan diri tidak menarik, sudah pasti tahun baru ini mereka mahu mengubah penampilan dan gaya agar lebih nampak cantik seiring trend terkini. Belajar bersolek, teknik memakai tudung dan pelbagai ragam lagi.

Bagi orang lelaki, yang badan kurus pula mungkin berazam untuk tegapkan badan di gym supaya kelihatan sasa dan bergaya.

3. Azam mahu jaga kesihatan
Bagi yang mula sakit-sakit, tentulah berazam untuk memulakan gaya hidup yang lebih sihat dengan pemakanan sihat dan seimbang, mengurangkan gula dan merajinkan diri melakukan senaman seperti jogging.

4. Azam berhenti merokok
Azam ni paling kronik di kalangan perokok tegar kerana bukan mudah untuk berhenti merokok. Perlu keazaman diri yang tinggi bagi mengotakan azam yang satu ini. Ramai yang kecundang jika hanya berazam tetapi tiada ketahanan mental untuk berusaha berhenti merokok.

5. Azam mahu mencari cinta
Samada mahu mencari cinta baru bagi menggantikan cinta lama atau benar-benar mahu jatuh cinta buat kali pertama! Ramai di kalangan orang muda memasang impian ini dan mengharapkan tahun baru membawa tuah buat diri mereka dalam menemui cinta sejati!

6. Azam mahu berkahwin
Jika yang dah ada buah hati, tahun baru mungkin difikirkan sesuai untuk mendirikan rumahtangga. Azam mereka tentulah nak mencari duit sebanyak mungkin untuk persiapan perkahwinan dan persediaan berumahtangga.

7. Azam mahu melancong ke destinasi impian
Ramai yang berimpikan untuk melancong ke luar negara. Jadi, mereka berazam untuk menyimpan duit bagi merealisasikan impian ini. Melancong perlu dirancang dengan teliti supaya tidak timbul masalah.

8. Azam mahu mencari kerja
Bagi penganggur, tahun baru diharapkan dapat membawa tuah bagi diri mereka dalam pencarian kerja. Kerja kosong sebenarnya banyak tetapi kerja yang sesuai dengan minat dan kelulusan kita yang payah dicari. Bagi yang sudah ada kerja, mungkin berazam untuk bertukar bidang kerja yang lebih baik untuk masa depan.

9. Azam mahu menabung
Setiap tahun asyik timbul masalah kewangan. Kali ini, ramai yang berazam untuk menabung dan menyimpan wang untuk masa depan. Ada yang mula mencari instrumen pelaburan yang sesuai bagi menabung. Awas! Jangan terjebak skim cepat kaya. Berjimat cermat dan tidak boros adalah amalan yang murni bagi merealisikan azam menabung anda.

10. Azam mahu membayar hutang
Dalam hidup sekarang dengan pelbagai keperluan dan kehendak, amat sukar untuk tidak terjebak dalam hutang. Antaranya hutang rumah, kereta dan kad kredit. Jadi, ramailah yang berazam untuk membayar hutang dengan lebih baik dan sekaligus mengurangkan hutang yang membebankan.

11. Azam meluang lebih masa dengan keluarga
Individu yang sibuk dengan kerja, pasti ada rasa bersalah kerana sering tiada waktu untuk keluarga atau anak-anak. Jadi, luangkan lebih banyak masa berkualiti dengan keluarga adalah satu azam yang baik.

12. Azam mahu skor dalam peperiksaan
Bagi pelajar, sudah tentu azam ini paling kerap didengar. Tak kisah lah UPSR,PMR, SPM atau peperiksaan universiti dan sebagainya. Skor cemerlang dalam exam adalah satu azam yang paling popular!

13. Azam mahu berubah perangai jadi lebih baik
Mereka yang pernah berbuat dosa atau kesilapan silam atau mempunyai tabiat yang tidak elok, pasti mahu membetulkan diri mahu menjadi individu yang lebih baik. Mendekatkan diri dengan Tuhan atau membuang ego dengan mengubah perangai yang tidak molek!

Okaylah, ini hanya beberapa azam yang popular. Saya pasti ada banyak lagi azam samada yang biasa atau yang pelik-pelik dipasang anda!!

Selamat tahun baru 2012!! Semoga anda mencapai azam tahun baru anda dengan jaya!!

~ Damia Dyayuni

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI