Muhammad Afieq Haziq, 3, parah akibat betis kanannya digigit seekor siamang hingga terkoyak dan menampakkan tulang ketika melawat Zoo Melaka di Ayer Keroh di sini, kira-kira jam 2.30 petang, kelmarin.
Difahamkan kejadian itu berlaku selang 15 minit selepas haiwan sama menggigit kaki kanan seorang kanak-kanak perempuan, Nurul Zukrina Abdul Hadi, 5, yang berkunjung ke zoo itu sempena cuti sekolah bersama keluarganya dari Pekan, Pahang.
Difahamkan juga kanak-kanak terbabit hanya luka kecil dan menerima tiga jahitan di Hospital Melaka (HM) sebelum dibenarkan pulang. Bapanya enggan ditemu bual berhubung kejadian itu.
Menurut Kamarul, kejadian itu disedari isterinya yang menjerit kuat apabila melihat siamang berbulu hitam, seberat kira-kira 38 kilogram itu menggigit kaki anak keenam daripada tujuh beradik itu.
Katanya, mereka sekeluarga singgah di Zoo Melaka kira-kira jam 12.30 tengah hari.
“Apabila sampai di kawasan siamang itu, kami lihat ramai pengunjung dan saya mendukung Muhammad Afieq sambil diikuti lima anak lain serta isteri yang turut mendukung anak bongsu kami.
“Saya sangka siamang itu jinak kerana tiada papan tanda amaran atau petugas zoo berkawal di kawasan itu. Malah, haiwan itu kelihatan tidak bahaya dan melompat-lompat sambil mengejar pengunjung lain sebelum dia berhenti seketika.
“Ia kemudian berada di kiri saya dan tiba-tiba terus berpusing. Saya tak perasan pada mulanya, namun isteri menjerit kuat mengatakan kaki anak kami digigit dan serentak itu anak menangis kuat,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka kira-kira jam 1 pagi, semalam.
Kamarul berkata, serentak itu dia memegang kepala siamang itu dan cuba mengerak-gerakannya, namun haiwan itu enggan melepaskan gigitannya.
“Saya yang terperanjat jadi panik dan tidak berani menyentap kepala siamang itu kerana bimbang luka pada betis anak lebih parah. Seorang pengunjung lelaki pantas menyepak badan siamang itu hingga gigitannya tercabut dan saya terus mencampaknnya sekuat hati.
“Dalam keadaan anak menangis dan darah keluar dengan banyak hingga mengenai baju dan seluar, saya berlari ke arah kaunter tiket sejauh kira-kira 1.5 atau dua kilometer untuk mendapatkan bantuan sambil menjerit meminta pengunjung ke pejabat pentadbiran.
“Petugas zoo muncul memberi bantuan dengan mencuci dan membalut luka anak saya sebelum kami dibawa ke klinik kesihatan berdekatan,” katanya yang tinggal di Taman Seri Andalas, Klang, Selangor.
Menurutnya, dia kesal kerana mendakwa tiada petugas zoo di tempat haiwan itu untuk memberi sebarang bantuan kepada pengunjung ketika kecemasan.
“Sewajarnya ada petugas di setiap lokasi haiwan berkenaan supaya mudah orang ramai yang mengalami kecemasan mendapatkan bantuan. Bagaimanapun, saya berterima kasih kepada pihak zoo yang membantu membawa anak ke klinik kesihatan dan seterusnya ke HM untuk rawatan,” katanya.
Menurutnya, setiba di wad kecemasan, anaknya diperiksa dan dirawat doktor sebelum menjalani pembedahan selama tiga jam bermula jam 9 pagi dikendalikan pakar bedah tulang dan pakar bius.
“Alhamdulillah anak saya makin sembuh dan doktor memberitahu dia perlu rawatan susulan setiap hari sehingga benar-benar sembuh. “Selepas itu anak saya perlu menjalani fisiotrapi supaya dapat berjalan seperti sedia kala,” katanya yang merancang memindahkan anaknya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang.
Sementara itu, isterinya, Anita Leman, 35, berkata kejadian itu menyebabkan mereka sekeluarga mengalami trauma yang teruk.
“Sampai tujuh keturunan saya tidak akan bawa anak ke mana-mana zoo,” katanya.
0 Komen:
Post a Comment