Petronas disaran tak ambil tindakan terhadap ibu bapa Ariff Alfian

Sunday, December 18, 2011

Pengerusi Biro Aduan Komuniti Pemuda UMNO, Datuk Muhd. Khairun Aseh menyarankan agar Petronas tidak mengambil tindakan saman terhadap ibu bapa bekas pelajar perubatan University College Dublin (UCD) yang dilaporkan hilang, Ariff Alfian Rosli, 28, kerana gagal melunaskan hutang pengajiannya.

Sebaliknya, menurut beliau, tindakan itu perlu dikenakan terhadap Ariff sahaja kerana beliau telah mempunyai kehidupan sendiri dan berada dalam keadaan selamat di Dublin, Ireland seperti dilaporkan pihak kedutaan.

"Diharapkan Petronas dapat mengkaji terlebih dahulu sebelum mengambil tindakan undang-undang terhadap keluarga Ariff bagi menuntut wang pengajian berjumlah lebih RM890,000 daripada mereka sebagai penjamin pertama.

"Kita akan membincangkan perkara ini bersama Petronas sekembalinya dari United Kingdom (UK) selepas bertemu Ariff nanti," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Bekas pelajar tajaan Petronas yang dilaporkan hilang oleh keluarganya itu disahkan berada dalam keadaan selamat oleh Duta Malaysia ke Ireland, Datuk Ramli Naam.

Menurut Ramli, pihak kedutaan maklum tentang kehadiran Ariff di negara itu sejak beliau masih dalam pengajian di UCD lagi.

Bagaimanapun, pihak kedutaan dan Wisma Putra tidak boleh mendedahkan maklumat terperinci bekas pelajar tajaan Petronas itu kerana menghormati Akta Data Perlindungan Peribadi Dublin.

Mengulas mengenai misinya ke UK pada 23 Disember ini, Muhd. Khairun menjelaskan, beliau akan membawa surat amanat dan pesanan ibu Ariff serta gambar-gambar keluarga dalam usaha memujuknya kembali ke pangkuan keluarga.

"Kami akan cuba sedaya upaya untuk memujuknya kerana dari segi moralnya Ariff tidak sepatutnya memutuskan hubungan keluarga, apatah lagi membebankan mereka dengan hutang.

"Malah dia juga telah mengecewakan Petronas yang diketahui tidak mudah untuk memberi tajaan kepada pelajar bagi menyambung pelajaran,'' ujarnya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI