K-Pop: Boyfriend grup rookie terbaik

Saturday, December 17, 2011

Dalam lambakan bakat baru ini, bukan semua yang mampu menyerlah, sebaliknya banyak yang tersungkur sebelum bermula. Jadi, apa yang diperlukan grup baru atau digelar rookie ini untuk lebih menonjol daripada yang lain?

Di sini, bakat dan paras rupa sahaja tidak memadai. Imej atau konsep yang tersendiri di samping lagu yang sedap menangkap telinga pendengar menjadi ramuan yang membantu mempopularkan seseorang artis baru.

Satu lagi kriteria yang perlu ada dalam industri hiburan Korea ialah sesebuah grup idol 'wajib' mempunyai anggota yang 'mesra program aneka ragam' iaitu mempunyai bakat berjenaka, meniru suara selebriti atau sekurang-kurangnya aktif bersukan kerana penyertaan mereka dalam program seumpama itu diambil kira sebagai suatu bentuk promosi.

Dalam banyak-banyak kumpulan baru yang muncul tahun ini, grup rookie lelaki yang paling menyerlah ialah Boyfriend dan B1A4.

K-Pop: Boyfriend

Bagi grup gadis pula, Dal Shabet dan A-Pink mendapat lebih banyak perhatian daripada 27 grup yang muncul sepanjang tahun ini.

Namun jika dikumpulkan grup rookie lelaki dan perempuan, grup enam remaja, Boyfriend dianggap paling menonjol dan layak bergelar rookie terbaik tahun ini.

Sebaik sahaja membuat kemunculan pertama pada Mei lalu, Boyfriend terus mengumpul sejumlah peminat khususnya perempuan daripada remaja sehinggalah yang boleh dipanggil noona (kakak) dan ahjumma (mak cik).

Oktober lalu, populariti Boyfriend mencanak apabila kembali dengan single terbaru 'Don't Touch My Girl', lagu yang berjaya membuatkan para peminat mereka dilambung perasaan.

Apa tidaknya, antara bait lagu itu berbunyi: "Hanya satu yang ku tak boleh tahan - engkau! Kau pun tahu. Jangan berani mengganggu gadisku." Lirik agresif dinyanyikan tidak sesuai dengan imej budak baik nan comel yang dibawakan Boyfriend menyebabkan para peminat merasakan seolah-olah perlu melindungi mereka.

Justeru tidak hairanlah para peminat K-Pop yang cukup terkenal dengan tahap kesetiaan dan fanatisme terus menyokong grup idola mereka ini.

Melalui single pertama Boyfriend, grup ini berjaya mengumpul enam juta penonton yang menyaksikan video muzik (MV) mereka di YouTube, iaitu rekod yang cukup tinggi bagi grup baru.

Dalam undian online yang dikendalikan SBS MTV dari 28 November hingga 11 Disember lalu, Boyfriend yang tercalon untuk kategori 'Bintang Baru Terbaik' bersama B1A4 dan Block B, berjaya membuktikan mereka yang paling popular apabila memungut 36.36 peratus undi.

B1A4 yang baru sahaja mengadakan konsert di Malaysia dan digembar-gemburkan akan mendominasi undian ekoran kontrak yang mereka tandatangani dengan agensi Pony Canyon untuk debut di Jepun tahun depan, terpaksa berpuas hati di tempat kedua apabila kalah tipis dengan 36.13 peratus undi.

Dengan konsep tersendiri, bakat dan rupa paras menarik dibantu bonus istimewa dua beradik kembar Jo Youngmin dan Kwangmin yang menganggotainya, Boyfriend dijangka mampu melebarkan sayapnya di Korea dan peringkat antarabangsa.

Namun sama ada mereka akan terus terbang tinggi atau sekadar berlegar-legar masih menjadi persoalan. Ini kerana 2012 pasti menyaksikan grup lain juga muncul dengan projek masing-masing, belum dikira grup rookie baru yang sedang meninjau-ninjau peluang untuk memasuki pasaran.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI