Showing posts with label Luar Negara. Show all posts
Showing posts with label Luar Negara. Show all posts

Lukisan Picasso "The Women of Algiers" catat rekod lelongan termahal AS$179 juta

Tuesday, May 12, 2015 0 Komen

Lukisan Picasso "The Women of Algiers" catat rekod lelongan termahal AS$179 juta

Satu lukisan agung Picasso dilelong lebih AS$179 juta di New York hari ini, mengatasi rekod karya termahal yang dijual dalam lelongan yang disifatkan sebagai 'jualan abad ini'.


Lukisan minyak bertajuk "The Women of Algiers (Version 0)," dijual dengan harga AS$179,365,000 selepas lebih 11 minit mendapat bidaan oleh pembeli menerusi telefon dalam satu lelongan yang pebuh sesak di Christie. Tepukan bergemuruh apabila jualan berkenaan dimuktamadkan disusuli suasana ceria serta gelak ketawa peminat karya dari serata dunia dalam jualan lelong yang dianggarkan mencecah lebih AS$140 juta.

Rekod lukisan termahal sebelum ini ialah AS$142.4 juta karya pelukis British, Francis Bacon bertajuk s "Three Studies of Lucian Freud," yang juga di jual di firma lelongan Christie di New York pada tahun 2013. Lukisan tahun 1955 adalah satu-satunya satu lukisan utama yang terakhir oleh Pablo Picasso yang masih dimiliki individu. Picasso yang berasal dari Sepanyol melukis beberapa versi lukisan sehinggalah menyudahkan satu lukisan kanvas gergasi yang berukuran hampir 121x152 sentimeter.

Satu lagi saingan karya yang dilelong ialah arca tembaga oleh Alberto Giacometti yang dinamakan "Man Pointing," yang dianggarkan nilainya mencecah AS$130 juta yang juga dianggap bakal memecah rekod jualan termahal. "Dua karya ini boleh mencatatkan rekod dunia," kata naib presiden kanan Christie, Loic Gouzer sebelum lelongan bermula. - AFP

Tragedi Germanwings: Penyelamat cari mayat mangsa di celah-celah serpihan pesawat

Thursday, March 26, 2015 0 Komen

Tragedi Germanwings: Penyelamat cari mayat mangsa di celah-celah serpihan pesawat 

SEYNE, Perancis: Penyiasat mencari mayat mangsa di celah-celah serpihan pesawat Jerman yang berkecai dan petunjuk mengapa kapal berkenaan kehilangan altitud selama lapan minit dan kemudiannya terhempas di pergunungan Alps menyebabkan 150 orang terkorban.

Beratus-ratus anggota bomba dan polis di Le Vernet melancarkan operasi besar-besaran di kawasan nahas yang bercerun, dan hanya boleh sampai dengan menggunakan helikopter atau mendaki.

Sementara itu, pakar di Paris menganalisis salah satu kotak hitam bagi mencari petunjuk mengapa pesawat Germanwings Airbus A320 terbabit terhempas dalam cuaca baik.


Presiden Perancis, Francois Hollande dan rakan sejawatan dari Jerman serta Sepanyol dijangka melawat lokasi nahas pada kira-kira jam 2 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia) bagi memberi penghormatan kepada mangsa kebanyakannya rakyat Jerman dan Sepanyol - nahas terburuk di negara itu selepas empat dekad.

Menteri Dalam Negeri Perancis, Bernard Cazeneuve berkata, pemeriksaan terhadap kotak hitam yang rosak itu, terkandung rakaman perbuatan dan bunyi dalam kokpit, akan dimulakan "dalam beberapa jam lagi".

Sehubungan itu, Menteri Pengangkutan, Alain Vidalies berkata, jika rakaman perbuatan dirakam, penyiasatan berkenaan akan berjalan "agak pantas".

"Selepas itu, jika kami perlu menganalisis bunyi, kerja itu akan mengambil masa beberapa minggu tetapi kerja itu boleh memberikan beberapa penjelasan," kata Vidalies.

Selain itu, kotak hitam kedua pesawat malang terbabit yang merakam data penerbangan masih belum ditemui.

Pegawai penyiasat sedang mencari petunjuk mengapa pesawat yang dikendalikan Germanwings, iaitu syarikat penerbangan tambang murah milik Lufthansa, dikatakan kehilangan altitud selama lapan minit ketika dalam penerbangan di antara Barcelona dan

Duesseldorf. - AFP

Pembedahan kembar siam berjaya, dapat dipisahkan

Wednesday, March 04, 2015 0 Komen

Pembedahan kembar siam berjaya, dapat dipisahkan

Sepasang kembar siam dari Yemen berjaya dipisahkan selepas menjalani pembedahan selama sembilan jam di sebuah hospital di Riyadh, Arab Saudi, kelmarin dan dijangka pulih sepenuhnya dalam tempoh terdekat.

Menurut laporan portal Mail Online, pasukan bedah yang diketuai bekas Menteri Kesihatan, Dr. Abdullah Al-Rabeeah berjaya melaksanakan pembedahan paling sukar itu bagi memisahkan pasangan kembar lelaki yang berkongsi beberapa organ penting termasuk usus.

Kembar yang diberi nama sebagai Abdullah dan Abdulrahman itu kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan tidak mengalami sebarang komplikasi sepanjang pembedahan.


Seorang jurucakap hospital yang enggan dikenali berkata, pelbagai unit perubatan terlibat dalam proses memisahkan pasangan kembar itu yang didapati turut berkongsi sistem perkumuhan dan tulang pelvis.

“Sebaik-baik sahaja dipisahkan, kembar itu dirawat oleh dua kumpulan perubatan yang menjalankan pemantauan khusus terhadap kesihatan mereka,” jelas jurucakap terbabit.

Antara pasukan perubatan yang terlibat dalam pembedahan itu ialah unit anestesiologi, pediatrik, ortopedik, pakar pembedahan plastik, dan pakar pembedahan saluran kencing, jururawat serta kakitangan teknikal.

Pada asalnya, bayi kembar berkenaan hanya mempunyai peluang hidup antara 60 dan 70 peratus, tetapi kejayaan pasukan perubatan dari Arab Saudi itu sangat menakjubkan selepas tahap kesihatan kembar terbabit semakin baik.

Kes pemisahan pasangan kembar itu merupakan yang ke-35 dilaksanakan di Arab Saudi sejak 1990 melibatkan bayi daripada lebih 18 negara termasuk Sudan, Yemen, Mesir, Malaysia, Filipina, Poland, Maghribi, dan Iraq.

Negara ini juga mempunyai pasukan pakar bedah yang pakar memisahkan kes pasangan kembar siam dengan mencatat 30 kejayaan bagi 30 kes dalam tempoh 20 tahun lalu.

Pada 2002, sepasang kembar siam dari Malaysia, Ahmad dan Muhammad berjaya dipisahkan menerusi pembedahan selama 22 jam 45 minit yang dilakukan oleh sepasukan 17 pakar bedah, sembilan jururawat dan 15 pasukan sokongan di Hospital Raja Fahad, Riyadh, Arab Saudi. ~ Utusan

Majikan Hong Kong dera pembantu rumah Indonesia dipenjara 6 tahun

Saturday, February 28, 2015 0 Komen

Majikan Hong Kong dera pembantu rumah Indonesia dipenjara 6 tahun

Seorang wanita Hong Kong dipenjara selama enam tahun kerana mendera dua pembantu rumah Indonesia dan mengugut untuk membunuh ahli keluarga mangsa, kes yang mencetuskan kemarahan serantau dan mendedahkan penderitaan berjuta-juta pembantu rumah di Asia.

Ibu kepada dua orang anak, Law Wan-tung, 44, turut didenda sebanyak HK$15,000 (RM6,943) selepas didapati bersalah terhadap 18 daripada 20 tuduhan termasuk menumbuk dan memukul dua pembantu rumahnya menggunakan batang mop.

Selain itu, hakim mahkamah, Amanda Woodcock mendapati Wan-tung bersalah kerana menyebabkan kecederaan teruk pada mangsa dan mengeluarkan ugutan terhadap Erwiana Sulistyaningsih, 24, dan seorang lagi pembantu rumah Indonesia kira-kira dua tahun lalu.


Menurut Woodcook, keputusan itu dibuat selepas bukti jelas menunjukkan betapa sedikit kebajikan yang diperoleh oleh Erwiana dan seorang lagi mangsa sepanjang bekerja untuk Wan-tung.

Penderitaan yang dialami Erwiana selama lapan bulan itu mendapat tumpuan ramai pihak di Hong Kong dan luar negara yang mendesak kerajaan agar mengkaji semula dasar pengambilan pekerja asing.
Dalam pada itu, ketika ditemui pihak media selepas keputusan mahkamah, Erwiana berkata, hukuman penjara selama enam tahun tidak mencukupi, walaupun sebelum ini dia sedia memaafkan bekas majikannya itu.

“Ketika kita menyedari pekerja asing dizalimi dan wujud kegiatan perhambaan di Hong Kong, pihak kerajaan seolah-olah bertolak-ansur dalam perkara tersebut.

“Keputusan mahkamah itu menunjukkan kerajaan negara ini tidak kisah dengan isu penderaan pekerja asing,” katanya sambil disokong kira-kira 30 orang yang membantah penderaan pembantu rumah. – REUTERS

Penjenayah siber multinasional curi AS$1 bilion

Sunday, February 15, 2015 0 Komen

Penjenayah siber multinasional curi AS$1 bilion
 
Dianggarkan sejumlah AS$1 bilion (RM3.5 bilion) dari 100 institusi kewangan di seluruh dunia telah dicuri kumpulan penjenayah siber multinasional sejak dua tahun lalu, menurut syarikat keselamatan komputer Russia, Kaspersky Lab.

Syarikat itu menyatakan, ia sudah bekerjasama dengan Interpol, Europol dan pihak berkuasa negara lain untuk cuba mendedahkan maklumat terperinci mengenai apa yang dipanggil mereka sebagai rompakan tidak disangka.

Kumpulan itu yang digelar Kaspersky Carbanak, menggunakan pendekatan luar biasa mencuri terus dari bank dan bukan menyamar sebagai pelanggan untuk mengeluarkan wang dari syarikat atau akaun individu.

Menurut syarikat itu, kumpulan berkenaan terdiri daripada penjenayah siber dari Eropah termasuk Russia dan Ukraine serta dari China.

Carbanak menggunakan emel yang direka khusus untuk menipu mangsa disasarkan bagi membolehkannya membuka fail perisian, satu teknik yang biasa dikenali sebagai 'spear phishing'.

Mereka kemudian memasuki ke dalam rangkaian dalaman dan mengesan komputer pentadbir untuk melakukan pengawasan video.

Menerusi cara ini, menurut Kaspersky, penjenayah siber terbabit akan mempelajari bagaimana kerani bank bekerja dan boleh meniru aktiviti mereka apabila memindahkan wang.

Dalam sesetengah kes, Carbanak mengapungkan baki akaun sebelum meraih dana tambahan melalui penipuan transaksi. Oleh kerana dana yang sah masih ada, pemegang akaun tidak akan mengesyaki sebarang masalah.

Kaspersky berkata, Carbanak juga membuat kawalan ATM dari jauh dan mengarahkan pengeluaran tunai pada masa yang telah ditetapkan ujtuk ahli kumpulan itu mengambilnya.

"Serangan itu menunjukkan hakikat bahawa penjenayah akan mengeksploitasi apa juga kelemahan yang terdapat pada mana-mana sistem.

"Ia juga menyerlahkan hakikat bahawa tidak ada sektor boleh menganggap ia kebal daripada serangan dan mesti sentiasa memantapkan prosedur keselamatan," kata Pengarah Pusat Jenayah Interpol Digital, Sanjay Virmani, dalam satu kenyataan disediakan Kaspersky.

- Reuters

Pesawat American Airlines pula mendarat cemas

Tuesday, February 10, 2015 0 Komen

Pesawat American Airlines pula mendarat cemas

TULSA, Oklahoma: Sebuah pesawat American Airlines melakukan pendaratan cemas di Lapangan Terbang Antarabangsa Tulsa dan dikosongkan selepas asap dilaporkan dalam kokpit.

Jurucakap pihak berkuasa lapangan terbang, Alexis Higgins, berkata pesawat berkenaan yang dalam perjalanan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Dallas-Fort Worth ke Cedar Rapids, Iowa, dikosongkan di landasan pada jam 6.15 petang selepas mendarat dengan selamat.


Higgins berkata, tiada daripada 67 penumpang dan kru pesawat berkenaan yang cedera.

Katanya, punca asap itu masih belum diketahui.

Jurucakap American Airlines, Victoria Lupica, berkata pihak syarikat masih menyiasat puncanya. - AP

Al-Quran laris sejak serangan di Paris

Monday, February 09, 2015 0 Komen

Al-Quran laris sejak serangan di Paris

Jualan naskhah al-Quran dan buku tentang agama Islam meningkat mendadak sejak insiden serangan pengganas di ibu pejabat akhbar mingguan Perancis, Charlie Hebdo di Paris pada 7 Januari lalu.

Portal berita Islam Pos yang memetik laporan laman web Pages Halal dari Perancis, menyebut, naskah al-Quran dalam terjemahan bahasa Perancis paling ketara menunjukkan peningkatan jualan apabila disenaraikan sebagai 100 jualan terbaik dalam laman web perniagaan, Amazon sepanjang tempoh 26 hari.

Menurut Francois Maillot, Pengurus Besar syarikat rangkaian buku Perancis, La Procure, sejak serangan pada awal bulan lalu, ramai orang mencari maklumat tentang Islam dan membeli naskah terjemahan al-Quran.

“Rakyat Perancis mencari terjemahan al-Quran yang dicetak oleh penerbit seperti Denise Masson, Jacques Berque dan Malek Chebel.

“Selain al-Quran, buku ber-kenaan ajaran agama Islam turut mendapat sambutan hangat termasuk buku tentang sejarah ringkas Islam, Breve histoire de l’islam a l’usage de tous yang dikarang oleh Antoine Sfeir,” kata beliau.

Maillot turut mendedahkan bahawa buku berkenaan ajaran Islam dalam hidup berkeluarga, L’Islam explique aux enfants et a leurs parents tulisan Tahar Ben Jellaun, mendapat permintaan tinggi daripada pelanggan.

Jelas beliau, buku yang mengajar remaja tentang Islam, Le coran explique aux jeunes hasil karangan Rachid Benzine juga laris dalam kalangan pembeli.

“Saya menyarankan kepada penduduk Perancis yang berminat tentang Islam agar membaca buku a maladie de l’islam yang mengisahkan tentang penyakit Islam, ditulis oleh tokoh agama, Abdelwaheb Meddeb.

Pemandu teksi terselamat selepas dilibas pesawat TransAsia

Wednesday, February 04, 2015 0 Komen

Pemandu teksi terselamat selepas dilibas pesawat TransAsia

TAIWAN - Seorang pemandu teksi terselamat selepas kenderaannya terkena kepak pesawat TransAsia yang terhempas ke sungai, pagi tadi.

Menerusi sebuah rakaman video, pesawat berkenaan dilihat melanggar teksi tersebut sebelum terhempas ke dalam sungai.

Beberapa keping gambar yang menunjukkan kerosakan pada teksi tersebut telah dimuatnaik ke laman mikro Twitter.

Pesawat TransAsia ATR 72-600 berkenaan dalam penerbangan domestik dari lapangan terbang Songshan, ke Pulau Kinmen sebelum ia melanggar jambatan dan terjunam ke dalam sungai.

Laman web judi disekat di Singapura mulai 2 Februari 2015

Thursday, January 29, 2015 0 Komen

Laman web judi disekat di Singapura mulai 2 Februari 2015

Laman web yang menyedia, mengiklan atau mempromosi perkhidmatan judi jarak jauh akan disekat mulai Isnin (2 Februari) selepas Akta Judi Jarak Jauh (RGA) dikuatkuasakan.

Kementerian Dalam Negeri (MHA) dalam satu kenyataan berkata, transaksi bayaran berkaitan aktiviti judi jarak jauh haram juga akan disekat.

RGA diluluskan di Parlimen pada 7 Oktober tahun lepas.

"Matlamat mengawal selia judi jarak jauh ini antara lain untuk mengurangkan potensi 'merosak' terutama golongan muda," kata kenyataan itu.

Di bawah akta itu, adalah satu kesalahan bagi seseorang berjudi secara jarak jauh dengan pengusaha haram, memberi kemudahan kepada orang lain berbuat

demikian, atau memberi perkhidmatan judi jarak jauh haram. - Bernama

QZ8501:BASARNAS tetap terus usaha cari mayat mangsa QZ8501

Wednesday, January 28, 2015 0 Komen

BASARNAS tetap teruskan usaha cari mayat mangsa QZ8501
 
Usaha mencari dan menyelamat (SAR) bagi mengesan 92 lagi baki mayat mangsa nahas pesawat Airasia Indonesia Penerbangan QZ8501 akan diteruskan walaupun tiada lagi pembabitan pihak berkuasa lain seperti Tentera Nasional Indonesia (TNI).

Ketua Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS), Bambang Soelistyo, berkata penarikan diri TNI tidak ada kaitan dengan tindakan memberhentikan operasi seperti yang dilaporkan media.

"Sepanjang saya selaku penyelaras usaha mencari dan menyelamat, belum dinyatakan ditutup. Maka operasi pencarian masih tetap berlanjut," katanya dalam sidang akhbar yang disiarkan secara langsung menerusi siaran televisyen MetroNews di sini, hari ini.

Bambang berkata, kekuatan BASARNAS tidak lemah walaupun tanpa pasukan TNI kerana BASARNAS turut mempunyai sistem pencarian seperti alat pencarian di bawah air dan sedang diusahakan oleh kapal milik SKK Migas.

Katanya, BASARNAS memberikan tempoh dua hari untuk pasukan SAR berehat selepas bekerja selama sebulan di tengah laut.

Usaha mencari pesawat Airasia memasuki hari ke-31. Penerbangan QZ8501 itu hilang daripada imbasan radar pada 28 Dis lepas semasa dalam penerbangan ke Singapura dari Surabaya, Indonesia bersama 155 penumpang dan tujuh anak kapal.

Pesawat malang itu terhempas di perairan Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah, Indonesia.

Setakat ini, usaha mencari dan menyelamat telah menemukan 70 mayat dan daripada jumlah itu, 55 mayat telah dikenal pasti dan diserahkan kepada waris masing-masing.

BASARNAS kini akan menumpukan usaha mencari mayat dan tidak lagi menjalankan kerja-kerja mencari bangkai pesawat berkenaan.

Pihak berkuasa juga sudah memulakan siasatan kejadian selepas menemui kotak hitam pesawat minggu lalu dan sudah menaikkan badan pesawat itu yang terbenam dalam dasar laut di Selat Karimata di Laut Jawa dua hari lalu.

- BERNAMA


'Raja Dadah' Hong Kong termasuk warga Malaysia dipaksa bakar 'ice' dpn media

Wednesday, January 28, 2015 0 Komen

'Raja Dadah' Hong Kong termasuk warga Malaysia dipaksa bakar 'ice' dpn media

Digari dan dipakaikan topeng muka hitam, seorang lelaki Hong Kong yang dipercayai raja dadah bersama anggota kumpulannya dipaksa untuk membakar stok ‘ice’ atau dadah crystal methamphetamine bernilai AS$136 juta secara umum hari ini selepas ditangkap pihak berkuasa Indonesia.

Wong Chi-ping dan beberapa suspek lain didedahkan di hadapan media negara itu, sebelum membuang bungkusan dadah terlarang ke dalam api yang marak di relau insinerator di pinggir Jakarta.

"Dadah itu adalah sampah, sebab itu kami membakarnya,” kata ketua agensi dadah Anang Iskandar kepada wartawan. Sejumlah 862 kilogram dadah telah dibakar.


Lelaki yang ditahan itu didakwa sebagai ketua kumpulan yang dianggotai tiga lagi warga Hong Kong, seorang warga Malaysia dan empat warga Indonesia. Mereka telah ditangkap pada awal bulan ini selepas tiga tahun siasatan terhadap sindiket global tersebut.

Mereka semua berdepan hukuman mati jika didapati bersalah mengedar dadah. Di Indonesia, balasan bagi kesalahan tersebut adalah hukuman tembak.

Indonesia adalah antara negara yang menguatkuasakan undang-undang antidadah  paling tegas di dunia dan semakin menggiatkan kempen itu di bawah pentadbiran Presiden Joko Widodo.

Awal bulan ini, enam pesalah termasuk lima warga asing telahpun berdepan dengan skuad penembak negara tersebut.

"Indonesia telah mengumumkan perang ke atas dadah. Kami mahu menyelamatkan generasi akan datang, anak cucu kami,” ujar Menteri Keselamatan Indonesia, Tedjo Edhy Purdijatno.

Dadah-dadah tersebut yang dibungkus rapi dalam paket kopi ditemui dalam keadaan 97 peratus asli. Sindiket tersebut sememangnya dikehendaki di tujuah buah negara termasuk China, Filipina, Malaysia dan Singapura.

Pihak berkuasa Indonesia telah memantau pergerakan Wong sejak tahun 2012. Dia ditangkap selepas bot nelayan membawa masuk dadah  itu ke Jakarta untuk dijual.

Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud mangkat

Friday, January 23, 2015 0 Komen

Raja Arab Saudi, Raja Abdullah meninggal dunia

RIYADH: Raja Arab Saudi, Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud mangkat, lapor stesen rasmi Arab Saudi sebentar tadi. Baginda berusia 90 tahun.

Raja Abdullah dilapor dimasukkan ke hospital kerana menghidap jangkitan pada paru-paru. Baginda menaiki takhta pada tahun 2005.

Majlis pengebumiannya dijadual akan diadakan hari ini di Masjid Turki Abdullah di Riyadh, dan beberapa pemimpin dunia dijangka hadir untuk memberi penghormatan terakhir.

Raja Abdullah Abdulaziz Al Saud

Raja Abdullah menjadi ketua kepada sebuah negara yang kaya dengan hasil minyak, menjadi rakan utama Amerika Syarikat (AS) di Timur Tengah.

Dalam kalangan negara konservatif itu, Raja Abdullah dilihat sebagai tokoh pembaharuan.

Sejak menduduki takhta itu, Raja Abdullah mengambil tindakan ke arah kebebasan yang lebih meluas dan melabur sebahagian daripada kekayaan minyak negaranya dalam projek pendidikan dan infrastruktur berskala besar.

Di bawah kepimpinan Raja Abdullah juga, negara itu turut membantu dalam usaha menghapuskan penyebaran fahaman militan termasuk Al-Qaeda, mengenepikan kumpulan pendakwah radikal selain turut mengambil peranan yang lebih penting dalam hal ehwal antarabangsa.

Tahun lalu, Arab Saudi turut menjadi negara di timur tengah utama yang bergabung bersama AS untuk mengekang keganasan kumpulan militan Negara Islam (IS) di Iraq dan Syria.

Sementara itu, penganalisis meramalkan peralihan politik dijangka lancar ekoran kemangkatannya biarpun banyak cabaran dihadapi Arab Saudi kini termasuk perhubungannya dengan Iran, kebangkitan militan IS, krisis di Yaman serta kejatuhan harga minyak. - AFP/CNN

QZ8501: Laporan akhir nahas akan diumumkan selepas setahun

Wednesday, January 14, 2015 0 Komen

QZ8501: Laporan akhir nahas akan diumumkan selepas setahun 

JAKARTA: Laporan lengkap penyiasatan berkaitan nahas pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 akan diumumkan dalam tempoh sekurang-kurangnya setahun selepas kejadian berkenaan, kata pegawai Indonesia.

"Laporan akhir mengandungi semua hasil penyiasatan nahas akan dihebahkan setahun kemudian," kata Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Pengangkutan Indonesia, Tatang Kurniadi pada sidang akhbar di Pangkalan Bun.

Sehubungan itu, katanya, penyiasatan rasmi akan bermula selepas laporan awal kejadian diumumkan.

Kurniadi berkata, laporan awal nahas berkenaan yang tidak mengandungi sebarang analisis akan dihebahkan dalam tempoh sebulan.

Beliau berkata, draf laporan akhir akan diserahkan kepada beberapa negara termasuk Perancis, Singapura dan Amerika Syarikat untuk dibuat penilaian. - Agensi

QZ8501: CEO AirAsia Indonesia akui berlaku "kecuaian pentadbiran"

Wednesday, January 14, 2015 0 Komen

QZ8501: CEO AirAsia Indonesia akui berlaku "kecuaian pentadbiran" 

JAKARTA: Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Indonesia, Sunu Widyatmoko hari ini mengakui bahawa syarikat itu melakukan "kecuaian pentadbiran" apabila memohon perubahan terhadap jadual penerbangan membabitkan laluan Surabaya-Singapura.

Katanya, mereka hanya memaklumkan secara lisan kepada Kementerian Pengangkutan berkaitan perubahan itu, lapor The Jakarta Post.

"Saya mengakui bahawa kecuaian pentadbiran berlaku apabila memohon perubahan terhadap jadual penerbangan memandangkan maklumat lisan tidak sampai ke kementerian berkenaan," kata Sunu dipetik dalam akhbar berkenaan.

Sementara itu, bercakap pada perbicaraan pertama dengan Suruhanjaya Dewan Perwakilan V berkaitan pengangkutan, Sunu mengakui bahawa syarikat penerbangan itu hanya dibenarkan terbang empat kali seminggu - Isnin, Selasa, Khamis dan Sabtu.

Pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 yang membawa 162 penumpang dan anak kapal terhempas di dalam Laut Jawa pada 28 Disember lalu. - Agensi

Charlie Hebdo: Perancis umum hari berkabung seluruh Perancis

Thursday, January 08, 2015 0 Komen

Charlie Hebdo: Perancis umum hari berkabung seluruh Perancis
 
Presiden Perancis, Francois Hollande mengumumkan hari ini sebagai hari berkabung seluruh negara sebagai tanda bersedih atas kematian 12 orang dalam serangan bersenjata terhadap pejabat akhbar mingguan satira, Charlie Hebdo.

Hanya lima kali sejak tempoh 50 tahun lalu Perancis mengisytiharkan hari berkabung di negara itu.

"Perpaduan adalah senjata paling terbaik bagi kita," kata Hollande dalam siaran televisyen bagi mengumumkan perkara itu.

Beliau juga mengarahkan agar semua bendera negara dikibarkan separuh tiang selama tiga hari.

"Tiada apa yang boleh memecah-belahkan kita, tiada apa yang boleh pisahkan kita. Kebebasan sentiasa lebih kuat daripada kekejaman," katanya yang menyifatkan serangan itu sebagai tindakan tidak bertamadun.

Charlie Hebdo sebelum ini membangkitkan kemarahan orang Islam apabila menerbitkan kartun menghina Nabi Muhammad SAW. - AP

12 terbunuh dalam insiden tembakan rambang di Paris

Wednesday, January 07, 2015 0 Komen

12 terbunuh dalam insiden tembakan rambang di Paris

Kartunis terbaik di Perancis antara 12 individu yang terbunuh apabila dua individu bersenjata merempuh masuk ke dalam pejabat sebuah akhbar satira Charlie Hebdo di Paris pada Rabu, menurut sumber kehakiman.

Ketua Pengarang Stephane Charbonnier yang juga dikenali sebagai Charb dan kartunis yang dikenali sebagai Cabu, Tignous dan Wolinski turut terbunuh dalam serangan tersebut.


Dalam laporan terdahulu, sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh termasuk dua anggota polis apabila dua individu yang bersenjatakan mesin gan dan pelancar roket menembak rambang dalam sebuah pejabat Charlie Hebdo di Paris.

Terdahulu, Timbalan Datuk Bandar Paris, Bruno Julliard berkata, enam orang cedera parah termasuk seorang anggota polis.

Presiden Perancis Francois Hollande sedang dalam perjalanan ke lokasi kejadian dan memanggil satu mesyuarat kabinet tergempar, kata jurucakap pejabat presiden.

Sumber terdekat memberitahu, "dua lelaki bersenjatakan mesin gan dan pelancar roket menceroboh bangunan itu yang terletak di tengah bandaraya Paris dan kedengaran bunyi berbalas tembakan dengan pegawai keselamatan."

Individu tersebut merampas sebuah kereta dan melanggar pejalan kaki berhampiran. ~ awani

Pelancong Jepun sebulan jadi hamba seks

Monday, January 05, 2015 0 Komen

Pelancong Jepun sebulan jadi hamba seks

Kolkata: Tiga lagi lelaki tempatan ditahan berhubung kes pelancong Jepun berusia 22 tahun yang dijadikan hamba seks selama hampir sebulan berhampiran lokasi dianggap suci di India.

Sebelum ini, dua beradik yang juga pemandu pelancong ditangkap kelmarin selepas mangsa berjaya melepaskan diri dan mendapat bantuan pelancong Jepun lain yang membawanya ke Konsulat negara itu di Kolkata.

Tragedi menimpa mangsa bermula di Kolkata selepas dia berkenalan dengan tiga lelaki tempatan - termasuk seorang yang boleh berbahasa Jepun - 20 November lalu setibanya dia di bandar itu.

Mereka berjaya memujuk mangsa yang juga pelajar untuk mengeluarkan wang berjumlahj 76,000 rupi (RM4,200) daripada mangsa sebelum membawanya ke Bodh Gaya, lokasi suci bagi penganut Buddha di Bihar, 492 kilometer dari Kolkata.


Di Bihar mangsa diserahkan kepada dua beradik yang mengurungnya di dalam bilik bawah tanah dan merogolnya berulang kali selama tiga minggu.

Dua beradik terbabit dihadapkan ke mahkamah lewat kelmarin dan ditahan reman sehingga kawad cam yang dijadualkan pada 9 Januari ini.

Jurucakap polis Kolkata, Komisioner Pallab Kanti Ghosh berkata, tiga suspek terbaru itu ditahan kerana memeras wang daripada mangsa serta menyerahkannya kepada dua beradik terbabit.

Konsul Besar Jepun di Kolkata, Kazumi Endo berkata, pihaknya membantu wanita berkenaan membuat laporan polis sebaik dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan.

Menteri Pelancongan Mahesh Sharma menganggap kejadian itu memberi kesan lebih teruk terhadap imej India.

“Sekarang pun kami hanya memperoleh 69 juta pelancong setahun.

“Kejadian jadi ini memang sesuatu yang membimbangkan.

“Kami perlu menjaga keselamatan pelancong yang datang ke sini,” katanya.

Kakak dua beradik yang ditahan, Samina Khatoon, menafikan adiknya terbabit dan mendesak siasatan menyeluruh dilakukan.

Pembunuhan kejam di Australia. Lelaki masak mayat kekasih Indonesia, Mayang Prasetyo

Tuesday, October 07, 2014 0 Komen

Lelaki masak mayat kekasih Indonesia, Mayang Prasetyo

Polis Australia hari ini memulakan siasatan berhubung satu kes pembunuhan selepas penemuan mayat manusia di dalam sebuah pangsapuri mewah di Brisbane, kelmarin.

Namun, polis enggan mengesahkan laporan yang mendakwa bahagian mayat itu telah dimasak di dapur rumah tersebut.

Pihak berkuasa pergi ke sebuah rumah di kawasan kediaman mewah di Brisbane pada malam kelmarin selepas penduduk membuat laporan mereka terhidu bau yang amat busuk.

"Pihak pengurusan prihatin dengan kebajikan penduduk. Sejurus tiba di sini, kami memulakan siasatan berkaitan dengan kes bunuh dan bunuh diri," kata Pegawai Penyiasat Inspektor Tom Armitt kepada media.


Polis telah memberikan beberapa butiran tentang kes itu dan mengesahkan bahawa mayat manusia ditemukan di dalam pangsapuri di Teneriffe, sementara mayat seorang lelaki dijumpai di sebuah lorong berhampiran kediaman tersebut.

Akhbar Courier-Mail di Queensland melaporkan, lelaki itu merupakan seorang tukang masak berusia 28 tahun yang bekerja di atas kapal persiaran dan baru-baru ini berpindah ke pangsapuri yang dimiliki teman wanitanya yang merupakan rakyat Indonesia.

Polis bagaimanapun enggan mengulas laporan media bahawa lelaki itu mengelar lehernya sendiri selepas melarikan diri dari pangsapuri itu atau mereka menemui bahagian badan wanita yang dimasak dalam sebuah periuk industri di dapur rumah berkenaan.

Pegawai forensik dilihat berada di lokasi kejadian, hari ini dengan membawa tong yang digunakan untuk menyimpan sisa perubatan dari pangsapuri tersebut. - AFP

Warga Jakarta sukar temui jodoh

Tuesday, October 07, 2014 0 Komen

Warga Jakarta sukar temui jodoh

Di mana-mana kota besar di dunia, peluang untuk mengejar kerjaya yang stabil dengan pendapatan tinggi terbuka luas.

Namun di Jakarta, kejayaan dalam kehidupan tidak menjanjikan kebahagiaan termasuk kepada dua juta warga kota ini, yang berusia 28 tahun yang dilaporkan masih bersendirian kerana tiada pasangan hidup.

Alasan utama golongan yang memiliki kerjaya yang stabil tetapi sulit untuk menemui jodoh adalah kerana tiada masa untuk mencari pasangan.

Golongan itu berdepan masalah untuk menemui kekasih kerana terlalu sibuk dengan kerjaya selain mengejar peluang menjalankan kerja tambahan.

Menurut Ketua Pegawai Ekesekutif dan pengasas agensi mencari jodoh dari Singapura, Lunch Actually, Vilolet Lim, apa yang menyebabkan dua juta warga Jakarta belum berkahwin ialah kerana mereka tidak mempunyai kesempatan untuk mengenali antara satu sama lain.

"Sekalipun trend hidup bersendirian di Jakarta masih belum dapat mengatasi kota-kota lain di Asia Tenggara seperti Singapura dan Bangkok, namun jumlahnya terus meningkat hampir dua kali ganda," kata Lim semasa melancarkan agensi Lunch Actually di kota raya ini, baru-baru ini.

Jakarta menjadi kota raya kelima agensi Lunch Actually dilancarkan selepas Singapura, Kuala Lumpur, Hong Kong dan Pulau Pinang.

Lim yang dipetik akhbar The Jakarta Post berkata, agensi itu sudah 10 tahun menawarkan perkhidmatan mencari jodoh dan telah mengatur hampir 30,000 pertemuan pasangan.

Dengan mengenakan caj keahlian selama tiga tahun sebanyak AS$493 (RM1,605), setiap ahli berpeluang mengenali dan bertemu tiga calon pasangan hidup, selain dibimbing daripada aspek penataan imej. - UTUSAN

Tiada militan IS pergi ke Iraq menerusi Malaysia - Duta Iraq

Wednesday, October 01, 2014 0 Komen

Tiada militan IS pergi ke Iraq menerusi Malaysia - Duta Iraq

KUALA LUMPUR 30 Sept. - Tiada 'pejuang jihad' Negara Islam (IS) yang memasuki Iraq secara terus menerusi Malaysia, kata Duta Iraq ke Malaysia, Prof. Dr. Basim Hattab Al-Tumma.

Beliau berkata, ini kerana kedutaan tersebut mengenakan protokol memproses visa yang sangat ketat bagi memastikan tiada rakyat Malaysia yang memasuki negara tersebut dan menyertai pejuang IS.

Visa hanya dikeluarkan kepada pegawai kerajaan dan kakitangan Petronas yang bekerja dalam industri minyak dan gas di Iraq, katanya kepada Bernama.

Dr. Basim berkata, Iraq juga merasa prihatin sebagaimana kerajaan Malaysia dan tidak mahu melihat pemuda Malaysia diseleweng untuk menyertai pergerakan jihad yang bertentang dengan Islam.

Beliau berkata ia dapat membantu sekiranya Malaysia membuka semula kedutaan di Baghdad, agar boleh memantau rakyat Malaysia di Iraq. - BERNAMA

 

ZONFINITI