Kerana mahu memiliki wajah yang cantik dan jelita, seorang wanita bukan saja menderita akibat ditumbuhi jerawat bernanah malah terpaksa mengeluarkan RM8,000 untuk kos rawatan pemulihan.
Mangsa yang berusia 30 tahun terpaksa menanggung kesakitan akibat dipenuhi jerawat selain dijangkiti kuman.
Menceritakan kejadian, mangsa, Hong Peak Cheng, 30, berkata dia menjalani rawatan kecantikan di sebuah pusat kecantikan di Banting, Selangor bermula Januari lalu dengan kos kira-kira RM2,000.
Katanya, selepas rawatan pertama mukanya tiada masalah, namun selepas rawatan kedua, mukanya mula dijangkiti jerawat bernanah yang menimbulkan kesakitan.
"Sebaik timbul jerawat berkenaan, saya ke pusat kecantikan berkenaan dan dimaklumkan keadaan itu adalah proses normal bagi mencantikkan muka.
"Saya tidak mengambil peduli kerana kemungkinan hormon berubah, namun beberapa hari selepas itu, muka saya kini dipenuhi jerawat bernanah dan tidak boleh disentuh kerana terlalu sakit," katanya dalam sidang media di MCA, di sini, semalam.
Hong berkata, dia sekali lagi ke pusat kecantikan itu dan mereka menukar proses rawatan dengan menggunakan kaedah infrared, namun keadaan muka bertambah parah apabila jerawat bernanah semakin banyak.
Katanya, keadaan itu amat memalukan selain menanggung kesakitan hingga tidak boleh tidur malam.
"Saya minta pihak pusat kecantikan berkenaan bertanggungjawab di atas apa yang berlaku dan mereka memberi jaminan akan memulangkan kembali wang saya kira-kira RM2,000, namun hingga kini mereka mendiamkan diri seperti mahu lepas tangan.
"Kecewa dengan situasi itu, saya berjumpa dengan pakar kulit yang memberitahu muka saya dijangkiti kuman dan memerlukan RM8,000 untuk kos rawatan pemulihan," katanya.
Hong berkata, dia yang tidak puas hati kemudian membuat laporan di Balai Polis Banting Isnin lalu sebelum mengadu kepada Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Michael Chong, semalam.
Muka jerawat bernanah lepas buat rawatan kecantikan
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment