Jenayah: Tiga kali perkosa nenek

Sunday, September 23, 2012

"Kerat kemaluannya. Itulah hukumannya. Potong juga kaki, kemudian pukul dia dari kepala. Humban dia ke dalam penjara, biar dia meringkuk seumur hidup.”

Begitulah kata seorang nenek berusia 73 tahun yang sangat marah terhadap kelakuan buas David Albert Mitchell, lelaki yang merogol dan mencuri barang peribadinya di sebuah taman dekat Manhattan, New York, Amerika Syarikat.

Dalam kejadian pada 12 September lalu, Mitchell sebenarnya berdendam dengan nenek itu kerana pada hari sebelum kejadian, nenek berkenaan merakam gambar dia melakukan onani di taman berkenaan.

Berdasarkan laporan akhbar New York Post, nenek yang tidak didedahkan namanya itu menjelaskan, sebelum menyerangnya, Mitchell sempat bertanya sama ada mengenalinya atau tidak.

Suspek sebenarnya memburu nenek itu untuk melunaskan dendamnya. Apabila nenek itu berkata tidak mengingatinya, Mitchell terus menerkamnya dan menyerang nenek terbabit dengan ganas. Suspek turut mengugut akan mengerat lehernya jika dia menjerit meminta tolong.

“Dia merogol saya tanpa belas kasihan. Dengan kejam. Selepas merogol saya, dia (suspek) mengugut lagi akan mengerat leher saya.

“Dia lenyek kepala saya ke tanah, kemudian mengarahkan saya jangan bergerak dan mengira sehingga 100. Saya hanya lakukan apa yang dia suruh,” kata nenek itu.
Barangan peribadi nenek itu turut dilarikan suspek.

Begitupun, polis tidak menunggu lama untuk menangkap suspek selepas saksi kejadian menghubungi mereka sejurus kejadian. Polis menangkap Mitchell pada hari sama tidak jauh dari lokasi kejadian.

Jurucakap polis, Paul Browne, berkata suspek bukanlah asing dalam dunia jenayah, dan pernah dipenjarakan kerana kesalahan jenayah serius.

Suspek juga memiliki nafsu pelik dan sering melakukan serangan seksual terhadap wanita tua. Mitchell kali pertama didakwa melakukan jenayah ketika berusia 18 tahun apabila mencabul seorang nenek berusia 87 tahun yang kemudian dipukul hingga mati.

Bagaimanapun, suspek terlepas daripada bersabit tuduhan di mahkamah. Kemudian dia didakwa lagi merogol wanita berusia 70-an dan selepas itu dipenjarakan selama 10 tahun kerana merompak. Dia dibebaskan 2001 lalu.

Bekas teman wanitanya mendedahkan, dia pernah menjadi mangsa suspek pada 2003 dan hampir mencederakannya secara seksual.

“Dia (suspek) hanya melakukan jenayah seksual,” katanya.

Polis kini turut menyiasat semula satu kes pembunuhan yang dikaitkan dengan suspek. Kali ini dalam kejadian di daerah asalnya di West Virginia pada 2002.
Ketika itu suspek terlepas daripada pertuduhan kerana kekurangan bukti.

Seorang jiran berusia 46 tahun yang enggan mendedahkan namanya berkata, Mitchell memang ganas sejak zaman kanak-kanaknya lagi.

“Dia membunuh kucing dan anjing di kejiranannya ini. Dia menggantung binatang itu di pokok dan mana-mana saja. Dia syaitan,” kata jiran itu.

Pada 14 September lalu, Mitchell didakwa di mahkamah dengan tuduhan merogol, menyerang dan menyamun. Dia kini dalam tahanan tanpa ikat jamin.

Suspek juga dituduh bertindak kurang sopan dengan meludah ke arah anggota polis tetapi dia menafikan bertindak sebegitu sebaliknya berkata, dia berbuat demikian terhadap wartawan yang cuba mendekatinya ketika ditahan.

INFO JENAYAH

SUSPEK: David Albert Mitchell
UMUR: 42 tahun
KESALAHAN: Merogol
LOKASI KEJADIAN: Manhattan, New York, Amerika Syarikat
TARIKH KEJADIAN: 12 September 2012
MANGSA: Nenek berusia 73 yang tidak didedahkan namanya

FAKTA JENAYAH: Mitchell menyerang seorang nenek dan merogolnya tanpa belas kasihan. Suspek sebenarnya berdendam dengan nenek itu kerana sehari sebelum kejadian berlaku nenek berkenaan mengambil rakaman gambarnya melakukan onani. Suspek juga didakwa memiliki nafsu pelik dan sering melakukan serangan seksual terhadap wanita bergelar nenek. Dia pernah didakwa melakukan jenayah ketika berusia 18 tahun apabila mencabul seorang nenek berusia 87 tahun yang kemudian dipukulnya sehingga mati.

FAKTA KES: Pada 14 September lalu, Mitchell didakwa di mahkamah melakukan jenayah rogol, menyerang dan menyamun. Dia kini dalam tahanan tanpa ikat jamin. Suspek juga dituduh melakukan tindakan kurang sopan dengan meludah terhadap pegawai polis.

Susunan SHAMRAN SARAHAN

 

ZONFINITI