Bapa kepada Angkasawan Negara, Datuk Sheikh Mustapha Sheikh Abdul Shukor, 77, meninggal dunia jam 9.26 pagi, semalam di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) Cheras, Kuala Lumpur akibat sakit tua selain menghidapi kanser kolon.
Jenazah arwah selamat dikebumikan bersebelahan kubur anak keempatnya, Sheikh Mustapha yang meninggal dunia pada 2007 ketika berusia 37 tahun di Makam Tuan Said, di sini, pada jam 5.45 petang dengan bacaan talkin diketuai Imam 3, Masjid Negeri, Ustaz Mohd Firdaus Taslim.
Terdahulu, jenazahnya disembahyangkan di Masjid Negeri diketuai Imam 1 Masjid Negeri, Ustaz Zaher Rudin Moktar selepas tiba dari rumahnya Seksyen 12, Petaling Jaya, Selangor kira-kira jam 4.35 petang sejurus jemaah di Masjid Negeri selesai solat Asar.
Allahyarham meninggalkan balu, Datin Zuraida Sheikh Ahmad, 67, serta empat anak iaitu Sheikh Ahmad, 42, Sheikh Taufik, 41, Datuk Dr Sheikh Muszapha, 40, dan Sheikh Arwiz, 34.
Zuraida ketika ditemui selepas pengebumian, berkata dia reda dengan pemergian suaminya dalam keberkatan penghulu segala hari pada hari Jumaat.
“Saya puas menjaganya sepenuh hati selama sebulan dia sakit. Saya tak ke mana-mana, hanya menjaganya dengan sepenuh perhatian sebagai menunaikan tanggungjawab isteri.
“Alhamdulillah kita dapat bersama sembahyangkan dia selepas sembahyang Jumaat di surau PPUKM dan solat jenazah sekali lagi di Masjid Negeri, Negeri Sembilan. Terima kasih yang datang hadiahkan al-Fatihah kepada arwah.
“Memang hati arwah tetap di Negeri Sembilan. Dia selalu balik di tempat kelahirannya di Kampung Arab, Port Dickson dan mahu berjasa kepada negeri ini. Anak yang meninggal dulu pun dia suruh bawa balik Seremban dan dia pun pesan yang sama untuk dikebumi di sini,” katanya.
Dr Sheikh Muszapha pula berkata, sudah seminggu mereka sekeluarga bersama arwah dan memang mengetahui petanda arwah akan pergi meninggalkan mereka terutama sejak dua minggu kebelakangan apabila kerap mengadu penat dan lemah.
“Apapun sudah pastinya akan menjadi kehilangan besar. Ayah seorang yang begitu tegas serta luar biasa, seorang yang menekankan disiplin, kekuatan diri, mental dan psikologi,” katanya.
Bapa Datuk Sheikh Mustapha (Angkasawan Negara) meninggal dunia
Entri Lain
Permalink: Bapa Datuk Sheikh Mustapha (Angkasawan Negara) meninggal dunia
Categories Isu Semasa
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment