Tragedi Germanwings: Penyelamat cari mayat mangsa di celah-celah serpihan pesawat

Thursday, March 26, 2015

Tragedi Germanwings: Penyelamat cari mayat mangsa di celah-celah serpihan pesawat 

SEYNE, Perancis: Penyiasat mencari mayat mangsa di celah-celah serpihan pesawat Jerman yang berkecai dan petunjuk mengapa kapal berkenaan kehilangan altitud selama lapan minit dan kemudiannya terhempas di pergunungan Alps menyebabkan 150 orang terkorban.

Beratus-ratus anggota bomba dan polis di Le Vernet melancarkan operasi besar-besaran di kawasan nahas yang bercerun, dan hanya boleh sampai dengan menggunakan helikopter atau mendaki.

Sementara itu, pakar di Paris menganalisis salah satu kotak hitam bagi mencari petunjuk mengapa pesawat Germanwings Airbus A320 terbabit terhempas dalam cuaca baik.


Presiden Perancis, Francois Hollande dan rakan sejawatan dari Jerman serta Sepanyol dijangka melawat lokasi nahas pada kira-kira jam 2 petang waktu tempatan (9 malam waktu Malaysia) bagi memberi penghormatan kepada mangsa kebanyakannya rakyat Jerman dan Sepanyol - nahas terburuk di negara itu selepas empat dekad.

Menteri Dalam Negeri Perancis, Bernard Cazeneuve berkata, pemeriksaan terhadap kotak hitam yang rosak itu, terkandung rakaman perbuatan dan bunyi dalam kokpit, akan dimulakan "dalam beberapa jam lagi".

Sehubungan itu, Menteri Pengangkutan, Alain Vidalies berkata, jika rakaman perbuatan dirakam, penyiasatan berkenaan akan berjalan "agak pantas".

"Selepas itu, jika kami perlu menganalisis bunyi, kerja itu akan mengambil masa beberapa minggu tetapi kerja itu boleh memberikan beberapa penjelasan," kata Vidalies.

Selain itu, kotak hitam kedua pesawat malang terbabit yang merakam data penerbangan masih belum ditemui.

Pegawai penyiasat sedang mencari petunjuk mengapa pesawat yang dikendalikan Germanwings, iaitu syarikat penerbangan tambang murah milik Lufthansa, dikatakan kehilangan altitud selama lapan minit ketika dalam penerbangan di antara Barcelona dan

Duesseldorf. - AFP

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI