Uptown KT Walk bakal serikan suasana malam

Thursday, March 05, 2015

Uptown KT Walk bakal serikan suasana malam

Kerajaan negeri Terengganu merancakkan lagi sektor pelancongan dengan mewujudkan sebuah pasar malam dikenali 'Uptown KT Walk' di sekitar Jalan Sultan Ismail di sini, tidak lama lagi.
  
Menteri Besar, Datuk Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, pasar malam itu akan menggabungkan pelbagai variasi makanan tradisi yang menjadi kebanggaan rakyat Terengganu agar pelancong dapat menghayati keunikan yang ada di negeri itu.
  
"Hanya peniaga makanan terpilih sahaja akan dipelawa untuk menyertai Uptown ini, contohnya peniaga nasi dagang, nasi kerabu dan kuih muih lain yang memang memenuhi citarasa asli Terengganu.
  
"Selain itu, akan ada jualan barangan dengan promosi tertentu akan diadakan bagi menghidupkan suasana malam yang agak suram di Kuala Terengganu ketika ini, katanya.
  
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil cawangan Kuala Terengganu, di sini hari ini.  
  
Lokasi Uptown itu akan bermula dari Hotel Seri Malaysia hingga ke Agro Bank, Kuala Terengganu memandangkan laluan itu tidak akan mengganggu lalu lintas.
  
"Perkara ini akan diselia oleh Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) dengan kerjasama persatuan penjaja yang diharap dapat merancakkan lagi sektor ekonomi dalam kalangan mereka.
  
"Buat permulaan, ia akan diadakan pada setiap Jumaat malam Sabtu antara 7 hingga 12 tengah malam dan kerajaan negeri bercadang memberikan insentif khas kepada peniaga yang menjual makanan tradisi Terengganu di Uptown," katanya. - Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI