Tujuh amanat pemimpin Melayu

Sunday, March 01, 2015

Tujuh amanat pemimpin Melayu

Datuk Seri Najib Tun Razak menggariskan tujuh amanat utama sebagai panduan untuk bangsa Melayu melangkah maju pada abad ke-21 dan menjadi kuat, hebat serta bermaruah.

Perdana Menteri ketika menggariskan amanat itu dalam Malam Perhimpunan Perpaduan Melayu di Stadium Putra, Bukit Jalil di sini berkata, orang Melayu dan umat Islam mesti memperjuangkan ketinggian agama Islam serta syiarnya sebagai agama Persekutuan yang berasaskan al-Quran dan al-Sunnah.

Menurut beliau, amanat kedua menuntut orang Melayu mempertahankan institusi raja-raja Melayu dan hak keistimewaan mereka serta kaum bumiputera yang lain seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Najib memberitahu, amanat ketiga menegaskan komitmen untuk menegakkan maqasid syariah manakala amanat keempat menyatakan tekad memperkukuhkan ekonomi orang Melayu agar mampu bersaing dengan kaum-kaum lain di negara ini dan di pentas antarabangsa.

Beliau yang juga Presiden UMNO menambah, amanat kelima memberi penekanan terhadap usaha melatih dan mendidik orang Melayu sebagai peneraju yang berilmu, berpengetahuan, berkemahiran tinggi, berdaya saing, kreatif, inovatif, berwawasan serta berfikiran global namun dalam masa sama, berpaksikan kepada adat resam dan budaya Melayu.

“Amanat keenam iaitu menyuburkan nilai-nilai mahmudah yang mulia lagi terpuji seperti berjiwa besar, semangat juang yang tinggi, berani serta patriotik kepada watan dengan menjauhi sifat-sifat mazmumah yakni tercela, terkeji seperti berdengki dan bersengketa serta bermusuh-musuhan sesama bangsa.

“Amanat ketujuh, memperteguh institusi keluarga dan masyarakat Melayu serta menjadikan nilai murni seperti hormat menghormati, kasih mengasihi, tolong menolong sesama kita di samping itu menjauhi sifat-sifat negatif seperti buruk sangka, saling memfitnah sesama bangsa dan seumpamanya,” katanya.

Yang turut hadir Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein; Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Wahid Omar dan Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob serta Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM), Datuk Dr. Hasan Mad.

Perdana Menteri menegaskan, dengan tujuh amanat tersebut, orang Melayu wajib mengorak langkah dalam mengeratkan silaturahim sesama bangsa.

Beliau berkata, orang Melayu mesti menjadi bangsa yang kuat, hebat, bermaruah dan diberkati Allah SWT.

“Amanat yang dilafazkan ini bagi mewakili semua pemimpin Melayu hendaklah dijadikan peringatan yang kekal untuk kita semua.

“Selagi ada bulan dan bintang serta selagi darah Melayu mengalir dalam tubuh badan kita semua, amanat ini menjadi wadah dan maslahah umat ini dan kita akan terus perjuangkan sampai bila-bila,” ujarnya.

Najib mengakhiri amanatnya dengan laungan ‘Hidup Melayu!’ dan ‘Allahuakbar’ masing-masing sebanyak tiga kali yang seterusnya disambut dengan teriakan gemuruh oleh para hadirin.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI