PKNP Umum Bonus 3 Bulan Berdasarkan Prestasi Untuk Kakitangan

Wednesday, March 25, 2015

PKNP Umum Bonus 3 Bulan Berdasarkan Prestasi Untuk Kakitangan

Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), entiti yang mewakili kerajaan dalam urus niaga dan hal yang berkaitan kepentingan negeri, hari ini mengumumkan pemberian bonus tiga bulan secara purata, iaitu berpandukan penilaian prestasi dan perkhidmatan bagi 2014, kepada kakitangannya.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata ini merupakan kali pertama PKNP memberi bonus selepas 20 tahun tidak berbuat demikian.

Beliau berkata sepanjang tempoh itu, beberapa langkah penstrukturan dilakukan bagi memastikan PKNP mampu berfungsi dengan baik dan menyediakan ganjaran yang setimpal kepada kakitangannya.

"Ini bermakna bukan semua dapat bonus selama tiga bulan tapi akan berpandukan kepada 'performances based bonus' iaitu secara purata.

"Mungkin ada kakitangan yang dapat bonus selama sebulan, dua bulan dan ada juga yang tiga bulan," katanya dalam sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di sini.

Zambry juga berharap PKNP akan terus maju dengan melihat sektor baharu yang lebih strategik selain fokus dalam penglibatan mereka, khususnya yang membabitkan sektor ekonomi, pembinaan dan sebagainya.

"Sejak saya memegang (jawatan pengerusi lembaga pengarah) lagi, saya berusaha untuk memastikan supaya dimensi PKNP ini dapat dilihat dan ditinjau semula bagi memastikan PKNP dapat berfungsi dalam penglibatan mereka khususnya melibatkan hal ehwal pembangunan dan juga sumber ekonomi di negeri Perak ini.

"Lantaran itu, saya gembira dengan pencapaian setakat ini iaitu mereka telahpun dapat menyediakan bonus kepada kakitangan.

"...ia adalah hasil daripada kerja yang dilakukan oleh semua pihak, maka wajar untuk diberikan ganjaran dengan kerja yang telah mereka lakukan," katanya.

Dalam pada itu, Zambry berkata isu pentadbiran air tidak sepatutnya membabitkan politik sebaliknya perlu diurus dengan baik untuk memberikan manfaat kepada rakyat dan negeri.

- BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI