Amalan Tradisi Memindahkan Rumah (Usung Rumah) Bakal Lenyap

Wednesday, March 25, 2015

Amalan Tradisi Memindahkan Rumah (Usung Rumah) Bakal Lenyap

Amalan memindahkan rumah menggunakan kudrat manusia atau lebih dikenali sebagai "usung rumah" pernah mewarnai budaya masyarakat Melayu negara ini terutama di kawasan kampung.

Sejak zaman penjajah, hampir saban minggu kegiatan yang memperlihatkan semangat bergotong-royong masyarakat itu berlangsung namun amalan tradisi itu kini hampir lenyap akibat arus modenisasi.

Kewujudan perumahan moden dan pembinaan rumah-rumah konkrit di kawasan kampung menjadi faktor kegiatan usung rumah semakin lenyap meskipun semangat gotong-royong masih segar.

Lagipun kegiatan usung rumah hanya membabitkan rumah papan yang bertiang dan tidak boleh dilakukan bagi rumah batu dan konkrit.

PINDAH BERSAMA RUMAH

Seorang budayawan, Mokhtar Abdul Karim, 74, berkata, kegiatan usung rumah lazimnya membabitkan perpindahan penduduk dalam jarak dekat.

Apa pula yang mendorong mereka untuk turut membawa bersama rumah mereka ke lokasi baru?

"Ada penduduk yang teramat sayang rumahnya. Bila dia pindah, dia mahu bawa rumah sekali," katanya kepada Bernama.

Mokhtar, seorang novelis veteran yang mengguna nama pena Mokhtar AK, berkata faktor lain ialah struktur rumah itu dibeli oleh pihak lain menyebabkan ia diusung keluar ke lokasi baru yang ditetapkan pembeli.

Sebahagian besar generasi muda bukan sahaja tidak pernah mendengar perkataan usung rumah apatah lagi menyaksikan kegiatan itu.

Bagi warga emas, Sum Sanapi, 81, rumahnya juga pernah diusung sejauh lebih 500 meter dari tapak asalnya di Kampung Belanga Pudak, Perlis lebih 40 tahun lepas.

Rumahnya yang tersorok di pinggir hutan buluh dan tanah perkuburan dipindahkan ke tapak baharu yang lebih strategik.

"Rumah diusung menyeberangi tali air ke tapak baharu dan selepas itu diusung pula 'jelapang padi' (tempat menyimpan padi) ke tempat sama," kata wanita yang kini menetap di Telok Kachang.

BINA JAMBATAN BATANG KELAPA

Baginya tapak baharu lebih strategik kerana berhampiran tali air yang mempunyai banyak ikan selain terdapat hutan nipah yang memberi sumber rezeki.

Persiapan bermula dengan bergotong-royong membina jambatan menggunakan batang kelapa bagi membolehkan rumah itu diusung menyeberangi tali air.

"Masa itu tak ada jentera moden dan semua dilakukan dengan kudrat gotong- royong termasuk menebang dan mengusung batang nyoq (kelapa) satu demi satu," katanya mengimbau kisah silam.

Berdasarkan penelitian penulis, biasanya jarak usungan rumah tidak melebihi dua kilometer kerana untuk jarak yang lebih jauh, rumah berkenaan perlu diceraikan bahagian-bahagiannya dan dipindahkan dengan lori dan dipasang semula di tapak yang baharu.

Proses usung rumah bermula dengan hebahan kepada masyarakat termasuk melalui imam masjid selepas solat Jumaat mengenai gotong-royong itu.

Penganjur kegiatan usung rumah akan berdiri di sisi imam ketika pengumuman itu dibuat bagi membolehkan jemaah masjid mengenalinya.

Lazimnya kegiatan usung rumah dilakukan kira-kira seminggu selepas pengumuman dibuat dan ada yang dilangsungkan lebih awal.

Selain pengumuman di masjid, penganjur juga akan mendapatkan kerjasama ketua kampung atau pemimpin komuniti serta jiran-jiran bagi menjayakan kegiatan itu.

BULUH USUNGAN

Antara persiapan penting sebelum rumah diusung adalah penyediaan pengalas usungan daripada buluh bagi memudahkan kerja-kerja mengusung rumah.

Buluh-buluh yang ditebang secara bergotong-royong itu diikat ke rasuk rumah dan jumlah buluh yang digunakan bergantung kepada saiz rumah.

Rumah yang bakal diusung perlu dikosongkan daripada segala perabot dan barangan supaya mengurangkan berat kepada pengusungnya.

Penulis yang pernah melihat dan menyertai kegiatan usung rumah mendapati rumah yang berat pun dapat diusung secara mudah tetapi perlu diusung dengan berhati-hati.

Ini kerana jika pengusung terjatuh semasa bergerak beliau mungkin dipijak oleh pengusung lain memandangkan pergerakan rumah tidak boleh dihentikan secara mengejut.

Jika kegiatan itu dilihat dari lokasi tinggi, ia persis sekumpulan semut yang mengusung cebisan makanan dan pergerakannya perlahan serta dilakukan secara berhati-hati.

Biasanya sekurang-kurangnya 50 orang diperlukan bagi mengusung sebuah rumah bersaiz kecil dan angka itu lebih tinggi bagi rumah bersaiz besar.

PERANAN TEKONG

Selain pengusung rumah, turut berperanan penting dalam kegiatan itu ialah tekong atau penunjuk arah yang akan bertanggungjawab memastikan rumah yang diusung tidak melanggar pokok atau halangan lain.

Beliau akan memaklumkan jika terdapat halangan di hadapan termasuk bonggol, tunggul pokok atau kubang dan parit supaya para pengusung lebih berhati-hati.

Tempik sorak para pengusung adalah perkara biasa semasa kerja-kerja mengusung rumah namun suara tekong biasanya lebih lantang supaya boleh didengari mereka yang menyertai gotong-royong itu.

Tekong juga akan memaklumkan apabila rumah yang diusung tiba di tapak baharu dan beberapa orang telah bersedia menyelaraskan pelapik tiang sebelum rumah diletakkan secara tepat di lokasi.

Tradisi Usung Rumah

MENIKMATI JAMUAN SANTAI

Selepas berakhir kegiatan usung rumah, para peserta gotong-royong biasanya akan dijamu dengan bubur kacang atau bihun goreng selain minuman kopi.

Kepuasan dapat dirasakan oleh para pengusung dan tuan rumah selepas melihat rumah yang diusung dengan penyatuan kudrat, kerjasama dan toleransi itu tiba di tapak baharu dengan sempurna.

Sementara itu, beberapa kegiatan usung rumah dikesan di Perlis sejak 2010 termasuk di kampung Wang Belimbing, Kampung Sena, Kampung Jarak dan Kampung Katong.

Selain kegiatan usung rumah, para penduduk pernah bergotong-royong mengusung "jelapang padi" dan yang terbaru berlangsung di Gial, Perlis pada awal Mac.

Pastinya kegiatan ini akan tinggal sejarah tidak lama lagi jika rumah-rumah papan yang bertiang telah berganti dengan rumah batu dan konkrit.

Oleh Adnan Jahaya

- BERNAMA

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI