Showing posts with label Ekonomi. Show all posts
Showing posts with label Ekonomi. Show all posts

Berita: Caj telefon bimbit dijangka turun

Tuesday, March 03, 2015 0 Komen

Caj telefon bimbit dijangka turun

43.7 juta pemilik telefon bimbit di negara ini bakal menerima berita gembira apabila kerajaan sedang berusaha mencari formula terbaik membolehkan pengguna menikmati caj perkhidmatan telekomunikasi yang lebih rendah berbanding kadar sedia ada ketika ini.

Jika formula itu berjaya direalisasikan dalam masa terdekat, ia merupakan khabar gembira berganda buat rakyat Malaysia selepas kerajaan menerusi Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan bersama 16 pasar raya utama di seluruh negara berjaya menurunkan harga 82,000 barang bermula kelmarin.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (gambar kecil) berkata, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah memulakan perbincangan dengan syarikat penyedia perkhidmatan telekomunikasi (Telco) di negara ini bagi mencari kaedah atau formula yang bersesuaian.

Namun jelasnya, kadar baharu yang lebih rendah itu perlulah seimbang dan tidak menjejaskan operasi syarikat berkenaan serta perlu mengambil kira kos yang telah dilaburkan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan di seluruh negara.

“Sudah tentulah kerajaan mahukan caj perkhidmatan ini lebih rendah berbanding sekarang agar ia tidak memberi beban kepada rakyat.

“Tetapi pada masa sama, kita mahukan mutu perkhidmatan telekomunikasi yang ditawarkan adalah terbaik terutama dari segi kepantasan capaian dan keluasan kawasan liputan.

“Sebab itulah kita perlu bincang dengan syarikat telekomunikasi untuk cari kaedah terbaik mengenainya,” katanya.~ Kosmo

Malaysia Tuan Rumah Perhimpunan Agung ICAPP 2016

Monday, March 02, 2015 0 Komen

Malaysia Tuan Rumah Perhimpunan Agung ICAPP 2016

Malaysia akan menjadi tuan rumah Perhimpunan Agung Persidangan Antarabangsa Parti-parti Politik Asia (ICAPP) kali ke-9 pada Oktober tahun hadapan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim berkata perkara tersebut telah dibincangkan pada Mesyuarat Jawatankuasa ICAPP yang bermula semalam dan berakhir esok.

Perhimpunan agung tersebut diadakan bagi melantik ahli jawatankuasa baharu ICAPP untuk kali kesembilan bagi menerajui ICAPP, kata Shahidan yang juga pengerusi sayap Pemuda ICAPP selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa ICAPP di Bandar Utama di sini, Isnin.

"Perhimpunan itu melibatkan semua negara Asia yang akan diwakili semua parti-parti politik. Ia diadakan setiap dua tahun sekali, dan kita sasarkan untuk jemput 350 parti politik termasuk pemerhati bagi menghadiri perhimpunan itu," katanya.

Shahidan berkata keputusan itu merupakan suatu penghormatan kepada negara dan dijangka menjadi suatu perhimpunan agung yang bersejarah.

Perhimpunan Agung ICAPP kali kelapan diadakan pada September tahun lepas di Sri Lanka yang berlangsung selama empat hari.

ICAPP merupakan persidangan melibatkan parti-parti pemerintah, pembangkang dan Bebas di Asia yang dibentuk pada tahun 2000 bertujuan antaranya meningkatkan kerjasama serta persefahaman.

Mengenai Mesyuarat Jawatankuasa Forum Perubatan Kecemasan Antarabangsa ke-3 (IMEF), Shahidan berkata berdasarkan mesyuarat hari ini, IMEF akan dijenamakan semula sebagai 'ICAPP Programme Disaster Assistance (IPDA)'.

Bagaimanapun, beliau berkata jawatankuasa IPDA yang akan didaftar dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) itu akan mengekalkan pejabat pengurusannya di Malaysia bagi menyelia segala agenda dan program IPDA.

Katanya IPDA berperanan mengukuh perhubungan antara negara Asia bagi mengumpul dana untuk menjayakan segala program bantuan menangani pelbagai isu antaranya bencana alam, penyeludupan manusia, dadah, kemiskinan dan rasuah.

~BERNAMA

Harga terkini petrol RON95, RON97, diesel naik 25 sen bermula 1 Mac 2015

Sunday, March 01, 2015 0 Komen

Harga baru petrol RON95, RON97, diesel bermula 1 Mac 2015

Harga baharu petrol RON95, RON97 dan diesel naik 25 sen seliter mulai 1 Mac 2015.

Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) dalam satu kenyataan pada Sabtu berkata, dengan peningkatan itu, harga minyak seliter kini RM1.95 untuk petrol RON95, RM2.25 bagi RON97 dan RM1.95 bagi diesel.

Peningkatan harga petrol dan diesel ini adalah berdasarkan kepada purata harga kos produk sepanjang bulan Februari 2014 dan kadar pertukaran matawang.

"Harga baharu ini akan berkuatkuasa bagi bulan Mac 2015. Kerajaan akan mengikuti perkembangan pasaran harga kos produk dan kadar pertukaran.

"Kerajaan pada 21 November 2014 telah memutuskan bahawa penetapan harga runcit RON95 dan diesel adalah mengikut kaedah pengapungan terkawal bermula 1 Disember 2014," kata kementerian itu dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan dalam satu catatan tweetnya menulis orang ramai perlu mengatur perbelanjaan dengan lebih baik berikutan peningkatan harga petrol ini.

Pada 1 Disember 2014, harga runcit petrol dan diesel ditetapkan mengikut sistem apungan terurus, yang menandakan penghapusan semua subsidi bahan api.

Di bawah apungan terurus tersebut, harga runcit akan berdasarkan purata harga bulanan minyak mentah dunia.

Keuntungan Petronas sebelum cukai RM77.7 bilion

Friday, February 27, 2015 0 Komen

Keuntungan Petronas sebelum cukai RM77.7 bilion

Keuntungan sebelum cukai Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Dis, 2014, susut kepada RM77.7 bilion daripada RM94.3 bilion yang dicatatkan tahun sebelumnya.

Ketua Pegawai Kewangannya Datuk George Ratilal, semasa mengumumkan keputusan kewangan kumpulan itu di sini, hari ini, berkata keuntungan rendah itu adalah disebabkan kejatuhan harga minyak yang membawa kepada penjejasan tinggi sebanyak RM22.6 bilion.

Bagaimanapun, hasil meningkat sebanyak 4.0 peratus kepada RM329.1 bilion daripada RM317.3 bilion sebelumnya.

Perbadanan minyak nasional itu juga buat pertama kalinya mencatatkan kerugian sebelum cukai suku tahunan pada suku keempat 2014 sebanyak RM400 juta berbanding keuntungan sebelum cukai RM17.6 bilion dalam suku yang sama pada 2013, berikutan hasil rendah sebanyak RM79.4 bilion daripada RM84.8 bilion sebelumnya.

"Kami mula melaporkan bagi asas suku tahunan kira-kira lima tahun lalu dan kami tidak pernah mencatatkan kerugian pada suku tahunan sepanjang tempoh itu, saya tidak ingat pernah melihat kerugian dicatatkan Petronas bagi suku tahunan, jadi 2014 (secara keseluruhan) bukan satu kerugian," katanya.

Mengenai penjejasan tinggi itu, Ratilal berkata sekiranya harga minyak berdasarkan kepada prospek kumpulan, Petronas tidak menjangkakan penjejasan lebih besar pada masa hadapan.

"Penjejasan itu adalah berdasarkan kepada apa yang kami nilai, disebabkan oleh harga minyak semasa, apakah jenis pendapatan yang akan kami peroleh bagi tempoh beberapa tahun akan datang. Penjejasan itu telah dinilai setiap suku tahun. Ia pada asasnya adalah satu perkara yang sementara, bukan kekal.

"Apa yang kami lakukan, sebagai sebuah syarikat minyak, ialah standard perakaunan, berdasarkan kepada pendapatan masa depan dan harga semasa. Sekiranya harga minyak meningkat (pada masa depan), kami akan masuk kira semula," katanya.

Dividen KWSP 6.75 peratus, pulangan terbaik

Monday, February 09, 2015 0 Komen

Dividen KWSP 6.75 peratus

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) menyifatkan kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak 6.75 peratus untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2014 sebagai perkembangan yang amat memberangsangkan.

Presidennya, Mohd. Khalid Atan berharap, perkembangan positif itu akan berterusan pada setiap tahun.

“Tahniah diucapkan kepada KWSP. Peningkatan kadar dividen ini juga membuktikan komitmen agensi itu untuk meningkatkan nilai simpanan pencarumnya.
Advertisement

“Ini merupakan pulangan terbaik dan kami berharap momentum dan prestasi ini dapat dikekalkan secara berterusan,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Pengerusi KWSP, Tan Sri Samsudin Osman mengumumkan kadar dividen 6.75, meningkat berbanding 6.35 peratus pada 2013.
Advertisement

Menurut beliau, bayaran dividen itu berjumlah RM36.66 bilion, berbanding RM31.2 bilion pada 2013.

Katanya, dana simpanan persaraan terbesar negara itu juga mencatatkan pendapatan pelaburan kasar sebanyak RM39.08 bilion bagi 2014, meningkat 11.66 peratus berbanding RM35 bilion pada 2013, dipacu terutamanya oleh ekuiti dalam pasaran domestik dan global.

Dalam pada itu, Mohd. Khalid turut berpendapat antara faktor yang menyumbang kepada peningkatan secara berterusan setiap tahun itu adalah disebabkan oleh kecekapan pengurusan oleh agensi tersebut.~ Utusan

Beza cukai perkhidmatan dan caj perkhidmatan

Friday, February 06, 2015 0 Komen

Beza cukai perkhidmatan dan caj perkhidmatan

Caj perkhidmatan yang dibayar oleh pengguna selama ini bukan cukai kerajaan, sebaliknya caj yang dikenakan oleh perniagaan, kata Timbalan Menteri Kewangan Datuk Chua Tee Yong.

Sehubungan itu katanya pengguna berkemungkinan tetap dikenakan caj tersebut apabila Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dikuat kuasa 1 April ini.

Menurut Tee Yong pada masa ini perniagaan restoran misalnya mengenakan kedua-dua cukai perkhidmatan dan caj perkhidmatan.
   
"Cukai perkhidmatan ini akan diganti dengan GST namun caj perkhidmatan tetap ada," katanya kepada pemberita selepas perbincangan meja bulat mengenai CBP antara  Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, di sini hari ini.
   
"Caj perkhidmatan bukan pendapatan kerajaan. Ia dicaj oleh perniagaan. Syarikat mungkin masih mengenakan caj ini selepas pelaksanaan CBP," katanya yang diminta mengulas mengenai tanggapan salah bahawa caj perkhidmatan merupakan satu bentuk cukai dan dikenakan oleh kerajaan.   
   
Sementara itu, Tee Yong memberi jaminan kerajaan tidak akan mengenakan penalti kepada syarikat yang melakukan kesilapan yang tidak disengajakan dalam tempoh dua tahun pertama pelaksanaan GST.

Katanya antara kesilapan itu ialah perhitungan kurang tepat berikutan masalah perisian.
   
"Buat permulaan kerajaan tidak akan mengenakan denda, malah audit yang akan dilakukan pihak kastam adalah bertujuan untuk memberi nasihat dan panduan," katanya.
   
Menurutnya audit itu akan diadakan sepanjang tempoh dua tahun pertama pelaksanaan GST. - Bernama

Ops Kastam buru peniaga tak daftar GST bermula 1 Mac 2015

Wednesday, February 04, 2015 0 Komen

Ops Kastam buru peniaga tak daftar GST bermula 1 Mac 2015

Kastam Diraja Malaysia memutuskan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas peniaga yang mendaftar untuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) pada selewat-lewatnya 28 Februari depan.

Bagaimanapun, Ketua Pengarah Kastam, Datuk Seri Khazali Ahmad, berkata pihaknya akan menjalankan operasi secara besar-besaran pada 1 Mac ini ke atas peniaga yang masih gagal mendaftar pada 28 Februari, termasuk mengambil tindakan undang-undang.

kastam“Selaras dengan peruntukan di bawah Akta GST 2014, mana-mana peniaga yang masih gagal mendaftar pada 28 Februari itu akan didaftarkan secara paksaan dan tindakan undang-undang akan diambil ke atas mereka.

“Sehubungan itu, pihak Kastam memohon peniaga yang sepatutnya berdaftar di bawah GST mengambil peluang ini untuk mengelak tindakan undang-undang ke atas mereka yang lewat mendaftar,” katanya dalam satu kenyataan media, Isnin.

Khazali berkata, kelonggaran itu bertujuan membantu peniaga di Malaysia.

“Ini berikutan terdapat banyak rayuan yang diterima daripada peniaga yang dalam persediaan melaksanakan sistem percukaian GST,” katanya.

Mengikut undang-undang di bawah Seksyen 184 Akta GST 2014, syarikat yang mempunyai pembekalan bercukai melebihi RM500,000 perlu mendaftar.

Mereka yang gagal berbuat demikian boleh didenda tidak melebihi RM30,000 atau dipenjarakan tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya.

Mengulas sambutan terhadap GST, beliau berkata reaksi diterima amat menggalakkan dan sehingga 29 Januari 2015, sebanyak 308,400 syarikat telah pun berdaftar.

Kerajaan juga, kata Khazali, optimis GST dapat dilaksanakan dengan lancar apabila dikuatkuasakan sepenuhnya mulai 1 April depan.

Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) jadikan ASEAN kuasa besar ekonomi

Wednesday, January 28, 2015 0 Komen

Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) jadikan ASEAN kuasa besar ekonomi

ASEAN kini benar-benar meraih tarikan sebagai satu entiti ekonomi berpotensi dengan prospek mega dalam perdagangan dan pelaburan.

Hakikat ini akan lebih terserlah apabila Komuniti Ekonomi ASEAN (AEC) direalisasikan hujung tahun ini.

Tidak dapat dinafikan AEC mewujudkan persekitaran kondusif untuk syarikat tempatan meningkatkan jualan, melebarkan sayap operasi di luar pasaran domestik dan membolehkan penyumberan dari seluruh rantau.

Kedudukannya sebagai ekonomi ketujuh terbesar di dunia dengan nilai keluaran dalam negara kasar (KDNK) tergabung US$2.5 trilion, menarik lebih banyak negara di luar ASEAN untuk menjadi rakan dialognya termasuk Bangladesh dan Timor Leste.

Menyedari potensinya sejak dahulu lagi, Australia negara pertama menjadi rakan dialog dan disusul pantas oleh China, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, India, Amerika Syarikat, Rusia, Kanada dan Kesatuan Eropah (EU).

Bagi melangkah lebih jauh, ASEAN kini berbincang dengan rakan dialog yang mempunyai ikatan perjanjian perdagangan bebas dengannya untuk menubuhkan Kerjasama Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) bagi mewujudkan kawasan ekonomi berdaya saing tinggi.

Potensi perkumpulan serantau ini juga bakal meraih momentum lebih hebat dengan Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, berusaha gigih memacu transformasi serantau dan memperkasa pertumbuhan menerusi platform yang holistik.

Ini termasuk bukan sahaja mempertingkat interaksi kerajaan dengan kerajaan atau perniagaan dengan perniagaan, tetapi lebih penting lagi rakyat dengan rakyat agar masyarakat biasa juga menerima laba daripada perancangan yang disusun.

Bagi Malaysia, seruan lantang menggesa syarikat tempatan mengintai peluang di peringkat rantau terutama dengan pelaksanaan AEC yang akan memperluas sempadan untuk tenaga kerja dan rakyatnya.

Sementelah dengan populasi serantau sekitar 625 juta berbanding penduduk negara berjumlah 30 juta, berserta KDNK tergabung US$2.5 trilion, sudah pasti banyak peluang terhidang di bawah AEC.

Sebagai satu pasukan, AEC mempunyai kuasa ekonomi untuk muncul sebagai pangkalan pengeluaran dinamik dan perniagaan bagi syarikat-syarikat global termasuk menghasilkan peluang pekerjaan yang amat diperlukan di rantau ini.

Berikutan itu, kira-kira 1,000 syarikat Malaysia yang bertapak di ASEAN boleh mengembangkan operasi mereka lebih jauh memandangkan AEC menyasarkan untuk muncul sebagai rantau ekonomi bersepadu dengan merangkumi ekonomi-ekonomi serantau.

Antara syarikat Malaysia yang sudah beroperasi sebagai syarikat serantau atau bertaraf global termasuk Petronas, Sime Darby, Ingress, Axiata, AirAsia, Maybank, CIMB, firma perundangan ZICOlaw,
SapuraCreest Petroleum dan Pathlab.

Selain syarikat gah terbabit, tidak ketinggalan pengeluar produk makanan seperti Hup Seng, Julie's, Ramly, dan Mamee serta syarikat berasaskan perkhidmatan Safeguards, firma pemasaran berbilang tingkat Hai-O, Mastech, Success Transfer Corporation dan syarikat berasaskan pengguna NTPM Holdings.

Bagi rakyat Malaysia, AEC juga bermakna peluang pekerjaan terutama untuk jurutera, juruteknik, penganalisis kewangan, akauntan dan lain-lain yang berkemahiran khusus, apabila syarikat-syarikat di ASEAN mengembangkan perniagaan di Malaysia serta sebaliknya.

Kira-kira 27 peratus daripada nilai perdagangan global Malaysia yang bernilai RM374.7 bilion pada 2013 ialah dengan ASEAN manakala aliran masuk pelaburan langsung asing dari ASEAN ke Malaysia pula bernilai US$6.2 bilion.

Statistik ini tidak boleh diketepikan kerana ia bukti kekayaan ekonomi Malaysia dan ASEAN saling berkait rapat dan ini turut bermakna rakyat Malaysia harus memperhebat usaha untuk meraih laba yang maksimum.

Sehubungan itu, tanggapan bahawa syarikat serantau akan masuk dan 'merompak' peluang perniagaan, pelaburan, pekerjaan rakyat Malaysia serta merampas hak-hak keistimewaan kita adalah tidak benar kerana ekonomi yang mengembang membawa masuk lebih banyak kebaikan.

Isu serupa turut dibahaskan di negara-negara ASEAN namun "ini merupakan sifat perdagangan global" seperti yang dihujahkan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Kebimbangan bahawa akan berlaku pergerakan bebas tenaga kerja juga merupakan tanggapan salah kerana di bawah AEC, perjanjian yang termeterai hanya menuntut kebebasan pergerakan tenaga kerja mahir.

Berdasarkan agenda luas ASEAN, amat penting bagi para pemimpin dalam sidang kemuncak di Kuala Lumpur pada April ini membuat keputusan agar sekretariat diperkasa dengan staf yang mencukupi daripada 300 orang sekarang, berbanding 300,000 di EU.

Penganjuran mesyuarat peringkat menteri dan sidang kemuncak ASEAN oleh Malaysia bukan sahaja tepat pada masa tetapi juga penting kerana ia akan menyediakan pentas untuk kemunculan satu pasaran tunggal dan kuasa besar ekonomi serantau menerusi AEC.

Bank Dunia: Kepelbagaian ekonomi Malaysia mampu tampung impak harga minyak

Sunday, January 25, 2015 0 Komen

Bank Dunia: Kepelbagaian ekonomi Malaysia mampu tampung impak harga minyak

Kedudukan ekonomi Malaysia yang pelbagai, bukan sahaja menyediakan penampan yang baik, malah mampu menampung dan mengehadkan impak susulan kejatuhan harga minyak, kata Bank Dunia. Ahli ekonomi kanan Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Frederico Gil Sander berkata impak daripada kelemahan harga minyak juga diimbangi menerusi pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan, selain penambahan hasil daripada cukai lain yang tiada kaitan dengan minyak dan gas (O&G).

"Sudah semestinya kejatuhan harga minyak akan memberi cabaran, namun ia dapat ditangani dengan lebih baik berbanding negara lain yang sumber minyaknya menyumbang 95 peratus kepada hasil kerajaan," katanya kepada Bernama.

Bank Dunia menjangkakan purata harga minyak tahun ini pada paras AS$75setong, susut 25 peratus daripada antara AS$97 dan AS$100 setong, tahun lalu.

Sudah bertahun-tahun lamanya pergantungan kerajaan kepada hasil O&G semakin berkurangan dan matlamatnya angka itu akan diturunkan kurang daripada 30 peratus.

Pada 2011, hasil Malaysia daripada petroleum sebanyak 35.8 peratus daripada jumlah pendapatan dan dikurangkan kepada 33.7 peratus pada 2012 dan 31.2 peratus pada 2013.

Berikutan harga minyak mentah yang rendah, kerajaan memutuskan untuk memyerahkan kuasa pasaran untuk menentukan harga bahan api pengguna menerusi sistem apungan terurus yang diumumkan setiap bulan.

Bagi Januari, RON95 dan RON97 masing-masing turun 35 sen kepada RM1.91 dan RM2.11 seliter dan diesel turun 30 sen kepada RM1.93 seliter.

Gil Sander berkata, sistem apungan terurus yang akhirnya akan memansuhkan subsidi bahan api, membantu bajet kerajaan memandangkan ia menjimatkan RM10.7 bilion.

"Sistem baharu itu juga baik untuk alam sekitar memandangkan subsidi merangsang penggunaan tenaga secara berlebihan, yang menyebabkan pelepasan karbon yang lebih tinggi.

"Memandangkan sistem apungan terurus hanya membabitkan turun naik harga dalam jangka pendek dan tidak membabitkan susidi, ia adalah langkah yang disambut baik," katanya.

Walaupun pengguna menikmati harga bahan api yang lebih rendah hasil daripada pelaksanaan sistem apungan terurus, harga minyak dunia yang rendah memberi kesan ke atas ringgit.

Namun, Gil Sander berkata masih ada 'cahaya di hujung terowong' memandangkan ringgit akan meningkatkan eksport dan mengurangkan insentif ke atas import memandangkan barangan import menjadi lebih mahal menggunakan ringgit, dengan kedua-duanya membantu akaun semasa negara.

Mengenai sama ada kejatuhan harga minyak dunia mengurangkan daya tarikannya kepada pelaburan langsung asing (FDI), beliau berkata: "FDI ditarik hasil daripada dasar makroekonomi yang baik, faktor yang dimiliki Malaysia, selain persekitaran perniagaan yang disediakan, satu lagi aspek yang memihak kepada Malaysia."

Beliau berkata, berdasarkan dasar fiskal, penyediaan bajet mengikut perspektif jangka sederhana akan meningkatkan kredibiliti dasar, seperti penyediaan bajet kementerian-kementerian untuk beberapa tahun ke hadapan.

- BERNAMA

Penggabungan tiga bank,CIMB, RHB Capital Bhd dan Malaysia Building Society Bhd (MBSB) belum ada keputusan - Nazir Razak

Wednesday, January 14, 2015 0 Komen

Penggabungan tiga bank belum ada keputusan  - Nazir Razak 

KUALA LUMPUR: Pengerusi CIMB Group Holdings Bhd, Datuk Seri Nazir Razak berkata belum ada keputusan dibuat berhubung cadangan penggabungan tiga hala bagi mewujudkan bank terbesar Malaysia.

Rancangan penggabungan CIMB, RHB Capital Bhd dan Malaysia Building Society Bhd (MBSB) akan membentuk kumpulan perbankan terbesar Malaysia dengan aset kira-kira AS$190 bilion (RM670 bilion), lebih besar daripada Malayan Banking Bhd (Maybank) yang kini adalah bank keempat terbesar di Asia Tenggara.

"Ia belum dibatalkan kerana belum ada pengumuman mengenainya," kata Nazir selepas pelancaran Laporan Strategi Korporat ASEAN di sini hari ini.

Nazir berkata, semua pihak terbabit sedang "rancak berunding' sejak beberapa minggu lalu dan mesyuarat lembaga pengarah memang sudah lama dijadualkan bermesyuarat dalam bulan ini untuk membuat keputusan.

Katanya, semua bank berkenaan sedang menilai sinergi yang akan diraih daripada penggabungan itu berdasarkan pelbagai faktor yang sudah berubah.

Ketiga-tiga bank akan membuat pengumuman mengenai rancangan penggabungan itu 'secepat mungkin', tambahnya.

Saham CIMB susut 3.2 peratus pada penutupan tengah hari, selepas malam tadi mengumumkan rundingan penggabungan masih berjalan. Saham RHB juga susut 1.7 peratus tetapi MBSB naik 4.4 peratus.

Semalam, kalangan yang rapat dengan janji niaga penggabungan itu mengumumkan ketiga-tiga bank merancang untuk membatalkan rancangan penggabungan itu. - Reuters

Ringgit dijangka kekal rendah untuk tempoh beberapa bulan

Wednesday, January 07, 2015 0 Komen

Ringgit dijangka kekal rendah untuk tempoh beberapa bulan

Kejatuhan nilai mata wang ringgit pada paras terendah sebaik sahaja 2015 membuka tirainya minggu lalu dijangka kekal untuk tempoh beberapa bulan bagi tahun ini.

Pengarah Urusan Asian Islamic Investment Management Sdn. Bhd. (AIIMAN) Akmal Hassan berkata aliran momentum terendah yang dicatatkan ketika ini dipengaruhi keputusan Rizab Persekutuan untuk menaikkan kadar faedah yang mana mengukuhkan nilai mata wang dolar semasa.

Beliau berkata, kejatuhan harga minyak mentah global di bawah paras AS$50 setong turut mempengaruhi kejatuhan ringgit untuk berada pada paras terendah untuk tempoh lima tahun setengah.

Katanya kekuatan ekonomi negara bergantung kepada pendapatan hasil minyak dan ini sekali gus menjadikan faktor penyumbang kepada kelemahan nilai ringgit.

"Situasi kejatuhan ringgit bukanlah sesuatu yang membimbangkan tetapi tidak boleh terlalu selesa kerana ia (nilai ringgit) akan memberi impak kepada kuasa membeli." katanya ketika dihubungi Bisnes Awani di sini, pada Rabu.

Tambah beliau lagi situasi ini juga mendorong pelabur enggan mengambil risiko mendagangkan mata wang ringgit dalam masa terdekat.

Sementara itu, mengulas sektor yang perlu diberi tumpuan susulan situasi ini, Akmal berpendapat sektor domestik perlu menjadi pemangkin dalam memastikan nilai ringgit kembali kukuh.

Beliau berkata, antara sektor penyumbang kepada pengukuhan nilai ringgit untuk tempoh jangka panjang termasuk sektor pembinaan serta infrastruktur.

Sektor ini, katanya menerusi pembinaan MRT ia dapat membantu menjana aktiviti domestik seterusnya memastikan aliran ringgit bergerak cergas di tengah-tengah pengukuhan dolar.

Selain itu, tambahnya lagi, kejatuhan ringgit menjadi tarikan kepada sektor berkaitan eksport.

Pada Rabu ringgit berada pada paras RM3.58 berbanding dolar daripada RM3.55 pada Selasa.

Ringgit jatuh ke paras terendah iaitu RM3.51 berbanding dolar pada sesi pembukaan 2 januari lalu, iaitu terburuk sejak september 2009.~ awani

KWSP mudahkan pengeluaran pinjaman perumahan dengan e-Pengeluaran

Tuesday, January 06, 2015 0 Komen

KWSP mudahkan pengeluaran pinjaman perumahan dengan e-Pengeluaran

Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mengumumkan ahli-ahli yang mempunyai pinjaman perumahan dengan RHB Bank dan Maybank boleh memilih menghantar permohonan pengeluaran mereka secara dalam talian melalui kemudahan e-Pengeluaran untuk pembayaran balik pinjaman perumahan.

Kemudahan itu yang disediakan melalui i-Akaun, memudahkan permohonan pengeluaran secara dalam talian bagi pembayaran ansuran bulanan pinjaman perumahan dan mengurangkan atau menyelesaikan baki pinjaman perumahan.

"Ahli perlu mendaftar sebagai pengguna i-Akaun untuk menggunakan kemudahan ini," kata KWSP dalam satu kenyataan hari ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Operasi), Datuk Mohd Naim Daruwish, berkata pada awalnya mereka memperkenalkan e-Pengeluaran dengan RHB Bank, dan setakat ini sudah menerima lebih daripada 10,000 permohonan pengeluaran daripada ahli yang mempunyai pinjaman perumahan bersama bank itu.

"Kemudahan e-Pengeluaran membolehkan ahli menghantar permohonan pengeluaran secara dalam talian dengan cepat, tepat dan mudah. Ahli hanya perlu datang ke cawangan KWSP untuk pengesahan ibu jari.

"Kami kini sedang bekerjasama dengan Maybank dan kami akan meluaskan perkhidmatan ini kepada ahli yang mempunyai pinjaman perumahan dengan bank-bank lain tidak lama lagi," katanya.

Kemudahan e-Pengeluaran boleh digunakan oleh ahli yang sudah membuat pengeluaran yang sama sebelum ini. Ahli-ahli mestilah pembeli dan pemilik rumah termasuk sebagai peminjam perumahan sama ada daripada RHB Bank atau Maybank.

Mohd Naim berkata KWSP juga merancang untuk memperluaskan kemudahan e-Pengeluaran ini dalam skim pengeluaran lain seperti membeli rumah, pendidikan dan kesihatan. - BERNAMA

Kejatuhan nilai ringgit terburuk fenomena antarabangsa

Monday, January 05, 2015 0 Komen

Kejatuhan nilai ringgit terburuk fenomena antarabangsa

Kejatuhan nilai ringgit terburuk dalam tempoh lima tahun disifatkan fenomena antarabangsa berikutan hampir semua matawang negara pesat membangun mengalami kejatuhan berbanding dolar.

Menurut Ketua Penyelidik Inter-Pacific Securities Sdn Bhd Pong Teng Siew, kebanyakan matawang dunia jatuh berbanding dolar berikutan pandangan bahawa Rizab Persekutuan Amerika Syarikat akan menaikan kadar faedah dalam tempoh terdekat.

"Justeru, banyak tunai mengalir ke Amerika dan mengukuhkan nilai dolar," menurut Teng Siew ketika dihubungi Astro Awani, di sini baru-baru ini.

"Jika dilihat bandingan matawang dunia, 174 matawang dunia, hanya 18 matawang yang mengukuh berbanding Dolar. Kelemahan Ringgit perlu dilihat sebahagian dari kitaran pengukuhan dolar", katanya.

Beliau berkata kejatuhan ringgit juga boleh dikaitkan dengan kelemahan harga minyak mentah global yang ketika ini belum menunjukan tanda pemulihan.

"Kita tidak boleh anggap harga minyak akan kekal rendah selamanya. Ia kitaran lemah yang masih boleh pulih dan tidak perlu terlalu bimbang. Ia sementara dan saya percaya ia akan kembali pulih dalam tempoh tertentu."

Menurutnya lagi, ringgit diramal stabil kembali dalam tempoh tiga ke enam bulan selepas harga minyak kembali pulih.

Ringgit jatuh keparas RM3.51 berbanding dolar pagi Jumaat, terburuk sejak September 2009 dengan harga US$80 setong. Pada Isnin, harga minyak mentah pasaran Brent jatuh di bawah paras US$55.66 setong.

Fenomena ini menimbulkan kegusaran dikalangan pelabur dan pedagang bahawa pendapatan Malaysia akan terjejas sekaligus memberi sentimen negatif.
~ awani

Saham KL melantun didorong pembetulan teknikal

Monday, January 05, 2015 0 Komen

Saham KL melantun didorong pembetulan teknikal

KUALA LUMPUR: Saham di Bursa Malaysia dibuka tinggi hari ini didorong pembetulan teknikal, kata peniaga.

Menjelang jam 9.11 pagi, penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) naik 5.35 mata pada 1,758.12 selepas dibuka 5.66 mata lebih tinggi pada 1,758.43.

Seorang peniaga berkata, sentimen pasaran masih bulis walaupun pasaran menyederhana minggu lalu selepas naik baru-baru ini.

"Kami percaya rali yang bermula daripada paras terendah pada 2014 akan berterusan," katanya.

Pada papan skor, Indeks FBM Emas naik 27.16 mata kepada 12,063.01, FBM ACE naik 47.68 mata kepada 5,757.76, FBMT100 naik 26.91 mata kepada 11,803.49 dan FBM Emas Syariah naik 25.76 mata kepada 12,490.52.

Bagaimanapun, FBM70 susut 5.34 mata kepada 13,101.73.

Mengikut sektor, Indeks Kewangan naik 56.35 mata kepada 15,718.29, Indeks Perladangan naik 46.48 mata kepada 7,857.43 dan Indeks Perusahaan naik 11.02 mata kepada 3,167.76.

Kaunter untung mengatasi rugi sebanyak 115 berbanding 74, manakala 133 kaunter tidak berubahm 1,417 tidak diniagakan dan sembilan lagi digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 127.42 juta saham bernilai RM45.63 juta. - BERNAMA

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Monday, January 05, 2015 0 Komen

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar AS

Ringgit dibuka rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) kerana dolar terus mengukuh berbanding mata wang utama lain, kata peniaga.

Lima minit selepas pasaran dibuka, ringgit disebut harga pada 3.5230/5260 berbanding dolar berbanding penutupan Jumaat lalu pada 3.5150/5170.

Ringgit secara asasnya diniagakan tinggi berbanding mata wang utama lain kecuali yen.

Ia mengukuh berbanding pound kepada 5.3927/3980 daripada 5.4588/4630 pada Jumaat, dan mengukuh berbanding dolar Singapura pada 2.6437/6467 daripada 2.6450/6471.

Ringgit naik berbanding euro kepada 4.2149/2192 daripada 4.2345/2380 tetapi lemah berbanding yen kepada 2.9302/9330 daripada 2.9202/9228 sebelumnya. - BERNAMA

Pelaburan untuk mendapat pulangan yang lebih tinggi

Saturday, July 05, 2014 0 Komen

Pelaburan untuk mendapat pulangan yang lebih tinggi

Risiko pelaburan adalah lebih tinggi daripada simpanan tetapi pada masa yang sama, anda mempunyai potensi untuk mendapat pulangan yang lebih tinggi.

Simpanan dan pelaburan

Selain daripada simpanan, satu cara lagi yang boleh membantu anda untuk meningkatkan jumlah nilai wang anda ialah menerusi pelaburan.

Dalam simpanan, anda akan mendapat semula simpanan anda, bercampur faedah. Tetapi dalam pelaburan, anda mungkin tidak mendapat semula jumlah yang dilaburkan atau anda mungkin mendapat lebih daripada jumlah awal pelaburan. Pelaburan mempunyai risiko yang lebih tinggi daripada simpanan, tetapi pada masa yang sama, anda mempunyai potensi untuk mendapat pulangan yang lebih tinggi.

Merancang pelaburan anda

1. Mengetahui tujuan pelaburan anda

Sebelum anda melabur, anda perlu tahu tujuan pelaburan anda. Tujuan / matlamat anda mungkin ialah untuk:

* Membeli kereta

* Membeli rumah

* Menghantar anak-anak anda untuk pengajian tinggi

* Pergi bercuti

* Merancang persaraan yang selesa untuk masa depan

2. Tahu isu utama yang perlu diambil kira apabila melabur

* jumlah wang yang perlu dilaburkan

* tempoh pelaburan anda

* memahami risiko yang terbabit dan tahu tahap kerugian yang anda boleh tanggung

* pulangan yang anda harapkan daripada pelaburan anda

* pengorbanan yang anda sanggup lakukan

* memahami produk yang anda hendak labur

* merancang pelaburan yang sesuai dengan portfolio keseluruhan anda

* membandingkan pulangan bagi pelaburan lain yang sama

* memantau prestasi pelaburan anda secara berterusan berbanding dengan keperluan anda yang berubah-ubah

* mempunyai fleksibiliti untuk mencairkan pelaburan yang berkenaan ketika anda terdesak

3. Tahu strategi dan konsep melabur

* Pempelbagaian
* jenis pelaburan yang berbeza terdedah kepada tahap risiko yang berbeza dan dengan pempelbagaian, kerugian dalam sesetengah pelaburan boleh diimbangi oleh perolehan pelaburan lain

* pempelbagaian dapat meminimumkan risiko dan melindungi anda daripada volatiliti dalam sesuatu kelas aset atau industri

* Nilai masa wang
* lebih awal anda melabur, lebih besar pulangan atas nilai wang anda o ini disebabkan oleh prinsip faedah kompaun di mana anda memperoleh faedah atas pelaburan asal anda dan atas faedah yang telah anda peroleh daripada pelaburan anda

* Impak inflasi dan cukai

* inflasi menyusutkan wang nilai; wang yang anda punyai pada hari ini berkemungkinan tidak lagi mempunyai nilai yang akan membolehkan anda membeli jumlah barangan yang sama pada masa hadapan

* walaupun anda memperoleh pulangan daripada pelaburan, nilai sebenar pelaburan anda mungkin berkurangan disebabkan oleh kesan inflasi

* matlamat pelaburan adalah untuk menambah wang anda melebihi kadar inflasi

* cukai juga akan mengurangkan pulangan pelaburan melainkan pelaburan anda mendapat pengecualian cukai

* Hubungan risiko dengan pulangan

* pelaburan yang "lebih selamat" (seperti simpanan bon) bermaksud bahawa pelaburan asal anda kekal tetapi kadar pulangannya mungkin lebih rendah o pelaburan yang menjanjikan pulangan yang lebih tinggi (seperti dana amanah saham ekuiti atau saham) juga mempunyai risiko yang lebih tinggi

4. Tahu pelaburan mana yang sesuai untuk anda

* sebelum anda memilih sebar ang produk pelaburan, adalah penting bagi anda memahami pelaburan tersebut terlebih dahulu

* setiap aset adalah unik dan mempunyai profil risiko pulangan yang berbeza

Mendapatkan nasihat kewangan

Terdapat banyak pihak yang menawarkan nasihat kewangan seperti bank, remisier, perancang kewangan atau ejen insurans, bergantung kepada jenis instrument pelaburan yang terlibat. Walau bagaimanapun, pilih penasihat kewangan secara berhati-hati jika anda memerlukannya. Pastikan mereka berkelayakan dan berpengalaman. Tanyakan soalan dan pastikan anda faham isu dan prosedur yang terlibat. Dapatkan pandangan pihak kedua jika anda masih ragu.

Sumber Maklumat

Maklumat mengenai pelaburan boleh diperoleh daripada:

* Laporan tahunan yang diterbitkan oleh syarikat

* Surat khabar, jurnal dan majalah

* Internet

* Kursus

* Seminar

Sebelum membuat sebarang pelaburan

* Memahami pelaburan dan risiko yang terlibat

* Jangan terburu-buru ketika membuat keputusan.

Berhati-hati terhadap taktik penjualan agresif yang memaksa anda membuat keputusan dan bertindak segera

* Simpan semua rekod transaksi yang dilakukan

* Berhati-hati dengan skim y ang menjanjikan keuntungan cepat pada tahap risiko yang minimum atau tanpa risiko

Sumber: Bank Negara Malaysia


Produk ditawarkan Takaful Ikhlas makin dapat sambutan

Tuesday, April 22, 2014 0 Komen

Takaful Ikhlas makin dapat sambutan

Produk disediakan oleh Takaful Ikhlas Sdn Bhd semakin mendapat sambutan daripada pelanggan bukan Islam apabila seramai 180,000 daripada mereka kini memanfaatkan pelbagai produk yang ditawarkan.

Pengerusinya, Sharkawi Alis, berkata pemegang polisi bukan Islam menyifatkan 83 produk yang ditawarkan oleh Takaful Ikhlas amat baik dan sesuai untuk mereka, selain memberikan banyak manfaat dengan kebanyakan mereka tertumpu di sekitar Lembah Klang.

"Produk kami bukan saja untuk pengguna Islam, malah bukan Islam juga boleh memanfaatkannya dan pertambahan pemegang polisi bukan Islam membuktikan produk syarikat sesuai untuk mereka.

"Syarikat kini mempunyai seramai 180,000 pelanggan bukan Islam daripada keseluruhan dua juta pemegang polisi sejak kami beroperasi pada 2003," katanya pada majlis perasmian Bangunan Baharu Pejabat Wilayah Negeri Kelantan, di Kota Bharu.

Bangunan baharu bernilai lebih RM700,000 di Seksyen 17 itu menggantikan bangunan lama yang beroperasi di Jalan Sultan Yahya Petra sejak sembilan tahun lalu, bagi menyediakan persekitaran selesa kepada pelanggan.

Perolehan melonjak

Sharkawi berkata, dalam tempoh sembilan bulan pertama penubuhannya iaitu sehingga akhir tahun kewangan 31 Mac 2004, syarikat mencatatkan perolehan RM6.6 juta.

Bagaimanapun, katanya, bagi tahun kewangan berakhir Mac 2013, perolehan melonjak lebih 100 kali ganda kepada RM747 juta iaitu sejak beroperasi 10 tahun lalu.

"Dengan pasaran Takaful di Malaysia adalah yang kedua terbesar di dunia selepas Arab Saudi, pencapaian Takaful Ikhlas turut menggalakkan apabila menguasai 11 peratus bahagian pasaran Takaful di Malaysia," katanya.

Selain mencatat prestasi kukuh di Malaysia, beliau berkata, syarikat turut mendapat pengiktirafan luar negara, antaranya Anugerah Produk Takaful Terbaik pada Sidang Kemuncak Takaful Antarabangsa 2010 bagi produk Ikhlas Medic Assist Takaful serta Anugerah Produk Paling Inovatif oleh Forum Kewangan Islam 2008 (KLIFF).

PruBSN perkenal dua aplikasi baru

Thursday, February 20, 2014 0 Komen

PruBSN perkenal dua aplikasi baharu

Prudential BSN Takaful Bhd (PruBSN) memperkenalkan penyelesaian jualan automatik tablet, PruBSN Mobility dan aplikasi mudah alih, PruBSN Navigator bagi kemudahan pengedar serta pelanggannya.

PruBSN Mobility ialah aplikasi tablet sehenti yang direka bentuk untuk pengedar PruBSN dan mula diperkenalkan kepada kumpulan tertentu pada Disember tahun lalu.

Penyelesaian itu direka bentuk untuk peralatan dan berfungsi bagi iOS dan Android.

PruBSN berkata, penyelesaian jualan itu menawarkan pengalaman baharu untuk pelanggan, sambil menyediakan kemudahan serta keupayaan fleksibel kepada ejen serta pengedarnya.

Katanya, aplikasi itu membolehkan mereka menyelesaikan penghantaran jualan dalam cara mudah, cekap dan tepat, sekali gus memudahkan ejen serta perantara lain mempromosikan produk serta perkhidmatan syarikat kepada lebih ramai orang.

Jimat masa isi borang

"Bagi pelanggan pula, mereka tidak perlu lagi menghabiskan masa mengisi borang, selain memainkan peranan dalam mengurangkan pelepasan karbon tanpa kehadiran dokumen fizikal," katanya dalam kenyataan, semalam.

Aplikasi baharu itu adalah perkakasan sangat automasi yang membolehkan pengedar menawarkan penyelesaian takaful PruBSN pada bila-bila masa dan di mana saja.

Ketua Eksekutif PruBSN, Azim Mithani, berkata PruBSN Mobility adalah contoh bagaimana syarikat menggunakan teknologi yang secara tulen menempatkan pelanggan di tempat pertama bagi segala-galanya, sambil menggandakan impak perniagaan kumpulan merangkumi pelbagai aspek.

Selain menjadikan perniagaan lebih cekap, katanya fungsi automasi itu juga akan mengurangkan kesan alam sekitar kerana syarikat mengurangkan kebergantungan terhadap kertas.

"Aplikasi ini adalah perkakas berkuasa yang secara asasnya akan mentransformasi dan memudahkan cara perniagaan dilaksanakan, namun paling mustahak ialah menyediakan perkhidmatan yang berhak diperoleh pelanggan," katanya.

Sementara itu, PruBSN Navigator ialah aplikasi telefon pintar yang menyediakan maklumat mengenai rangkaian hospital panel syarikat dan perkhidmatan berkaitan seperti maklumat telefon hospital, pengkhususan, kemudahan disediakan, doktor serta anggaran kadar bilik.

Fungsi GPS

Sebagai perkhidmatan nilai tambah kepada ramai, ia juga menggunakan fungsi GPS telefon pintar untuk memandu pengguna ke hospital pilihan masing-masing, serta dilengkapi peringatan kalendar untuk mengingatkan pengguna.

Fungsi satu sentuh akan membolehkan pengguna membuat panggilan terus ke hospital dan ia berguna ketika berlaku kecemasan.

PruBSN Navigator disediakan percuma kepada orang ramai dan boleh dimuat turun melalui App Store dan Google Play.

CIMB selesai pasang sistem teras baharu

Thursday, February 20, 2014 0 Komen

CIMB Group selesai melaksanakan pemasangan sistem perbankan teras baharunya di negara ini yang membabitkan pemindahan data sejumlah lapan juta pelanggannya.

Pemasangan sistem berkenaan adalah antara usaha bank kedua terbesar Malaysia itu untuk meningkatkan lagi kapasiti, tahap perkhidmatan dan penyeragaman sistem operasinya di peringkat serantau.

Proses pemasangan besar-besaran itu dilaksanakan semasa cuti perayaan Tahun Baharu Cina baru-baru ini dan menggunakan kira-kira khidmat 12,000 kakitangan pada waktu puncak.

Mengulas perkembangan itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Seri Nazir Razak, berkata proses pemindahan sistem itu dibuat tepat pada waktunya.

Projek baharu serantau
"Kami memilih melaksanakannya semasa cuti Tahun Baharu Cina kerana perangkaan menunjukkan jumlah transaksi pada masa itu adalah yang terendah dan tidak membebankan terlalu ramai pengguna.

"Justeru, kami berterima kasih kepada semua pelanggan di atas kesabaran mereka kerana perkhidmatan ATM dan CIMB Clicks tidak dapat di-gunakan selama dua hari," katanya dalam satu kenyata-an di Kuala Lumpur, semalam.

Tiga tahun lalu, CIMB Group mengumumkan pelan jangka panjangnya untuk melaksanakan projek sistem perbankan teras baharu bernilai RM1.1 bilion untuk banknya di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand selepas proses memilih sistem serta mereka bentuk projek berlangsung selama setahun.

Projek yang dinamakan '1Platform' itu disasar untuk memasang rangka kerja operasi dan teknologi maklumat (IT) serantau tunggal bagi semua entiti CIMB.

Memandangkan CIMB Malaysia dan Thailand beroperasi menggunakan sistem warisan yang menghampiri siling kapasitinya, kumpulan membuat keputusan melaksanakan projek sistem baharu serantau bagi menikmati skala ekonomi pemerolehan. ~BH

Krabi Thailand destinasi baru Malaysia Airlines System (MAS)

Tuesday, February 04, 2014 0 Komen

Krabi destinasi baru penerbangan MAS

Malaysia Airlines System (MAS) yakin penerbangan ke Krabi, Thailand akan menjadi satu lagi destinasi pilihan pelanggannya, selepas Phuket dengan faktor muatan dijangka mencecah 80 peratus.

Naib Presiden Kanan Serantaunya Datuk Muzammil Mohamad berkata, penerbangan empat kali seminggu iaitu setiap Isnin, Selasa, Jumaat dan Sabtu mulai semalam, menggunakan pesawat B737-800 yang mempunyai 160 tempat duduk.

Beliau berkata, Thailand memang menjadi destinasi penting bagi Malaysia dan ketika ini MAS menawarkan 35 penerbangan seminggu ke Bangkok serta 21 penerbangan seminggu ke Phuket.

"Jadi, Krabi satu lagi lokasi yang menjadi pilihan kami kerana ia juga seperti Phuket kawasan yang mesra keluarga, selain mudah mendapat makanan halal.

"Kita bermula dengan penerbangan empat kali seminggu dulu dan meningkatkan kekerapan sehingga lima kali seminggu pada Mac, sebelum bercadang menyediakan penerbangan setiap hari ke Krabi menjelang pertengahan tahun ini," katanya ketika ditemui media selepas meraikan penumpang penerbangan sulung ke Krabi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini, semalam.

Muzammil berkata, MAS juga sedang mengkaji menambah kekerapan di lokasi sedia ada dan menyediakan laluan ke destinasi baru sebagai usaha mengukuhkan lagi syarikat penerbangan nasional negara itu.

Beliau berkata, usaha itu perlu dilakukan seiringan, terutama lokasi yang sering menjadi pilihan pelanggan dan bagi penerbangan tempatan, MAS merancang menambah kekerapan ke beberapa destinasi seperti Kuching, Kota Kinabalu, Alor Setar, Langkawi serta Pulau Pinang.

 

ZONFINITI