Ubat virus paling mujarab

Wednesday, September 30, 2009

Menjaga dan melindungi komputer sememangnya menjadi keutamaan semua pengguna peranti ini yang amat menitikberatkan aspek keselamatan daripada berlakunya pelbagai kecurian maklumat dan serangan virus.

Sudah tentu pengguna tidak mahu peralatan komputer yang bernilai ribuan ringgit, rosak tanpa diketahui puncanya seterusnya mengakibatkan kerugian, apatah lagi menjejaskan aktiviti dan tugas pengguna tanpa adanya bantuan sewajarnya.


Menyukarkan! Itu ungkapan ramai pengguna apabila ditanya mengenai ciri perbezaan setiap perisian keselamatan. Itu antara punca mengapa limpahan antivirus kini semakin dipandang remeh oleh semua pihak terutama pengguna di rumah.

Di pasaran pengguna boleh memilih perisian yang menawarkan ciri-ciri keselamatan tinggi serta mudah diurus sendiri.

Namun bagaimana pula pengetahuan pengguna ke atas antivirus yang dipilih? Tanpa sebarang nasihat dan pengetahuan, pastinya pengguna terus mengguna pakai antivirus yang tidak dikemaskini.

Kebanjiran perisian keselamatan di pasaran menyebabkan kesukaran pengguna memilih dan menilai kekuatan serta jangka hayat perisian yang ingin diguna pakai.

Terlalu banyak yang hendak dipilih sedangkan produk terbabit belum tentu mampu menghalang serangan virus.

Ada pula perisian yang bertindak sebagai hab dengan menyebarkan virus ke komputer apabila ia wujud bersama antivirus terbabit.

Perisian antivirus menggunakan teknologi padanan (signature) yang memerlukan kemas kini berterusan ke atas pangkalan padanan virus dan memerlukan 'patches' untuk memusnahkan setiap virus baru yang dikesan.

Seandainya pengguna tidak mengemas kini komputer dengan 'patches' terbaru, bermakna perisian antivirus itu tidak mampu melindungi komputer daripada virus terbaru.

Hampir 500 virus baru berlegar di ruangan Internet setiap bulan dan berdasarkan antivirus konvensional, ia mempunyai pertalian rapat dengan kemudahan Internet namun adakah semua pengguna mempunyai talian Internet dan adakah selamat sekiranya pengguna tidak mengemaskini pangkalan data virus?



Ada yang beranggapan mustahil jika antivirus bertindak secara tunggal tanpa sokongan Internet kerana konsep perisian antivirus perlu adanya Internet untuk mengemas kini pangkalan data virus.

Ketua Pegawai Operasi IkonaSoftware (M) Sdn Bhd, Mohamad Razali Salleh, berkata Ikona Maps (Malware Attack Prevention System) membuktikan tanpa capaian ke Internet, pengguna masih mampu melindungi seterusnya meringankan beban sistem operasi komputer tanpa perlu mengemas kini pangkalan data sepanjang masa.

"Ikona Maps tidak menggunakan teknologi padanan atau logik 'heuristics.'

"Ini bermakna pangkalan padanan virus secara tepatnya tidak wujud bagi mengenal pasti bentuk virus. "Antivirus yang berdasarkan logik 'heuristic' hanya memberi bayangan berjaya mengawal virus, tetapi kebanyakannya tidak dapat dikesan. Ia juga tidak mempunyai pangkalan data yang perlu dikemaskini bagi mengenali virus baru.

"Justeru itu ia dianggap sebagai pelindung yang bergerak secara tunggal tanpa bantuan dan sokongan Internet. Perisian ini kemudian mencipta fail sumber yang mengandungi semua ciri dan identiti seluruh komponen sistem komputer terbabit," katanya.

Menurut Razali, Ikona Maps menawarkan empat konsep keselamatan iaitu Anti Virus, Anti Spyware, Anti Malware dan Anti Hack dan setiap satunya mempunyai fungsi berbeza. Sifat melindungi, mengawal dan memusnahkan virus menjadi teras bagi setiap konsep keselamatan yang diterapkan penciptanya.

Atas sifat ini, penyelesaian empat dalam satu disediakan untuk komputer, rangkaian dan peralatan mudah alih, malah ia sesuai digunakan pengguna rumah, organisasi dan perniagaan.

Sistem pangkalan data tidak diperlukan kerana semua virus disenaraikan sebagai tidak dikenali (unknown). Apabila serangan berlaku setiap virus akan dikuarantin atau dihapuskan terus.

Ia dianggap unik dan berbeza kerana kebanyakan antivirus memerlukan teknologi padanan bagi menyuai padan virus yang ditemui dengan bentuk yang wujud dalam pangkalan datanya.

E-mel sebagai contoh terdekat antara serangan yang mudah diterima pengguna kerana kebiasaannya pengguna akan terus membuka e-mel sama ada mengetahui atau tidak mengetahui sumber e-mel terbabit.

Dengan Ikona Maps, e-mel yang mempunyai virus akan terus dihalang dan dihapuskan sebelum ia sempat dibuka.

"Kerajaan dan pihak swasta seharusnya telus menangani masalah serangan virus yang sememangnya dianggap sebagai masalah global hari ini.

"Badan awamlah yang selalunya menjadi mangsa rakus penceroboh dan serangan virus tanpa henti.

"Kita juga perlu sangsi dan bersedia dengan perubahan teknologi yang terhasil akibat penggunaan tanpa henti dan belum ada perisian keselamatan yang mampu menyekat sepenuhnya serangan virus dan kecurian maklumat," katanya.

Ia turut dikaitkan dengan perkembangan virus, malware, kod berniat jahat (malicious), bot jahat dan pelbagai jenis cecacing yang bertindak menggodam komputer untuk mencuri maklumat.

Kehilangan maklumat ini turut dikaitkan sebagai kebocoran data yang tidak diketahui pergerakannya.

Kebocoran atau ketirisan data dirujuk sebagai data atau maklumat yang tidak dapat dilihat kehilangannya sama ada dimiliki organisasi atau individu.

Apabila maklumat pengguna menjadi agenda serangan virus, agak mustahil bagi pengguna untuk menyelamatkan maklumatnya itu tanpa menggunakan antivirus yang mampu menyekat maklumat mengalir keluar.

Ia adalah masalah hari ini yang perlu diberi perhatian sepenuhnya kerana membabitkan kecurian maklumat yang dianggap sebagai hak peribadi individu, organisasi dan kerajaan.

"Negara kita terlalu bergantung kepada penggunaan teknologi luar negara sedangkan rakyat tempatan sendiri mampu menghasilkan dan mengeluarkan perisian yang bermutu, sesuai dengan corak perkembangan kemajuan negara.

"Pengguna seharusnya bijak mencari dan memilih perisian antivirus yang mampu menangani segala masalah dan bukan hanya tertumpu kepada satu perkara saja. Sekiranya masalah teknologi mampu dikawal, pengguna berpeluang menerokai dunia teknologi tanpa tekanan," katanya.

Justeru itu, Ikona Maps yang dihasilkan syarikat Bumiputera Malaysia diharapkan mampu melindungi hak peribadi pengguna daripada sebarang pencerobohan.

Tugasannya itu termasuk mengawal keluar masuk data, pindah naik/turun data, melindungi salinan dan melindungi identiti data.

Sesuai dengan aktiviti pelbagai organisasi dalam negara, ia boleh diubah mengikut kemahuan 'tuannya' atau pihak pengurusan yang tidak membenarkan sebarang capaian ke Internet di pejabat, komunikasi atas talian, bilik sembang serta pengaliran data dua hala.

Cara ini mampu menghentikan salah guna Internet, Intranet dan VPN, malah menghalang kemasukan spyware, virus dan penggodam.

Di samping itu, ia boleh meningkatkan produktiviti, sekuriti serta mengurangkan implikasi undang-undang.

Menurut Razali, perisian tunggal yang berharga antara RM150 dan RM500 ini sudah mula dipasarkan dalam negara sejak awal September lalu.

Bagi pihak yang berminat untuk mendekati produk syarikat IkonaSoftware ini bolehlah melayari laman web di www.ikonasoftware.com atau telefon 014-2271533 untuk sebarang pertanyaan.



Fakta serangan virus

> Sejak April 2009 dilaporkan ancaman Trojan W32/Dropper.PTD meningkat sehingga 66 peratus (Threatscape)

> W32/Dropper.PTD dianggap sebagai trojan permainan atas talian yang paling agresif di Asia melibatkan China sebagai pendahulu dengan 44.86 peratus diikuti pula negara Thailand.

> Jangkitan Conficker.C atau dikenali Worm_downad mampu merebak ke lebih 15 juta komputer seluruh dunia dengan paten bermula 5.885.00. (Trend Micro Inc)

> Peningkatan malware dikesan sebanyak 450,000 dalam tempoh enam bulan pertama 2008 di Malaysia (F-Secure)

Oleh Salmiah A Hamid

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI