Jenis haji dan masalahnya

Sunday, September 27, 2009

Jenis haji dan masalahnya

Kursus haji Perdana diadakan untuk memberi pemahaman kepada bakal haji tentang pelaksanaan rukun dan wajib haji.

HAJI merupakan satu rukun daripada rukun Islam yang lima dan menjadi kemuncak penzahiran ubudiah hamba kepada Tuhan-Nya. Pada ruangan kali ini, akan dibincangkan berkenaan dengan jenis haji dan permasalahannya.

Pengertian Haji

Menurut bahasa, haji bermaksud kunjungan, manakala dari segi syarak ialah mengunjungi kaabah untuk melakukan ibadah tertentu, dengan syarat-syarat yang khusus seperti yang dinyatakan dalam kitab al-Fiqh al-Manhaji.

Sejarah Pensyariatan Haji dan Umrah

Pendapat yang lebih kuat menyatakan bahawa tarikh pensyariatan haji dan umrah adalah pada tahun 9 Hijrah.

Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: Kepada rombongan Abd al-Qais yang menemui Rasulullah SAW pada awal tahun 9 Hijrah, dan bertanya tentang perintah yang wajib mereka lakukan: Aku perintahkan kamu beriman kepada Allah, mendirikan solat, menunaikan zakat, berpuasa pada bulan Ramadan dan menyerahkan 1/5 daripada harta rampasan perang. (riwayat al-Bukhari (7556))

Justeru, sekiranya haji telah difardukan sebelum tarikh tersebut, tentulah Baginda menyebutkannya bersama-sama perintah yang diarahkan kepada mereka.

Hukum Haji

Semua ulama bersepakat menyatakan bahawa haji adalah fardu dan salah satu daripada rukun Islam. Ini berdasarkan al-Quran, al-Sunnah dan ijmak.



Jenis Haji dan Permasalahannya

Dalam ruangan kali ini, akan dibincangkan jenis haji serta permasalahannya. Haji terbahagi kepada tiga:

i. Haji Ifrad

ii. Haji Tamattu'

iii. Haji Qiran

Haji yang diniatkan secara umum atau mengikut niat seseorang juga akan kembali kepada salah satu daripada tiga di atas.

Haji Ifrad dan Pelaksanaannya

Maksud haji Ifrad ialah hanya mengerjakan haji sahaja dan selepas itu barulah melakukan ibadah umrah. Cara Ifrad ini ialah seseorang itu berihram untuk mengerjakan haji sahaja.

Dia tidak akan mengerjakan ibadah umrah sehinggalah selesai daripada mengerjakan hajinya. Cara ini dianggap paling afdal mengikut mazhab al-Syafie kerana masyaqqah yang dihadapi ketika berada dalam ihram begitu panjang masanya.


Haji Tamattu' dan pelaksanaannya

Dari sudut bahasa, tamattu' ini bererti mengambil faedah. Dari istilah syarak pula:

i. mengikut ulama Hanafi adalah menghimpunkan di antara ihram umrah dan pekerjaannya atau sebahagian besar daripada pekerjaan tersebut dengan ihram haji dan pekerjaannya dalam bulan haji tanpa ilmam yang sahih dengan ahlinya.

ii. Mengikut mazhab al-Syafie, tamattu' ialah dengan berihram mengerjakan umrah dalam bulan haji. Setelah selesai mengerjakan ibadah dan bertahallul, jemaah berihram pula untuk mengerjakan ibadah haji yang berikutnya di Mekah.

Mengikut ulama Hanafi terdapat dua bentuk orang yang melakukan cara tamattu' ini, iaitu yang membawa binatang dam dan yang tidak membawanya.

Bagi yang membawa binatang dam, hukumnya adalah sama dengan orang yang melakukan haji secara qiran. Apabila sampai ke Mekah dia hendaklah terus tawaf dan saie dan tidak bertahallul selepas mengerjakan umrah ini tetapi terus berada dalam ihramnya sehingga berihram haji pada Hari Tarwiyah.

Pada Hari Nahar dia hendaklah menyembelih binatang dam itu. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW dalam hadis riwayat Jabir r.a disebut sebelum ini yang bermaksud: "Jika aku tahu apa yang berlaku masa depan seperti aku tahu yang telah lepas, maka tentunya aku tidak akan membawa binatang dam ini dan aku jadikannya umrah".

Ini memberi pengertian bahawa tahallul hanya perlu jika melakukan ihram umrah sahaja serta tidak pula mempunyai binatang dam. Sekiranya tahallul itu harus walaupun ada binatang dam ini tentunya Rasulullah SAW hanya akan mengatakan atau menyebut: "Saya jadikannya umrah dan bertahallul. Jika seseorang melakukan haji secara tamattu' itu mahu membawa binatang dam, maka dia boleh berihram dan membawanya".

Haji Qiran dan pelaksanaannya

Dari sudut bahasa, Qiran bererti mengumpul dua perkara. Dari istilah syarak pula menggabungkan antara ihram haji dan ihram umrah dalam satu perjalanan.

Ia berlaku dengan seseorang itu berniat untuk umrah dan haji sekali gus di miqat, sama ada ia secara hakiki iaitu dengan niat yang merangkumi kedua ibadah tersebut, ataupun secara hukmi seperti pendapat ulama Hanafi dengan cara berihram umrah sahaja dahulu kemudian sebelum dia melakukan tawafnya separuh atau lebih, ia berniat pula untuk melakukan haji. Bentuk ini tidak ada dalam pendapat ulama lain.

Bagi ulama Hanafi, dengan melakukan demikian, penggabungan itu telah terlaksana. Ini kerana sebahagian besar daripada amalan bagi ibadah berkenaan telah ada.

Bagi ulama jumhur pula seorang itu sah melakukan qiran dengan cara sebaliknya, iaitu berihram untuk ibadah haji dahulu kemudian menggabungkan umrah dengannya. Cara ini dianggap makruh oleh ulama Hanafi.

Mengikut jumhur, jika hendak digabungkan haji kepada umrah, maka hendaklah dilakukan sebelum seseorang itu memulakan tawaf umrahnya.

Sekiranya pekerjaan tawafnya telah bermula, walaupun selangkah maka tidak lagi harus digabungkan haji dengannya.

Permasalahannya

Dinyatakan di sini beberapa permasalahan fiqh berkenaan dengan ibadat haji:

Pertama: Bila seorang bakal haji mahu meninggalkan Mekah dia hendaklah tawaf di Baitullah sebanyak tujuh pusingan. Semasa melakukan tawaf ini, tarammul tidak perlu dilakukan.

Tawaf ini disebut juga sebagai Tawaf Wida' atau Tawaf Sadr. Hukum tawaf ini mengikut ulama jumhur, selain kalangan Maliki adalah wajib kecuali bagi ahli Mekah.

Kedua: Jika seseorang wanita itu didatangi haid semasa mahu berihram, maka dia hendaklah mandi dan berihram. Jika kedatangan haidnya selepas melakukan wuquf di Arafah dan Tawaf rukun, maka dia hendaklah terus meninggalkan Mekah.

Dia tidak dikenakan apa-apa disebabkan tidak melakukan Tawaf Wida'. Inilah pendapat Dr. Wahbah al-Zuhaili.

Ketiga: Mengikut ulama Hanafi, sekiranya orang melakukan haji tamattu' itu membawa binatang dam, maka kedudukan haji yang dilakukan adalah sama dengan Haji Qiran, sebagaimana yang telah dijelaskan.

Dia tidak bertahallul seperti yang dilakukan oleh mereka yang mengerjakan haji secara tamattu', bahkan dia akan terus berada dalam keadaan berihram sehinggalah ia menyembelih binatang dam pada Hari Nahar.

Keempat: Mengikut pendapat jumhur ulama, menyembelih binatang dam, sama ada berupa kambing, lembu, unta, atau 1/7 daripada seekor unta wajib dilakukan pada Hari Nahar dan di Mina selepas melakukan lontaran Jamrah Aqabah, iaitu pada hari raya sebelum melakukan amalan bercukur.

Alasan pendapat ini ialah, Rasulullah SAW sendiri menyembelih binatang damnya dengan cara ini.

Ulama Syafie pula mengatakan, sebaiknya sembelihan ini hendaklah dilakukan pada Hari Nahar kerana mengikut apa yang Rasulullah SAW lakukan di samping mengelakkan daripada khilaf yang ada di kalangan ulama.

Kelima: Menurut mazhab Syafie, ibadah haji yang disuruh oleh syarak pada asalnya adalah secara Ifrad. Walau bagaimanapun, tiada halangan bagi seseorang itu berihram secara tamattu' atau Qiran dengan syarat dia hendaklah membayar fidyah, iaitu menyembelih seekor kambing yang layak untuk sembelihan qurban.

Jika kambing atau nilainya tidak diperolehi, dia hendaklah berpuasa selama tiga hari semasa haji dan tujuh hari setelah balik ke tanah air.

Semoga kita mendapat haji yang mabrur dan melayakkan untuk menjadi hamba Allah SWT yang mentaati dan mematuhi-Nya. Amin.

Oleh DR. ZULKIFLI MOHAMAD AL-BAKRI

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI