Cemburu kerana isteri lebihkan anak

Thursday, September 17, 2009

Di pagi raya, hati aku sudah pasti akan terasa tersentuh apabila meliht kanak-kanak berjalan berkumpulan mengutip duit raya. gelak tawa mereka membuatkan aku teringat kepada anak-anak yang berada di dalam Jagaan bekas isteri ku.

Bagaimanakah keadaan anak-anakku? Adakah mereka juga segembira kanak-kanak yang lain? Aku harapkan mereka gembira walaupun aku tidak ada di sisi mereka bagi meraikan hari kemenangan umat Islam ini. Apa yang berlaku pada diriku ini bermula daripada salah faham antara aku dan bekas isteri. Sesungguhnya aku tidak boleh menyalahkan dirinya atas apa yang berlaku. Aku juga penyebab kepada salah faham tersebut.

Jika aku yang berada di tempat bekas isteriku, sudah tentu aku juga akan bertindak sama seperti apa yang dilakukan. Perkahwinan aku dulu atas dasar suka sama suka dan direstui keluarga. Sepanjang enam tahun, kami hidup bahagia. Namun begitu, tipulah jika tidak ada pertengkaran dalam kehidupan rumah tangga. Sedangkan lidah lagi tergigit, inikan pula suami-isteri.

Namun begitu, pertengkaran kami hanyalah berkaitan perkara remeh-temeh dan selalunya akan berakhir dengan baik. Apabila anak kedua kami lahir, aku mula rasakan perubahan dalam kehidupan rumah tangga kami. Isteriku lebih banyak menghabiskan masanya ke atas anak kedua kami daripada melayan aku.

Sepatutnya aku tidak perlu cemburu kerana bukannya isteri ku melayan lelaki lain sebaliknya anakku sendiri tapi entah kenapa hatiku tetap terasa. Atas alasan ‘kekurangan’ kasih sayang, aku mula berani mencari cinta lain. Alasan yang lemah, tetapi keegoan telah menguasai diriku. Aku sudah mula pandai keluar malam bersama rakan sekerja yang masih bujang mencari hiburan di luar. Tanpa pengetahuan isteri, aku sering juga ke pusat hiburan.

Kadang kala kerja ‘overtime’ aku jadikan alasan untuk balik lambat. Isteriku tidak pernah bertanya malah dia memberi sepenuh kepercayaan diberikan kepadaku. Itulah yang membuatkan ku semakin berani. Semasa bersosial inilah salah seorang dari pada rakan sekerja ku telah memperkenalkan ku dengan seorang wanita. Aku tidak menolak kerana tidak salah berkawan. Aku sudah berkahwin dan tidak ada hajat untuk mencari teman wanita.

Rahsia terbongkar
Tapi anggapan ku salah, hubungan dari kawan kemudian nya semakin intim. Kami berjumpa dan saling berbalas pesanan ringkas membuatkan hubungan kami lebih daripada teman biasa. Isteri ku tidak mengesyaki apa-apa. Itu lebih memudahkanku untuk keluar dengan teman wanita baruku. Perangaiku turut berubah. Jika dahulu aku tidak tahu minum, ia kemudian menjadi perkara biasa buatku. Semuanya atas ‘jasa’ teman wanitaku. Pada suatu hari, tanpa ku sedari, tabiat minum ku telah memakan diriku. Disebabkan mabuk, aku tidak sedar bahawa aku telah melakukan hubungan terlarang dengan teman wanitaku. Pertama kali ber sama wanita lain, aku rasa bersalah. Tetapi sesungguhnya syaitan telah menguasai diriku.

Selepas itu, aku semakin ketagih untuk bersama dengan teman wanitaku. Apabila ada masa, kami akan bersama. Selalunya kami akan melakukan perbuatan terkutuk itu di hotel. Semuanya kerana tidak mahu rahsia tersebut terbongkar. Tetapi sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga. Tembelang ku pecah, aku dan teman wanitaku telah ditangkap setelah pihak polis dan pegawai pencegah maksiat melakukan serbuan di hotel tempat kami menginap.

Pulang ke rumah ibu bapa
Berita yang sampai ke telinga isteri memang menghiris hatinya. Apabila balik ke rumah, aku terkejut kerana isteri dan anak-anakku tidak ada. Rupa-rupanya, isteriku sudah balik ke rumah ibu bapanya. Aku cuba memujuk isteriku, tetapi ternyata isteri ku tidak dapat menerimaku. Akhirnya aku terpaksa menerima hakikat bahawa isteriku telah memohon perceraian. Aku cuba juga untuk memujuk tapi tidak berjaya. Setelah turun naik mahkamah, akhirnya aku gagal dan terpaksa melepaskan isteri ku dengan talak satu. Pihak mahkamah telah memberikan hak penjagaan kepada isteri ku.

Nasi sudah menjadi bubur. Menyesal sekarang sudah tidak berguna. Memang padan muka aku. Menangis air mata darah pun, aku tidak dapat mengembalikan semula kepercayaan isteri terhadap ku. Sepatutnya aku bersyukur kerana walaupun di hari raya aku tidak dapat berhari raya dengan dua orang anak-anak ku, namun pada hari-hari yang telah ditentukan oleh mahkamah, aku masih dapat berjumpa dengan mereka.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI