Awan Dania 2 sarat elemen komedi romantik

Wednesday, September 30, 2009

Berbicara perihal kerjaya glamor di awan biru, pasti yang terlintas di fikiran, gelaran pramugari yang menjurus kepada sosok tubuh tinggi lampai, cantik serta berkeyakinan tinggi.



Mengangkat kisah di sebalik kerjaya penuh glamor itu, ternyata siri Awan Dania yang bersiaran di Astro Ria (saluran 104, Astro) sejak Oktober tahun lalu menerima reaksi yang cukup positif di kalangan peminat setia saluran itu.

Dan pada tanggal 28 September lalu, sekali lagi tunggak utamanya, Scha Al Yahya tampil dalam musim terbaru siri itu yang bersiaran pada setiap hari Isnin pukul 10 malam di saluran berkenaan.

Berbekalkan pengalaman sebagai pramugari, kisah yang memaparkan Dania, seorang gadis berperwatakan kasar yang memilih kerjaya di awan biru memenuhi tuntutan membantu keluarga ternyata tidak langsung memalitkan rasa sukar buat gadis yang cukup ramah ini.

Apatah lagi, ramai yang menyatakan pandangan serupa bahawa watak tersebut cukup serasi dengan jiwa gadis yang mula menempa nama menerusi pertandingan Dewi Remaja 2006 itu.

Selain Scha, Awan Dania 2 turut memaparkan wajah-wajah asal seperti Irma Hasmie dan Mustafa Kamal, antara nama-nama baru yang turut membintangi siri tersebut ialah Jehan Miskin, Fizow Omar, Aida Aris.

Tidak ketinggalan ialah Yasmin Khanif, Wany Mustafa, Eyta Mahmud dan Enny Ridwan.

Bersiaran selama 26 episod, kisah kelasi penerbangan itu kali ini diolah dengan jalan cerita dan pengisian yang lebih menarik dan lebih melucukan.

"Ada banyak perubahan yang cuba kita tonjolkan untuk siri kali ini. Saya sendiri ketika membaca skrip untuk kisah Awan Dania kali ini tertarik kerana ternyata ia mempunyai lebih banyak unsur-unsur komedi dan romantik.



"Berbeza dengan musim pertama, kali ini kita dapat lihat perkembangan kisah cinta dan keluarga Dania serta beberapa karakter baru.

"Kerana Dania mempunyai masalah dengan rakan-rakan penerbangannya pada musim pertama, kali ini Dania mengundur diri dan bertukar kepada syarikat penerbangan baru iaitu Fire Fly," kata Azizi Chunk Adnan selaku pengarah siri tersebut.

Selain berdepan dengan konflik percintaan, Dania turut berdepan dengan tekanan oleh seorang penulis blog yang membenci dan 'menyerang' secara senyap menerusi penulisannya.

Turut dipaparkan ialah gelagat lucu Dania dan abangnya mencarikan calon isteri buat bapa mereka.

Bercerita tentang penukaran kerjaya Dania ke syarikat penerbangan lain, kata Azizi, ia bergantung kepada jalan cerita kisah itu sendiri.

"Musim pertama menyaksikan betapa Hana tidak puas hati dengan hubungan rapat Dania dan Iman.

"Untuk tidak mengeruhkan keadaan, Dania mengambil langkah untuk tidak mengganggu hubungan rakan-rakannya sebab itu dia bertukar ke Fire Fly.

"Dari segi teknikal, pengambaran lebih mudah dilakukan sebab di Subang dan untuk mendapatkan kapal terbang lebih mudah.

"Berbeza musim lalu, masalah dari segi masa kerana terpaksa berulang alik ke LCCT," kata pengarah itu lagi.

Bertemu pada majlis ramah mesra bersama bintang-bintang siri Awan Dania 2 baru-baru ini, pemilik nama sebenar Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir Al-Yahya itu mengakui, wataknya kali ini lebih feminin.

"Walaupun sedikit feminin tetapi lebih banyak unsur-unsur lucu dalam siri kali ini.

"Tidak seperti musim terdahulu, kali ini watak Dania akan bercinta dengan Benji (Jehan Miskin) yang dikenalinya menerusi satu kemalangan," jelas aktres filem Histeria itu lagi.

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA

2 Komen:

Anonymous said...

best

lucky_girl said...

citer nie memang best...dania napak cute ar.....

Post a Comment

 

ZONFINITI