Orang kata, kalau sedih, luahkan kepada seseorang, kesedihan boleh berkurang dan kalau gembira, kongsikan juga kerana kegembiraan akan berganda. Tahukah anda, kegembiraan yang dirasa boleh membuatkan orang lain tersenyum dan gembira?
Kajian terbaru penyelidik Fakulti Perubatan Harvard dan Universiti California San Diego menyatakan, kegembiraan boleh berjangkit dan ia dipengaruhi bukan saja orang yang anda kenal, tetapi individu lain yang anda tidak pernah jumpa.
Kajian itu menunjukkan, kegembiraan boleh ‘merebak’ melalui jaringan sosial. Ini bermakna kegembiraan anda boleh mempengaruhi orang lain, termasuk individu yang anda tidak kenal.
Ketua Penyelidik Bersama dari Universiti California, Dr James H Fowler, berkata kesedihan juga boleh merebak tetapi lebih perlahan berbanding kegembiraan.
Kajian yang dijalankan dari 1983 hingga 2003 dan membabitkan 4,739 peserta itu berjaya membina jaringan sosial antara mereka.
Peserta ditanya pelbagai soalan, termasuk ‘Saya berasa yakin dengan masa depan’ dan ‘Saya gembira’.
Hal penting mengenai keluarga seperti hari jadi, kematian, perkahwinan atau perceraian juga direkodkan. Peserta juga ditanya nama ahli keluarga, kawan rapat, kawan sekerja dan jiran.
Oleh kerana jaringan ini, penyelidik mengenal pasti lebih 50,000 jaringan kekeluargaan dan sosial. Melalui kaedah ini ‘penyebaran’ kegembiraan dianalisis. Mereka dapati hubungan sosial yang rapat mampu meningkatkan kegembiraan seseorang sebanyak 15 peratus.
Kegembiraan bagi hubungan darjah kedua (contohnya pasangan kawan anda) juga meningkat 10 peratus. Bagi hubungan darjah ketiga (contoh: anda berkawan dengan A dan A mempunyai kawan B; B berkawan dengan C): kegembiraan dialami C meningkat enam peratus.
Menurut Howler, mempunyai ramai kawan juga boleh meningkatkan kegembiraan tetapi jika ada kawan bersifat ceria, kesannya lebih ketara.
Bagaimanapun, ini bukan bermakna anda perlu mengelak bergaul dengan individu yang bersedih dan jika berdepan situasi itu, cuba menggembirakannya.
Howler bersama rakan penyelidik daripada Fakulti Perubatan Harvard, Dr Nicholas Christakis, sebelum ini mengatakan, seseorang yang mahu berhenti merokok ada peluang kejayaan lebih tinggi jika kawan dan ahli keluarga tidak merokok.
Mereka juga membuat hipotesis bahawa obesiti boleh merebak melalui kumpulan sosial dan seseorang individu itu lebih cenderung mengalami masalah berat badan jika berat badan kawan juga bertambah (kerana mereka tidak kisah perkara itu).
Keadaan persekitaran boleh mempengaruhi emosi anda dan sebaliknya. Kita ada kuasa untuk menentukan emosi kita setiap hari. Jika rasa kurang bersemangat, fikirkan punca mengapa anda berperasaan begitu.
Perkara paling mudah untuk dilakukan ialah memulakan hari anda dengan senyuman — senyumlah untuk diri sendiri dan anda akan berasa aura positif meresap ke dalam hati.
Lebih baik jika anda boleh ketawa dengan mengingat perkara lucu dialami bersama keluarga, orang tersayang atau kawan. Kajian membuktikan ketawa boleh memperbaiki emosi seseorang yang membuat hati berasa lapang.
Walaupun penyelidik belum dapat menerangkan bagaimana proses ini berlaku, ketawa dikenal pasti memberi banyak manfaat terhadap kesihatan fizikal dan mental; yang turut mendatangkan kesan positif kepada orang sekeliling.
Antara penerangan yang ada ialah fisiologi badan berubah apabila kita ketawa. Kita akan meregangkan otot muka dan badan, denyutan nadi dan tekanan darah meningkat sedikit, pernafasan membawa lebih banyak oksigen kepada sel.
Ada orang percaya, kesan ketawa sama seperti senaman ringan. Malah ada yang mencadangkan, ketawa disertai dengan pergerakan (seperti menggerakkan tangan) merangsang degupan jantung. Satu kajian mendapati kadar degupan jantung apabila ketawa besar selama seminit sama seperti menggerakkan mesin mendayung 10 minit!
Manfaat lain ketawa ialah:
# Ia membakar kalori — Penyelidik dari Universiti Vanderbilt di Amerika Syarikat, Maciej Buchowski, mendapati ketawa 10-15 minit membakar 50 kalori.
# Aliran darah — Kajian Universiti Maryland ke atas orang yang menonton komedi mendapati, ketawa membuat salur darah mengembang dan mengecut dengan lebih mudah. Salur darah individu yang menonton drama didapati tegang dan aliran darah tidak selancar orang ketawa.
# Paras gula — Ketawa membantu merendahkan paras gula selepas makan.
# Mengurangkan kesakitan — Ketawa membuatkan seseorang rasa gembira yang secara tidak langsung melupakan kesakitan dialami.
# Menguatkan sistem imun badan — Oleh kerana ketawa boleh melancarkan aliran darah, sel darah putih yang menjadi barisan utama sistem imun dapat diagihkan ke seluruh badan dengan lebih cepat.
Jadi ia dapat memberi perlindungan lebih baik. Ada juga penyelidik berkata, orang ceria jarang jatuh sakit berbanding individu yang serius dan sukar ketawa.
Walaupun kebanyakannya kajian kecil, ketawa terbukti membawa kesan positif kepada kita. Suasana ceria diserikan dengan ketawa boleh merapatkan hubungan sosial sama ada dengan keluarga atau rakan.
Jadi, pilihlah untuk menjadi individu ceria dan bersikap positif. Ia bukan saja akan membantu meningkatkan prestasi kerja, tetapi membuatkan anda lebih berseri dan disenangi.
Artikel Motivasi - Kongsilah Kegembiraan Anda!
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment