Noordin dikebumi di Malaysia

Saturday, September 19, 2009

Indonesia akan menguruskan penghantaran pulang jenazah militan paling dikehendaki di Asia, Noordin Mat Top ke Malaysia, sebaik-baik sahaja ujian asid deoksiribonukleik (DNA) ke atas mayatnya selesai dijalankan hari ini.

Noordin, 41, yang mengetuai kumpulan serpihan Jemaah Islamiah (JI) terbunuh bersama-sama tiga militan lain dalam satu serbuan polis antikeganasan Indonesia di sebuah rumah di Solo, Jawa Tengah pagi semalam.

"Kerajaan Malaysia dan keluarga Noordin telah meminta jenazahnya dihantar pulang supaya dapat dikebumikan di Malaysia. Kami akan menyerahkannya kepada mereka.

"Kami akan selesai menjalankan ujian DNA (Noordin) hari ini dan menyerahkan jenazahnya kepada Kementerian Luar yang akan menjalankan persiapan untuk menghantar jenazahnya ke Malaysia," kata jurucakap Polis Indonesia, Nanan Soekarna hari ini.

Menurut beliau, pihak polis begitu berhasrat untuk menangkap Noordin hidup-hidup tetapi pertempuran meletus apabila dia dan pengikutnya enggan menyerah diri.

"Kami mengarahkan mereka menyerah diri tetapi mereka menolak, malah mereka mula melepaskan tembakan ke arah kami terlebih dahulu," kata Nanan.

Bahagian belakang kepala Noordin hancur akibat satu letupan apabila polis merobohkan dinding rumah sewa yang menjadi tempat dia bersembunyi bersama-sama rakannya, tambah jurucakap itu.

Noordin juga terkena tembakan di rusuk dan kaki.

Dengan kematian Noordin, polis kini menumpukan usaha untuk memburu pengikutnya, termasuk Syaifudin Jaelani yang dikatakan pakar dalam merekrut anggota baru, serta Mohamed Syahrir, seorang bekas juruteknik syarikat penerbangan Garuda Indonesia.

"Polis akan meneruskan usaha memburu anggota yang lain. Ramai lagi yang masih berada dalam senarai orang dikehendaki polis, seperti Mohamad Syahrir dan Syaifudin. Kami akan terus memburu mereka," kata Nanan.

Seorang lagi jurucakap polis, Ketut Untung Yoga Ana berkata, pegawai perisikan diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga untuk menghadapi kemungkinan puak militan bertindak balas ketika ramai rakyat Indonesia menjalankan persiapan untuk menyambut Hari Raya Aidil Fitri.

"Kami tidak dapat membaca fikiran mereka, mungkin mereka akan bertindak balas. Kami sentiasa dalam keadaan berjaga-jaga, sekalipun tidak ada sebarang insiden," katanya. - AFP

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI