Bubur Lambuk Kampung Baru

Tuesday, September 15, 2009

Sebut sahaja bubur lambuk, ramai dalam kalangan kita sudah dapat membayangkan juadah istimewa yang laris pada bulan Ramadan. Ia juga satu nama yang amat sinonim dengan makanan tradisi di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Keenakan bubur yang dihasilkan daripada resipi tradisi yang telah berusia lima dekad itu membuatkan bubur lambuk Kampung Baru sentiasa menjadi sebutan pelbagai lapisan masyarakat di seluruh negara.

Bahkan, kemasyhuran bubur lambuk Kampung Baru menyebabkan ramai masyarakat luar sanggup berbaris panjang semata-mata mahu mendapatkan sebungkus bubur yang diedarkan secara percuma sepanjang bulan Ramadan.

Menurut ketua tukang masak bubur lambuk di Masjid Jamek Kampung Baru (MJKB), Masron Suradi, 55, resipi yang menjadi milik penduduk kampung itu telah diasaskan oleh seorang warga Pakistan, Allahyarham Said Benk pada tahun 1949.

"Ketika itu, beliau hanya memasak bubur lambuk dalam skala kecil iaitu di dalam periuk biasa untuk disajikan kepada jemaah yang menunaikan solat di masjid ini.


KUANTITI santan yang digunakan untuk satu periuk besar ini adalah enam kilogram.


"Lama-kelamaan, permintaan terhadap bubur lambuk semakin bertambah. Ia mungkin disebabkan rasanya yang enak dan menggunakan resipi tersendiri yang dicipta khas oleh Allahyarham Said," ujar Masron ketika ditemui Kosmo! di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebelum meninggal dunia, beliau sempat menurunkan kepakaran dan ilmu memasak bubur lambuk kepada imam masjid ketika itu, Mohd. Tahir Jaafar, Amer Hussain dan Muhammad Abu Bakar.

Resipi itu kemudiannya diwarisi dari satu generasi ke satu generasi. Antara generasi yang mewarisinya adalah Monek Aki, Zainal Abidin Abdul Hamid, Imam Abdul Ahad Abu Bakar, Wan Norisham Amiruddin dan Razali Amat Lori.

Hari ini, tanggungjawab sebagai ketua tukang masak bubur lambuk di MJKB diambil alih oleh Masron bersama beberapa jemaah lain.

Menurut Masron, keistimewaan bubur lambuk Kampung Baru adalah ramuan herba dan rempah ratus yang digunakan sejak 50 tahun lalu tidak pernah berubah. Ia tetap digunakan sehingga kini tanpa mengurangkan walau satu jenis bahan.

"Paling utama adalah penggunaan tujuh jenis rempah iaitu jintan manis, halba, buah pelaga, bunga cengkih, kulit kayu manis, bunga lawang dan serbuk lada hitam.


SEBANYAK 15 kilogram beras digunakan untuk memasak satu periuk besar bubur lambuk.


"Di samping itu, bahan asas lain terdiri daripada daging tetel, udang kering, bawang besar yang dihiris, bawang putih, santan, minyak sapi, minyak kelapa dan garam secukup rasa. Untuk menambah aroma pula, daun pandan, daun sup dan daun bawang turut dicampur, selain ditabur dengan bawang goreng," jelas Masron lebih lanjut.

Rakannya, Awi Mohamad Nor, 61, pula memberitahu, daging, udang kering, santan dan daun bawang adalah ramuan tambahan untuk menambah perisa bubur lambuk.

"Dahulu, ramuan ini tidak diletakkan di dalam bubur, tetapi kami tambah untuk menjadikan bubur lambuk lebih enak. Hanya, itu yang ditambah. Ramuan rempah-ratus lain tidak berubah," katanya sambil menambah mereka merupakan penyambung generasi lama yang menyediakan juadah istimewa itu.

Sepanjang bulan Ramadan, pihak masjid akan memasak bubur lambuk sekurang-kurangnya 14 periuk setiap hari untuk diagihkan secara percuma kepada orang ramai. Setiap periuk boleh menghasilkan antara 200 hingga 250 bungkusan.

Selain menggunakan peruntukan masjid, mereka juga menerima tajaan dan sumbangan berbentuk wang dari badan-badan korporat atau individu untuk memasak bubur lambuk bagi tujuan amal.

Acara memasak akan dimulakan pada pukul 8 pagi. Penyediaan bahan-bahan seperti mengupas dan menghiris bawang atau menyediakan rempah-ratus pula biasanya dilakukan pada malam sebelumnya iaitu selepas solat tarawih.

Proses memasak bubur lambuk dilakukan serentak dan mengambil masa kira-kira tiga jam. Kemudian, kerja-kerja pembungkusan akan dijalankan sejurus selepas itu, sebelum bungkusan diagihkan kepada orang ramai selepas solat Asar.

Bercerita mengenai pengalamannya sebagai tukang masak bubur lambuk, Masron mengakui beliau pernah melalui peristiwa seperti termakan bubur lambuk disebabkan mahu mengetahui masin atau tidak bubur tersebut.

"Termakan ini bukan bermaksud menghirup bubur lambuk dengan senduk atau sudu, tetapi dengan menjilat tapak tangan yang diletakkan sedikit bubur ke atasnya. Waktu itu, saya ingat hari biasa. Jadi, saya terus menelannya sebelum ditegur rakan yang lain," ujarnya sambil tersenyum.

Apa yang pasti, tugas memasak bubur lambuk bukan satu kerja yang ringan. Para petugas terpaksa berdepan dengan panas api dan haba yang keluar dari kawasan memasak.


ZAINAL ABIDIN (kanan) memasak enam periuk besar bubur lambuk setiap hari untuk dijual.


"Ini satu cabaran untuk menguji kekuatan iman seseorang yang berpuasa," tambahnya.

Namun, itulah amal kebaikan yang dapat dilakukan oleh segelintir mereka yang melaksanakan amanah tersebut dengan baik. Sebelum menutup bicara, Masron sempat menitipkan tiga petua untuk memasak bubur lambuk.

"Pertama mesti ada kesabaran. Kedua, ikut ilmu yang diajar oleh tok guru (jangan sesekali menokok tambah resipi) dan ketiga, sentiasa menjaga kebersihan ketika memasak yang mana aspek itu amat ditekankan di dalam ajaran Islam.

"Insya-Allah, setiap masakan pasti akan menjadi berkat jika tiga petua tersebut diamalkan," ungkapnya penuh makna.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI