Fakta Kembar Siam
Menyingkap sejarah kembar Siam, istilah ini diambil sempena sepasang kembar Siam yang dikenali sebagai Chang dan Eng Bunker. Kembar Siam pertama ini dilahirkan pada 11 Mei 1811 di Thailand, (yang dahulunya di kenali sebagai Siam) berketurunan ibu bapa kacukan separuh Cina.
Pasangan kembar yang dikatakan melekat pada bahagian tulang dada hingga ke paras pusat ini kemudian menetap di Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, pasangan kembar ini dikatakan berpeluang menikmati kehidupan dalam jangka masa panjang dan bahagia sehingga mencecah usia 63 tahun.
Bagi pasangan kembar siam, Ritta dan Christina yang berasal dari Perancis, tidak kurang hebat diperkatakan.
Kedua-duanya dikatakan mempunyai kepala, tangan dan tulang belakang yang berasingan. Bagaimanapun, mereka terpaksa berkongsi bahagian bawah badan bermula dari pusat dan memiliki sepasang kaki.
Malangnya, kembar siam ini hanya hidup selama lima bulan sahaja dan selepas kematian, mereka dijadikan bahan pameran pada 1829.
Berikut antara cerita-cerita menarik mengenai kembar siam di seluruh dunia:
*Pasangan Anita dan Aniza, dua gadis dari Kampung Parit Bentara Dua, Bagan Serai, Perak turut dilahirkan sebagai kembar siam kira-kira 28 tahun lalu.
Mereka yang dilahirkan pada 22 Disember 1981 dengan bercantum di bahagian abdomen yang kemudian berjaya menjalani pembedahan pemisahan oleh sekumpulan doktor pakar Hospital Universiti (kini Pusat Perubatan Universiti Malaya).
*3 Disember 1995 - Pakar-pakar bedah Pusat Perubatan Kanak-kanak Schneider (SCMCI) di Israel berjaya memisahkan sepasang kembar siam perempuan yang bercantum pada usus kecil dan besar serta berkongsi pundi kencing.
*Februari 1995 - Pasangan kembar Aida Safa dan Aina Safi berusia lima bulan yang bercantum di bahagian perut dan berkongsi hati meninggal dunia selepas 104 hari dibedah bagi memisahkan mereka di di Institut Pediatrik Hospital Kuala Lumpur .
*Ogos 2002 - Kembar siam dari Gautemala, Maria de Jesus Quiej Alvarez dan Maria Teresa yang bercantum pada tengkorak kepala dengan muka pada arah bertentangan berjaya dipisahkan. Nasib menyebelahi mereka kerana mereka memiliki otak yang berasingan.
*Julai 2003 - Pasangan kembar siam terkenal dari Iran, Ladan Bijani dan Laleh Bijani. Mereka merupakan pasangan kembar yang melekat di otak.
Mereka mengalami komplikasi pembedahan akibat pendarahan teruk di otak semasa proses memisahkan salur darah besar otak di Singapura pada tahun 2003 dan meninggal dunia pada umur 29 tahun.
*September 2002 - Kembar siam dari Malaysia, Ahmad dan Muhammad berjaya dipisahkan menerusi pembedahan selama 22 jam 45 minit yang dilakukan oleh sepasukan 17 pakar bedah, sembilan jururawat dan 15 pasukan sokongan di Hospital King Fahad National Guard, King Abdul Aziz Medical City, Riyadh, Arab Saudi.
*Satu lagi kembar siam, Ahmed Ibrahim dan Mohamed berjaya dipisahkan sepenuhnya pada 12 Oktober 2003. Pembedahan maraton berlangsung selama 36 jam di Pusat Perubatan Kanak-kanak, Dallas, Amerika Syarikat itu berjaya memisahkan mereka yang bercantum di bahagian kepala tetapi mempunyai otak berasingan.
*21 Mei 2005 - Sepasukan doktor dari Hospital Gleneagles, Singapura berjaya membedah pasangan kembar Siam dari Indonesia Angeli dan Angie yang berusia 15 bulan.
FAKTA
Kembar Siam amat jarang berlaku iaitu hanya satu dalam 50,000 hingga 80,000 kelahiran.
Pembentukan mereka secara fizikal juga berbeza-beza, di mana ada yang terpaksa bergantung dan berkongsi organ.
Begitu juga percantuman pada tubuh mereka, ada yang melekat pada seluruh tubuh, sendi pinggul, karnium, dada dan sebagainya.
Ada kalanya salah satu daripada pasangan kembar Siam menjadi manusia normal manakala pasangannya pula terpaksa bergantung kepada pasangannya yang sempurna. Tidak kurang juga yang meninggal semasa proses kelahiran.
Malah terdapat sesetengah kembar Siam dilahirkan memiliki tangan atau kepala yang lebih dari satu, di mana ia ibarat benda hidup yang terpaksa bergantung kepada orang lain.
Nisbah kelahiran kembar Siam di dunia satu bagi setiap 250,000 kelahiran hidup. Namun, pasangan kembar siam ini bukan sahaja unik dari segi bentuk fizikal mahupun tingkah laku, mereka juga merupakan ciptaan Tuhan yang sering menarik perhatian ramai untuk mengenali mereka sebenarnya.
JENIS-JENIS KEMBAR SIAM
Kembar siam ini terbahagi kepada banyak jenis. Orang-orang Greek menggunakan perkataan pagos, bermakna tempat di mana mereka bercantum.
*Craniopagus: Percantuman pada kepala sahaja, hampir dua peratus daripada keseluruhan kembar siam.
*Pygopagus: Percantuman pada bahagian punggung, ia meliputi hampir 19 peratus daripada keseluruhan kembar siam.
*Thoracopagus: Percantuman pada dada, ia merupakan jenis yang paling kerap ditemui dengan anggaran sebanyak 35 peratus. Ia biasanya melibatkan perkongsian jantung.
*Cephalopagus: Percantuman pada bahagian atas tubuh di mana wajah kedua-dua bertentangan pada kepala yang bercantum. Kes-kes seumpama ini jarang berlaku. Ada kalanya, ia melibatkan perkongsian jantung.
*Parapagus: Percantuman pada bahagian bawah tubuh. Kes-kes seumpama ini melibatkan lima peratus kembar siam. Ada kalanya kembar siam ini terpaksa berkongsi jantung.
*Ischopagus: Percantuman pada separuh bahagian bawah tubuh. Dianggarkan enam peratus kembar siam daripada jenis ini ditemui.
*Omphalopagus: Percantuman pada bahagian depan tengah tubuh. Hampir 30 peratus kes-kes kembar siam seumpama ini ditemui.
*Kembar parasit: Kembar siam tidak simetri di mana salah satu kembarnya bersaiz kecil, tidak terbentuk dengan sempurna dan terpaksa bergantung kepada kembarnya.
*Fetus in fetu: Keadaan di mana janin yang tidak terbentuk dengan sempurna ini terkandung dalam tubuh kembarnya.
Fakta Kembar Siam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
0 Komen:
Post a Comment