Sindiket Jual Organ dan Pemerdagangan Manusia di dunia

Wednesday, September 25, 2013

Sindiket Jual Organ
Kisah Guo, 6, dari China yang hilang kedua-dua biji matanya, baru-baru ini ketika bermain sendirian di luar kawasan rumahnya di wilayah utara Shanxi, Beijing begitu menggemparkan.

Kanak-kanak malang itu ditemui di padang berhampiran rumahnya dalam keadaan tidak sedarkan diri. Keadaannya berlumuran darah manakala kedua-dua kornea matanya ditemui tidak jauh dari tempat ditemui, dipercayai ada kaitan dengan sindiket penyeludupan organ.

Jurucakap polis Fenxi tidak menolak kemungkinan, Guo diberikan ubat pelali sebelum kornea matanya diambil dan dipercayai ada kaitan dengan sindiket penyeludupan organ kanak-kanak.

Laporan di laman web antarabangsa memaparkan, perdagangan organ secara haram semakin berleluasa apabila ia didorong oleh permintaan yang tinggi. Kira-kira 300,000 orang menunggu giliran untuk menjalani pembedahan pemindahan organ, sedangkan hanya 10,000 pembedahan dilakukan setiap tahun.

Pemindahan organ di negara miskin dan mundur dilakukan menerusi cara mengeksploitasi mangsa untuk mendapatkan keuntungan kerana permintaan tinggi daripada pesakit di seluruh dunia.

Kajian Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO) mendapati 10 peratus daripada 70,000 buah pinggang yang dipindahkan setahun mungkin berasal dari pasaran gelap.

Justeru, kegiatan penculikan kanak-kanak juga mempunyai kaitan untuk mendapatkan organ. Pertubuhan Buruh Antarabangsa pula menganggarkan 1.2 juta kanak-kanak diperdagangkan setiap tahun.

Menangani masalah itu, pelbagai kaedah penyelesaian dilaksanakan antaranya perlindungan yang luas, pencegahan, penguatkuasaan undang-undang dan bantuan kepada mangsa menerusi Konvensyen PBB mengenai Hak Kanak-Kanak 1989 serta Protokol Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu(PBB) untuk Mencegah, Menyekat dan Menghukum Perdagangan Manusia terutama wanita dan kanak-kanak.

Kes seludup organ

Jika dilihat, berdasarkan laporan kegiatan jual organ sudah berlaku di pelbagai negara sejak lebih 10 tahun lalu, contohnya di Ukraine, pada 2002 pernah mendedahkan berlaku aktiviti menyeludup 25,000 kanak-kanak ke negara Israel dipercayai dilakukan bagi tujuan mendapatkan organ.

Pada masa sama, sebelum isu itu timbul, sebuah agensi media antarabangsa juga membangkitkan kes kehilangan kanak-kanak Palestin. Kes kehilangan kanak-kanak Palestin dipercayai meningkat sejak pelancaran kempen Intifada pada tahun 2000, iaitu lebih 6,200 kanak-kanak Palestin yang berusia 18 tahun ke bawah diculik tentera Israel.

Laporan itu dibuat oleh International Middle East Media Centre (IMEMC) mengenai penculikan kanak-kanak itu dikeluarkan oleh Palestinian Ministry of Prisoner Affair.

Manusia kejam

Di Jepun, demi wang bayi juga dicolek bagi tujuan memperdagangkan organ. Sindiket itu menjalankan perniagaan haram dengan menjual otak, jantung dan bahagian tubuh bayi yang dimuatkan di dalam botol kaca. Ia dijalankan lebih lima tahun dan meraih keuntungan bernilai jutaan Yen.

Tangkapan besar

Pada November 2011, laman berita Ynet News melaporkan seorang warga Amerika-Israel, Lewi Yizhak Rosenbaum, 60, seorang Yahudi Ortodoks (Haredi) yang tinggal di Brooklyn New York, mengaku bersalah atas kesalahan menyeludup organ manusia.

Istilah Haredi atau Charedi digunakan bagi menggambarkan kumpulan yang paling konservastif dalam agama Yahudi Ortodoks. Dia membuat pengakuan ketika perbicaraannya di New Jersey dengan mengaku bersalah terhadap tiga tuduhan membabitkan penjualan haram buah pinggang kepada pelanggan di New Jersey.

Selain itu, Rosenbaum mengaku menerima sekurang-kurangnya USD120,000 (lebih kurang RM390, 000) setiap jualan dan turut mengaku salah terhadap tuduhan bersubahat dalam konspirasi jualan yang lain.

Apabila organ manusia sangat bernilai untuk tubuh maka harganya juga sangat mahal di pasaran gelap.

Laman web www.uniknya.com juga pernah melaporkan, harga untuk membiayai pemindahan ginjal di China menelan belanja minimum USD$10,000 (sekitar RM32,700). Apabila harganya mahal, maka muncul pelbagai taktik kegiatan berkaitan jual beli organ tubuh manusia.

Lagi kes hilang organ

Laman web worldnews.nbcnews.com pada Mei lalu, melaporkan seorang kanak-kanak perempuan kelahiran Birmingham, England, Gurkiren Kaur, 8, yang bercuti di India meninggal dunia selepas disuntik bagi tujuan rawatan penyahhidratan oleh seorang doktor.

Selepas dibawa pulang semula ke Britain, ibu bapanya mendapati hilang organ dalaman dan meluahkan rasa takut mungkin anaknya menjadi mangsa perdagangan haram organ manusia.

Perniagaan terbesar di India

Bagaimanapun, hospital di India yang merawat anak mereka menafikan dakwaan itu apabila ahli parlimen tempat kelahiran kanak-kanak itu mendesak supaya siasatan antarabangsa dijalankan terhadap kes berkenaan. Penggubal undangundang, Shabana Mahmood memberitahu ITV News, timbul rasa sangsi terhadap kes berkenaan.

Banyak persoalan tidak berjawab mengenai kematian Gurkiren. Mungkin dia sengaja dibunuh untuk mendapatkan organ dalamnya.

Lebih kuat dakwaan itu apabila sebuah akhbar melaporkan perniagaan komersial organ manusia dikategorikan sebagai perniagaan terbesar di India, walaupun ia sudah diharamkan sejak 1994.

Menurut ibu bapanya, Gurkiren melawat India sebagai percutian luar negeri pertamanya, tetapi jatuh sakit sekitar April lalu dan menjadi pesakit kes ringan. Kanak-kanak itu bagaimanapun diberi suntikan di sebuah klinik menyebabkan matanya berpusing-pusing ke belakang sebelum dia tidak sedarkan diri.

Ibu dan bapa kanak-kanak malang itu, Amrit dan Santokh bagaimanapun memberitahu doktor di klinik berkenaan enggan memberitahu tujuan suntikan itu diberikan sedangkan anaknya hanya memerlukan satu titis saline untuk selama setengah jam atau 45 minit.

Doktor itu bagaimanapun tidak memberikan sebarang penerangan, sebaliknya memandang kosong dan terus menyuntik Gurkiren.

Selepas kejadian itu, mereka bersetuju membenarkan doktor hospital di India menjalankan satu rawatan biopsi bagi mendapatkan rawatan susulan bagi mengenal pasti punca kematian anaknya.

Bagaimanapun, tubuh kanak-kanak itu dibawa pulang ke negaranya dan apabila bedah siasat dilakukan (amalan biasa dilakukan di United Kingdom) dan mendapati organ dalaman anaknya hilang.

Selain itu, ada sindiket dadah yang menjalankan operasi menculik dan membuang organ kanak-kanak supaya tubuhnya dapat digunakan untuk menyeludup dadah.

Awal Julai lalu, seorang kanak-kanak berusia dua tahun hilang apabila dia hilang seketika ketika melawat Mexico bersama keluarganya. Menyedari kehilangannya selama 45 minit kemudian di sempadan, ibu kanak-kanak malang itu mendapati seorang lelaki membawa seorang kanak-kanak yang seiras anaknya.

Bagaimanapun selepas lelaki itu menyedari diperhatikan ibu kanakkanak ini, lelaki terbabit terus melarikan diri dan meninggalkan jasad kanak-kanak berkenaan. Pemeriksaan mendapati, kanak-kanak itu sudah mati dan hampir semua organ dalamannya dibuang dan digantikan dengan sejumlah kokain.

INFO

5 negara tertinggi kes curi organ di dunia

1. Moldova - Negara miskin yang paling banyak berlaku kekejaman hamba seks. Ia adalah negara tertinggi dalam kes pencurian organ tubuh manusia. Populasi penduduknya lebih tiga juta. Pemerintah Moldova tidak begitu mengambil berat soal jenayah pencurian organ tubuh manusia sehingga menimbulkan curiga bahawa pemerintah Moldova turut terbabit dalam perdagangan organ manusia.

Sindiket juga terdiri daripada kelompok mafia penjualan organ tubuh nasional dan antarabangsa. Pencurian itu dilakukan dengan cara membius mangsa lalu membedahnya. Organ tubuh menjadi tumpuan adalah ginjal, jantung, hati, usus dan paru-paru. Selepas pembedahan organ dilakukan, mereka meletakkannya di dalam kolam mandi yang dipenuhi air batu dalam keadaan telanjang atau dibuang di kawasan terpencil.

Ada laporan mengatakan 10 peratus buah pinggang penderma adalah berasal dari Moldova.

2. China

* Tidak seperti negara lain, China sebenarnya menerima rampasan organ. Jika pesakit yang nazak perlukan ginjal, hospital di China akan menerbangkan ginjal untuk diberikan.

Pada 1984, pemerintah negara China memperkenalkan sebuah undang-undang baru, sebuah peraturan yang tertumpu pada upaya memanfaatkan organ tubuh terhadap manusia mati, terutama tahanan penjara. Sejak peraturan ini diperkenalkan, semakin banyak orang di dunia menantikan organ tubuh manusia yang berasal dari China, bahkan doktor akan memberikan pelbagai keterangan mengenai organ itu.

Pada 2007, pemerintah China menghentikan kegiatan rumah sakit yang menjual organ manusia dan melarangnya diberikan kepada orang asing dengan mengutamakan rakyat sendiri. Apabila rakyat asing memerlukan organ, mereka perlu membayar sebanyak USD10,000 hingga USD65,000untuk satu ginjal.

3. Mesir

* Pemerintah Mesir tidak memiliki undang-undang yang mencegah penjualan organ manusia. Kira-kira 500 pemindahan ginjal secara tidak sah dilakukan setiap tahun menunjukkan angka itu begitu murah dan dipercayai ada broker organ. Di Mesir tidak ada undang-undang untuk menghukum sindiket pencurian organ.

4. Pakistan

* Pakistan negara miskin dan menjadikan aktiviti menjual organ ginjal sebagai sumber pendapatan. Pada 1994, Pakistan memperkenalkan peraturan Transplantation of Human Organs Act namun masih banyak halangan. Ia adalah bagi membolehkan pihak di luar mendermakan dan menerima beberapa organ tubuh manusia.

5. India

* Penyeludupan dan penjualan organ manusia di India dilakukan lebih 12 tahun. Salah satu skandal yang paling popular berlaku pada 2004. Akhbar melaporkan Transplant Authorization Committee bertanggungjawab dalam mencegah jualan organ, antaranya buah pinggang. Kebanyakan broker, hospital dan doktor ditangkap di India.

Bagaimanapun, jualan buah pinggang masih semakin meningkat walaupun kes sudah didedahkan. Masih ramai membuka kedai haram mencari buah pinggang.

(laman web http://news.upickreviews.com)

Oleh Hidayah Mohammad

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI