Mempercayai azimat dan tangkal bawa mudarat

Friday, September 20, 2013

Cincin adalah antara objek yang sering dipercayai mempunyai azimat kerana mudah didapati dan dibawa ke mana sahaja.
Seperti semut mencari gula. Begitulah misi hidup Azhar (bukan nama sebenar) yang sentiasa mengejar dan memikirkan cara untuk mendapatkan projek setiap hari.

Dengan kredibiliti dan sikapnya yang proaktif, tidak hairanlah kontraktor kelas pertengahan itu sering berjaya memperoleh tawaran projek mega sehingga bernilai jutaan ringgit.

Walaupun dikatakan sudah hidup mewah, Azhar tidak pernah mengenal erti putus asa dan cukup dengan apa yang diperoleh, membuatkan dia sanggup melakukan apa sahaja untuk lebih berjaya.

Malangnya, kejayaan yang dikejar dan dikecapi selama ini disangka berpanjangan, rupanya bertukar dengan kisah hitam dalam hidupnya apabila dia ditakdirkan semakin lama semakin kehilangan 'aura'.

Bukan sahaja tidak lagi berjaya mendapat tawaran projek, malah hidupnya semakin dihimpit masalah. Sehingga akhirnya dia disahkan jatuh bankrap dengan hanya sehelai sepinggang.

Gambar Hiasan

Begitulah perkongsian pengalaman pengamal perubatan Islam, Dr. Jahid Sidek ketika berkhidmat merawat pesakit akibat terkena 'buatan orang' dipercayai melalui cincin yang disangka penaik seri dan pembuka pintu rezeki.

Jahid berkata, itulah antara jalan pintas yang sering diambil oleh segelintir masyarakat yang kebanyakannya golongan Melayu dan beragama Islam untuk memperoleh sesuatu dengan cara pantas dan mudah.

Bukan itu sahaja, malah pelbagai cara halus lain sanggup dilakukan demi memperoleh apa yang diingini seperti pelaris, pendinding, penunduk, ibu duit, pengasih dan sebagainya.

Lebih menyedihkan, menurut pengasas Pusat Rawatan Islam Manarah itu, pengamal perubatan Islam dan individu bergelar ustaz turut mempercayai dan menjadikan azimat sebagai objek bantuan bagi mereka.

Akhirnya, bukan kejayaan yang diimpikan tercapai, tetapi pelbagai kesan buruk berlaku. Lebih membahayakan sehingga menjejaskan akidah individu tersebut kerana bersandar harap kepada makhluk lain selain Allah SWT.

Katanya itulah, realiti perbuatan dan kepercayaan khurafat yang masih diamalkan oleh segelintir masyarakat bukan sahaja orang kelas bawahan di kampung, malah golongan atasan di bandar pada alaf baru ini.

"Bukan sedikit, tetapi kes seperti ini kerap dilaporkan berlaku pada masa ini. Malangnya, bukan sahaja di kampung tetapi di bandar juga ramai yang masih mempercayai dan mengamalkan perbuatan yang menyalahi akidah ini.

"Cincin adalah antara objek yang paling popular dan dipercayai mempunyai azimat serta kelebihan tersendiri selain barangan purba yang dikatakan mempunyai kepercayaan mistik tersendiri. Sehinggakan ada yang sanggup melabur ribuan ringgit demi mendapatkan objek tersebut," katanya ketika ditemui, baru-baru ini.

Jahid yang juga ahli panel Majlis Tareqat Suffiyah, Jabatan Mufti Negeri Sembilan berkata, ini bukan bermaksud haram memakai cincin atau menyimpan barang-barang tersebut. Tetapi tindakan meletakkan kepercayaan dengan bantuan sesuatu objek selain daripada Allah SWT menyebabkan akidah terpesong.

Mengambil iktibar daripada kisah Azhar, tambahnya, begitulah nasib malang yang menimpa akibat mempercayai azimat sebagai pelaris.

"Tidak dinafikan, ada batu yang dihasilkan dalam bentuk cincin terbukti memberi kelebihan tersendiri.

Ini diakui oleh pemilik batu tersebut kerana apa yang dihajati seperti pelaris, pengasih, pelindung dan sebagainya menjadi kenyataan.

"Hakikatnya, kita harus ingat, ini semua merupakan usaha syaitan dalam menyesatkan manusia melalui pelbagai cara. Syaitan yang membantu pemilik tersebut memperoleh apa yang dihajati.

"Tidak mustahil juga syaitan boleh menyamar hadir dalam mimpi dengan berlagak warak, sebelum menyerahkan atau memberi tahu di mana objek dikatakan azimat itu berada," ujarnya.

Bertukar tragedi

Jahid berkata, objek azimat yang dipercayai mampu membantu pemiliknya memperoleh apa yang dihajati hakikatnya boleh mengundang padah sehingga menghancurkan kehidupan individu, malah memberi kesan kepada keluarganya yang terdekat.

Tambahnya, akibat mempercayai cincin turun temurun sebagai pelindung, akhirnya mendatangkan kesan buruk kepada seorang pesakitnya sehingga menyebabkan kematian ayah kandungnya sendiri.

Pemuda itu yang pada mulanya mengakui cincin itu banyak memberi tuah dan pelbagai perkara luar biasa yang tidak disangka berlaku kepada dirinya, tetapi lama kelamaan tewas dengan pelbagai ujian dan masalah yang mula menimpa dirinya.

"Dia datang ke pusat perubatan ini dalam keadaan tertekan. Apabila dipandang jelas kelihatan seperti orang yang mempunyai banyak masalah. Seperti biasa dalam sesi rawatan, saya akan menemuramah pesakit, bertanyakan latar belakang mereka dan sebagainya.

"Selepas mendapat tahu mengenai cincin pusaka yang dipakai pemuda itu, saya meminta dia menanggalkan cincin tersebut. Malangnya pemuda itu enggan dengan alasan cincin itu mempunyai azimat dan khadam oleh jin Islam.

"Namun, setelah beberapa kali dirawat dan dinasihati, akhirnya dia akur untuk membuang cincin itu," jelasnya.

Bagaimanapun, apa yang dilakukan oleh pemuda itu ialah membuang cincin tersebut tanpa mengikut kaedah yang ditetapkan, iaitu dengan hanya membuangnya ke dalam longkang

Kesan daripada itu ujar Jahid, bapanya pula secara tiba-tiba diserang penyakit misteri seperti dirasuk.

"Setelah berdialog dengan bapa pemuda itu, akhirnya kita mendapat tahu makhluk yang memasuki tubuh bapa pemuda itu merupakan penunggu atau khadam daripada cincin yang telah dibuang tadi dengan mengugut untuk membalas dendam.

"Akhirnya, seperti dijanjikan, bapa pemuda itu meninggal dunia tidak beberapa lama kemudian. Namun apa yang dikhuatiri, jin itu turut berjanji akan terus mengganggu keluarga pemuda itu daripada seorang ke seorang," ujar Jahid.


Oleh MOHD. SHAH CHE AHMAD

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI