Jenazah Allahyarham Sherol Aizam akhirnya dikebumikan

Thursday, September 19, 2013

Selepas 60 hari berada di bilik mayat, jenazah Allahyarham Sherol Aizam, 27, yang dikatakan meninggal dunia kerana sesak nafas akibat tersepit pada tingkap pada 20 Julai lalu, akhirnya selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Gurap, Jalan Kuala Kangsar, di sini, pada jam 12 tengah hari, semalam.

Jenazah arwah selamat dikebumikan selepas mayatnya itu dituntut bapanya, Mohd Damanhuri Mohd Fuat, 50, di Unit Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini, pada jam 11 pagi sebelum dibawa ke rumahnya di Taman Saz, Silibin, untuk disembahyangkan.

Menurut Damanhuri, keputusan itu dibuat selepas dia terbuka hati untuk mempertimbangkan segala pendapat daripada beberapa doktor pakar serta nasihat peguam peribadinya pada Isnin lalu.

"Keputusan itu dibuat dua hari lalu dan ia dilakukan tanpa sebarang paksaan daripada mana-mana pihak.

"Malah, keputusan untuk membawa kes itu ke Mahkamah Rayuan turut dibatalkan berikutan terpaksa mengambil tempoh agak lama," katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Gurap, semalam.

Menurut Damanhuri, walaupun jenazah anaknya selamat dikebumikan, perjuangannya sebagai seorang bapa akan tetap diteruskan bagi membela maruah arwah.

"Wajib bagi seorang bapa membela maruah anaknya jika sudah tercalar. Malah, saya masih berpegang teguh pada bukti yang ada dalam simpanan kami," katanya.

Menurutnya, sepanjang tempoh dua bulan ini, banyak pihak menuduhnya seperti sudah hilang akal dan tiada pegangan agama kerana sengaja melambatkan proses pengebumian.

"Namun hanya Tuhan saja yang tahu betapa seksanya kami sekeluarga menanggung dugaan ini.

"Saya tidak pernah pertikaikan pemergian arwah, namun cara kematian itu menjadi persoalan bagi kami," katanya.

Mengenai keputusan bedah siasat yang mendakwa anaknya mengambil dua jenis dadah, Damanhuri berkata, dia dan isterinya amat terkilan mendengar keputusan itu dan berharap keadilan mampu ditegakkan.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI