Khairy menang tanpa bertanding Timbalan Ketua Umno Rembau

Sunday, September 22, 2013

Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin menang tanpa bertanding bagi jawatan Timbalan Ketua Umno Bahagian Rembau setelah tiada borang pencalonan lain diterima bagi jawatan itu sehingga tempoh penyerahan tamat pada 5 petang Sabtu

Khairy yang ketika ini menyandang jawatan Ketua Pemuda Umno Rembau menghantar borang pencalonan menerusi wakilnya pada pukul 8 pagi kepada Jawatankuasa Pemilihan Umno negeri di Wisma Umno, di sini. Beliau juga dijangka mempertahankan jawatannya selaku Ketua Pemuda Umno peringkat pusat pada pemilihan nanti.

Sementara itu, sebanyak 1,127 borang pencalonan bagi pelbagai jawatan diterima Jawatankuasa Pemilihan Umno Negeri Sembilan termasuk 19 borang pencalonan bagi jawatan Ketua Umno Bahagian. Proses penghantaran borang pencalonan yang bermula pukul 8 pagi dan berakhir 5 petang ini menyaksikan kesemua lapan jawatan Ketua Umno Bahagian di negeri ini menghadapi pertembungan satu lawan satu atau tiga penjuru.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan yang menyandang jawatan Ketua Umno Bahagian Rembau bakal menghadapi saingan satu lawan satu dengan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Chembong, Datuk Rais Zainuddin.

Sementara itu, bekas Naib Presiden Umno Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad pula menghadapi saingan tiga penjuru dengan dua anggota jawatankuasa bahagian iaitu Mazmam Mansor dan Ramli Awang bagi merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Telok Kemang.

Tokoh politik bersuara lantang Datuk Ishak Ismail turut menghadapi dua pencabar yang berhasrat merebut jawatannya selaku Ketua Umno Bahagian Seremban iaitu ADUN Ampangan Abu Ubaidah Redza dan Setiausaha Kerja Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Md Yusof Harmain Shah.

Di Jelebu pula, menyaksikan pertangingan satu lawan satu bagi jawatan Ketua Umno Bahagian antara Anggota Parlimen Jelebu Zainuddin Ismail dengan Datuk Jalaluddin Alias yang juga Timbalan Ketua Umno bahagian itu. Beberapa pemimpin lain yang mempertahan jawatan selaku Ketua Umno Bahagian termasuk Datuk Ismail Lasim (Kuala Pilah), Datuk Hashim Rusdi (Rasah), Datuk Seri Shaziman Abu Mansor (Tampin) dan Datuk Lilah Yasin (Jempol).

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan Umno negeri Datuk Khalid Yunos berkata proses penghantaran borang yang bermula 8 pagi sehingga pukul 5 petang tadi berjalan lancar dengan tiada borang yang ditolak. Katanya, semua borang pencalonan itu akan dihantar ke Ibu Pejabat Umno Kuala Lumpur untuk diteliti sebelum keputusan muktamad mengenai pencalonan dibuat.

"Sekiranya ada borang yang bermasalah keputusan muktamad sama ada untuk menerima atau menolak pencalonan akan diputuskan oleh ibu pejabat di Kuala Lumpur kerana kita di negeri tiada kuasa untuk menolak mana-mana borang calon," katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI