Soo Wincci tak mahu hilang identiti Malaysia

Monday, September 30, 2013

Mengukir nama di negara sendiri pun sukar, inikan pula mahu menempa kejayaan di bumi asing. Bagaimanapun, Soo Wincci membuktikan sebaliknya selepas tapak kerjaya seninya yang dibina di Taiwan makin membuahkan hasil.

Walaupun terpaksa berulang-alik ke Taiwan untuk memenuhi tuntutan kerja, bekas Miss World Malaysia 2008 ini tetap gembira dengan perkembangan kariernya dan berpuas hati kerana keha-dirannya diterima bukan hanya di Malaysia, tetapi juga Taiwan.

Perlu menyesuaikan diri dengan cara bekerja di Taiwan, Wincci mengakui jika tidak berhati-hati, dia mungkin hilang identiti Malaysia jika terlalu mengikut kehendak peminat Taiwan.

“Memang banyak perbezaan. Di Malaysia, walaupun seseorang penyanyi tidak mempunyai paras rupa cantik tapi memiliki suara sedap, masih ramai yang suka dan meminatinya.

“Berlainan dengan Taiwan, mereka sangat mementingkan pakej. Kalau kita lembut dan terlalu mengikut permintaan pengurus yang inginkan kita tampil seperti artis tempatan, pastinya lama-kelamaan kita akan hilang identiti diri.

“Artis Taiwan semuanya kurus, malah tubuh saya pun dianggap sangat besar dan perlu susut lagi. Namun kita perlu tegas membuat keputusan.

“Ia mungkin menggembirakan pihak lain tapi tiada gunanya kalau kita tak selesa,” kata gadis berusia 28 tahun ini.

Sangat mementingkan kesihatan diri, peserta MasterChef Selebriti musim pertama ini bagaimanapun tidak pernah memaksa dirinya bersenam melebihi kemampuan diri walaupun inginkan bentuk badan lebih langsing.

Suka memasak, penyanyi lagu Terus Teranglah yang kini menjaga diet ini tidak menjadikan alasan berkenaan untuk berhenti memasak. Walaupun tidak dapat menikmati masakan disediakannya, dia puas apabila juadah berkenaan dinikmati orang lain.

“Saya kini mengawal pemakanan tapi bukan langsung tidak makan. Saya suka masak tapi ada sesetengah menu yang saya sediakan kurang sesuai dengan diet. Sebab itu saya akan beri pada orang lain. Ia cukup membuatkan saya puas.

“Ada banyak cara untuk menurunkan berat dan memastikan badan kita tetap langsing. Selain menjaga pemakanan, se-naman banyak membantu. Kita juga boleh memilih jenis senaman sama ada pergi ke gimnasium, jo-ging di taman atau mengikuti kelas aerobik.

“Tidak makan bukan amalan sihat. Kita memerlukan zat daripada makanan seharian. Perlu makan tapi kecilkan kuantitinya dan pilih juadah berkhasiat sesuai dengan keperluan kalori harian,” katanya.

Selebriti tinggi lampai ini baru-baru ini menghasilkan sebuah lagu Mandarin berjudul Liar khas untuk lagu tema rantaian drama The Liar yang ditayangkan menerusi saluran ntv7 bermula 30 September ini.

Genre berbeza daripada lagu yang pernah dinyanyikan Wincci, gadis yang kerap tersenyum dan ramah ini ketawa besar apabila suara dan karakternya berbeza apabila mendendangkan lagu berkenaan.

Keluar dari kepompong selesanya, Wincci sendiri terkejut mendengar hasil akhir rakaman lagu berkenaan. Berdepan kesukaran mencari emosi, Wincci teruja apabila melihat sisi lainnya menyanyikan lagu itu.

“Kali pertama diberikan lagu ini, saya terkejut kerana ia berentak rock. Saya bimbang suara saya tak dapat mengangkat lagu berkenaan, tapi penerbit tetap suruh saya mencuba.

“Lagu itu memang sangat berbeza. Penerbit minta saya hilangkan sedikit identiti supaya dapat menyanyikan lagu itu tapi pada masa sama minta saya kekalkan nada suara,” katanya.

Lari daripada identiti asal, Wincci berharap dapat menterjemahkan lagu itu ke bahasa Melayu kerana dia ingin berkongsi cubaan pertamanya dengan peminat daripada kaum lain.

Wincci berkata, dia mungkin akan menghasilkan ‘single’ baru dengan rentak sama untuk memberi kelainan dan menganggapnya sebagai cabaran pada vokalnya.

“Jika lagu itu mendapat maklum balas baik, saya mungkin hasilkan lagu baru berentak rock. Kalau berada di tahap sama, lama kelamaan peminat bosan. Biar saya cuba sesuatu yang baru,” katanya.

Wincci sebelum ini kerap berlakon drama di ntv7, namun demi memberi tumpuan pada bidang muzik, dia terpaksa melupakan hasrat berkenaan. Menolak tawaran lakonan yang menjadi idaman artis di Taiwan, Wincci menganggap itu bukan rezekinya.

“Penggambaran bermula bulan depan, tapi saya terpaksa tolak kerana terbabit dengan MasterChef Selebriti Mega selama tiga bulan. Sedih, tapi saya terlebih dulu berjanji menyertai rancangan itu.

‘Tidak apa, mungkin ini rezeki orang lain. Saya ada rezeki lain dan komitmen yang perlu dilaksanakan,” katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI