Pathiban, Melinder atlit terbaik Tentera Darat

Thursday, September 12, 2013

Prebet M Pathiban dan Melinder Kaur, masing-masing dipilih sebagai atlit terbaik lelaki dan wanita Kejohanan Olahraga Tentera Darat ke-32 di Stadium Hang Jebat, Melaka Tengah, baru-baru ini.

Pathiban, 22, dipilih atas kejayaannya memenangi acara larian 800 meter dan 400 meter, manakala Melinder pula bagi acara larian 800 meter, 3,000 meter lari berhalangan dan 1,500 meter.

Tambah manis buat Melinder, kejayaannya memenangi tiga pingat emas itu membolehkan beliau dinobatkan sebagai atlit terbaik kejohanan berkenaan.

Hadiah kepada mereka disampaikan Panglima Tentera Darat, Jen Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor.

Pencapaian terbaik

Kejohanan kali ini membabitkan lapan formasi dan mempertandingkan 22 kategori bagi atlit lelaki manakala 21 bagi wanita. Pemenang bagi setiap acara bakal mewakili pasukan Tentera Darat pada kejohanan peringkat kebangsaan.

Ketika ditemui, Melinder berkata kejayaan itu adalah satu pencapaian terbaik buat dirinya sejak menceburi bidang ketenteraan selepas meninggalkan skuad olahraga kebangsaan.

"Sebagai bekas atlit kebangsaan, saya akan sentiasa membuat yang terbaik. dan akan mencuba sebaik mungkin dalam kejohanan peringkat kebangsaan selepas ini," katanya yang bertugas di Unit Kerahan di Sungai Buloh.

Dalam pada itu, Raja Mohamed Affandi berkata, kejohanan itu bertujuan mencungkil bakat terpendam anggota tentera dalam bidang sukan untuk diketengahkan pada peringkat kebangsaan.

"Langkah ini dilaksanakan bagi mengenal pasti bakat anggota dalam bidang sukan sekali gus menjadikan seorang anggota tentera itu bukan saja dedikasi terhadap tugas menjaga keamanan negara tetapi juga cergas tubuh badan.

"Selain meningkatkan semangat kesukanan, daya juang dan saing, kejohanan olahraga ini juga menjadi wadah penjana integrasi dalam warga tentera darat yang berbilang kaum," katanya.




0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI