Piala Dunia: Lima fakta baik dan buruk Suarez

Saturday, June 21, 2014

Piala Dunia: Lima fakta baik dan buruk Suarez

Lima fakta yang baik dan buruk mengenai Luis Suarez.

Keajaiban selepas cedera

Suarez sembuh secara ekspres selepas pembedahan lutut pada 22 Mei lalu untuk bermain menentang England dan menjaringkan dua gol cantik. Dia cedera dalam latihan di Montevideo ketika persiapan ke Piala Dunia, tetapi bertegas mampu pulih walaupun jurulatih Uruguay, Oscar Tabarez sangsi. Suarez tiba di Brazil pada 2 Jun dan menendang bola ketika latihan pada 7 Jun, tetapi hanya diletakkan sebagai pemain simpanan ketika Uruguay tewas 3-1 kepada Costa Rica. Tidak ramai yang menyangka dia mampu menamatkan 90 minit perlawanan dengan England, tetapi dua golnya berjaya menewaskan England.

Kehidupan awal Suarez memang ‘panas’ 


Dilahirkan pada 24 Januari 1987 di Salto, Uruguay, sebuah bandar bersempadan dengan Argentina yang popular dengan mandian thermal. Anak keempat daripada lapan lelaki dan dibesarkan oleh ibu tunggal. Abang sulungnya, Paolo, juga pemain profesional dan bermain untuk kelab Comunicaciones di Guatemala.

Penyerang yang mampu ‘menggigit’

Digelar sebagai ‘cannibal of Ajax’ apabila menggigit bahu pemain Ajax dan digantung tujuh permainan. Di Liverpool, dia menggigit pula lengan pemain Chelsea, Branislav Ivanovic dalam perlawanan pada April 2013 dan digantung 10 perlawanan.
Mulutnya juga menimbulkan masalah kepadanya. Dia mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap Patrice Evra dari Manchester United ketika Liga Perdana musim 2011-2012, tetapi mendakwa perkataan yang diucapkannya biasa digunakan di Uruguay.

FA England menggantungnya lapan perlawanan dan didenda 40,000 pound (RM200,000). Dia juga enggan berjabat tangan dengan Evra ketika pertemuan Liverpool-Manchester United selepas bebas daripada penggantungan.

Pemain musim akan datang

Kecemerlangan di Piala Dunia hanya akan meningkatkan nilai pasaran Suarez dan mungkin memaksanya meninggalkan Liverpool. Selepas beberapa kontroversi, Suarez menjaringkan 31 gol untuk pasukannya dan dinamakan pemain terbaik musim lalu oleh Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional.

Dia kini menjaringkan 41 gol untuk Uruguay dan Real Madrid dikatakan mahukan Suarez dan harganya mungkin lebih daripada 80 juta pound.

Pemain paling dikehendaki di Afrika

Suarez tidak akan dialu-alukan di Ghana selepas menyelamatkan pintu golnya menggunakan tangan pada masa tambahan ketika menentang Ghana dalam separuh akhir Piala Dunia 2010. Dia diperintah keluar padang tetapi sepakan penalti Asamoah Gyan berjaya diselamatkan dan Ghana tewas dalam sepakan penalti selepas permainan berkesudahan seri. “Saya menyelamatkan gol terbaik kejohanan” ujar Suarez selepas perlawanan itu. - AFP.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI