Biografi Rosmah Mansor dilancar

Wednesday, March 20, 2013

Dr Mahathir lancar Biografi Rosmah Mansor
Buku Biografi Rosmah Mansor yang dilancarkan, semalam, mampu menepis pelbagai tohmahan, fitnah dan kritikan terhadap isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, berkata ini termasuk yang disebarkan menerusi blog dan media sosial oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Betulkan isu negatif

Beliau berkata, Rosmah berhak untuk membuat pembetulan terhadap semua isu negatif mengenai dirinya, termasuk menggunakan buku yang menelusuri sejarah hidupnya.

"Saya turut simpati kerana bermacam-macam tohmahan dilemparkan terhadap isteri Perdana Menteri. Buku ini akan menjawab kritikan berkenaan. Apa yang dilaluinya sama seperti saya yang sering menjadi sasaran penipuan dan serangan peribadi sebelum ini," katanya berucap melancarkan buku Biografi Rosmah Mansor di sini, semalam.

Turut hadir, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, Rosmah dan isteri Dr Mahathir, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali.

Buku 180 muka berharga RM150 senaskhah tulisan Siti Rohayah Attan dan Noraini Abd Razak itu mengisahkan sejarah hidup dan pengalaman isteri Perdana Menteri dari dulu hingga kini.

Buku itu yang diterbitkan Yayasan Amanah Perdana Malaysia adalah untuk membendung penipuan dan perasaan cemburu terhadap Rosmah.

Syor diedar ke sekolah

Dr Mahathir turut mencadangkan buku itu diedarkan ke sekolah kerana ia sesuai sebagai pedoman generasi masa depan kerana karya sekarang sangat bernilai untuk rujukan 100 atau 200 tahun akan datang.

"Saya sering meminta pemimpin negara menulis mengenai pengalaman dan pemerhatian mereka untuk bahan rujukan dan kajian pelbagai lapisan masyarakat.

"Saya terbitkan memoir dan menulis perkara benar sejarah saya ketika menjadi pemimpin. Namun, orang masih berbohong mengenai peribadi saya," katanya.

Rosmah berkata, dua bahagian diminatinya dalam buku itu adalah mengenai komen kawan dan jawapan tohmahan terhadapnya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI