Bekas Mak Nyah ketagih suntikan

Thursday, March 28, 2013

Bekas Mak Nyah ketagih suntikan

"Mula-mula doktor toreh kulit, kemudian dia seperti mengoyak bahagian dagu hingga menampakkan tulang. Selepas itu doktor kikis kolagen yang sudah menjadi lemak.

"Sakitnya susah saya nak gambarkan. Pada masa itu, saya terfikir itulah hukuman ke atas saya kerana cuba mengubah ciptaan Allah," kata bekas mak nyah, Mohd Khariri Ramli, 35, menceritakan pengalamannya untuk kembali ke pangkal jalan.


Dia yang sebelum ini dikenali sebagai Erin bergelumang dalam dunia mak nyah selama 20 tahun dan pernah mengambil bermacam-macam suntikan untuk mengubah wajah serta penampilan supaya kelihatan seperti wanita.

Akibatnya, kata Mohd Khariri, dia mengalami pelbagai kesan sampingan antaranya dagu menjadi 'luruh' dan kerap dilanda kekejangan otot di beberapa bahagian badan hingga sekarang.

Menurutnya, kini dia dalam proses menjalani pemeriksaan saraf kerana dipercayai kekejangan dialaminya itu kesan daripada suntikan kecantikan dijalaninya sebelum ini.



"Dulu saya hanya fikir nak cantik. Sanggup tahan sakit dan buat apa saja. Bermacam-macam suntikan saya ambil seperti kolagen, implan, hormon, vitamin C dan vitamin B.

"Banyak tempat saya suntik, ada untuk 'buat' dagu, hidung, dahi, punggung, tangan dan lengan supaya nampak macam perempuan betul," katanya.

Mohd Khariri berkata, jarum suntikan seperti 'berhantu' kerana dia ketagih untuk disuntik dan berasa seperti tidak tenang jika tidak dapat suntikan.

Menurutnya, akibat terlalu kerap mengambil suntikan kolagen terutama di dagu, dagunya menjadi cacat seperti 'luruh'.

"Keadaan dagu saya ketika itu sangat buruk dan saya mendapatkan rawatan dan pembedahan di Hatyai (Thailand) kerana kos perubatan dalam negara sangat mahal.

"Sungguh perit pembedahan itu, tambahan pula saya buat dua dalam satu kerana masa yang sama saya buat pembedahan hidung," katanya mengimbas pembedahan dilaluinya lapan tahun lalu.

"Sepanjang 20 tahun menjadi mak nyah, saya membelanjakan puluhan ribu ringgit bagi mendapatkan wajah dan bentuk badan diinginkan. Bodoh sungguh saya ketika itu, sanggup sakit dan sanggup berdepan risiko mengalami kesan sampingan hanya untuk cantik.

"Akibatnya, kini saya menderita dan yakin semua mak nyah yang pernah mendapat suntikan untuk cantik akan menderita apabila usia meningkat.

"Lebih-lebih lagi, sesiapa yang pernah memasukkan implan untuk mendapatkan payudara kerana ia boleh menjejaskan sistem paru-paru.

"Saya nasihatkan kepada sesiapa yang berhasrat berbuat demikian supaya lupakan niat itu kerana lebih banyak buruk berbanding baiknya," katanya.

~ HM

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI