Fakta Ikan Jebong

Sunday, March 24, 2013

Fakta Ikan Jebong

Ikan jebong (Abalistes stellaris) juga dikenali sebagai ikan ayam. Isninya mampat, pejal, berurat halus dan sedap dimasak berbagai resipi malah tersohor sebagai ikan eksotik di kebanyakan restoran makanan laut.

Ia tergolong dalam famili Balistidae. Panggilan tempatan dikenali sebagai ikan pokut dan juga pueh teik.

Terdapat banyak jenis ikan jebong yang dikesan di perairan negara antaranya Jebong Kelar Jingga (Balistapus undulatus), Jebong Titan (Balistoides viridescens), Jebong Tompok Putih (Canthidermis maculatus), Jebong Wau Bulan (Odonus niger), Jebong Birai Kuning (Pseudobalistes flavimarginatus) dan Jebong Misai (Sufflamen fraenatum).



Tidak semua jebong dijadikan sebagai sajian di meja makan, kerana ia juga boleh dijadikan ikan hiasan yang cantik berikutan warnanya yang terang dan menarik.

Antara spesies menarik yang boleh dijadikan sebagai ikan hiasan ialah Jebong Subang Merah (Rhinecanthus rectangulus), Jebong Coreng Hitam (Rhinecanthus aculeatus) dan Jebong Badut (Balistoides conspicillum).

1. Sifat: Badannya pipih cembong dengan seluruh badan berkulit tebal, keras dan bersisik. Bahagian atas belakang kulitnya berwarna kehitaman manakala beransur kekuningan cerah di bahagian tengah badan dengan sebarisan gigi kasar, keras seperti gigi arnab.

Di bahagian kepala terdapat lekok kecil dalam terletak pada bahagian depan mata. Manakala sirip lembut kekuningan terdapat pada hujung belakang dan bawah menghala ke tulang ekor.

Spesies jebong mempunyai bertulang keras tidak seperti ikan laut lain seperti selar atau kembong.

2. Pemakanan: Gemar memburu ketam dan siput sebagai makanan utamanya, selain menjadikan anak ikan buntal sebagai makanan pilihan.

Ia juga dikatakan memburu moluska kecil yang banyak terdapat di sekitar kelompok tumbuhan batu karang.

3. Habitat: Jebong boleh ditemui di kawasan laut bersuhu panas, terutama di kawasan perairan Asia, Laut Merah dan Afrika.

Lazimnya ia menjadikan kawasan berbatu karang yang dasarnya berpasir sebagai perumah yang terdapat banyak sumber makanan utama khususnya moluska dan spesies ketam atau udang.

Namun ia juga boleh ditemui di kawasan laut berselut yang berbatu karang. Biasanya ia berada di kawasan kedalaman air 100 meter.

4. Kaedah Penangkapan: Ia tergolong sebagai ikan demersal. Lazimnya, jebong ditangkap menggunakan peralatan pukat tunda, bubu dan juga pancing.

Tetapi, ia boleh ditangkap dengan kuantiti yang banyak menggunakan pukat tunda yang sering menceroboh kawasan berbatu karang. Ini berikutan ia menjadi kawasan berkenaan juga sebagai kawasan pembiakan.

5. Nilai Ekonomi: Ikan jebong mempunyai nilai pasaran tinggi kerana permintaan restoran dan juga penjual ikan akuarium.

Anak ikan Jebong Badut, Celoreng Hitan atau Subang Merah mempunyai nilai yang tinggi di pasaran.

Penjual ikan hiasan lazimnya menjual anak ikan dengan harga mencecah sehingga RM20 hingga RM50 seekor.

Harga borong mencecah sehingga RM6 hingga RM10 sekilogram. Namun, ia akan melambung tinggi jika berada di restoran makanan laut dan mampu mencecah sehingga RM15 untuk 100 gram.

6. Resipi Pilihan: Isi ikan jebong memang diakui lazat dan ia boleh dimasak dengan pelbagai resipi seperti gulai kari, gulai lemak kuning atau jebong bakar dicicah bersama air lada.

Ia mendapat permintaan tinggi dan disukai ramai berikutan dagingnya yang pejal serta strukturnya yang berlapis mirip ikan tenggiri.


Oleh Mat Semail

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI