Angkara cinta tiga segi

Tuesday, March 26, 2013

Angkara cinta tiga segi, seorang pemuda didakwa tergamak mengurung seorang suri rumah yang baru habis berpantang selepas melahirkan anak sulung di sebuah rumah di sekitar daerah ini sejak seminggu lalu.

Lebih malang apabila wanita yang juga isteri kepada abang angkat remaja itu dipercayai turut dikawal setiap masa dan dihalang menemui suami serta bayi lelakinya yang baru mencecah usia dua bulan.

Difahamkan, lelaki berusia 20 tahun itu melakukan hubungan intim dengan wanita berusia 28 tahun berkenaan tanpa dikesan suaminya yang mahu dikenali sebagai Firdaus, 30, sejak pertengahan tahun lalu.

Menurut Firdaus, dia yang terjaga dari tidur terkejut mendapati isterinya tiada, kira-kira jam 8.30 pagi, 16 Mac lalu.

"Saya melihat dia (isteri) tiada di sebelah, namun bayi kami masih ada dan membawanya keluar mencari selama tiga hari berturut-turut, namun gagal.

"Seorang anak angkat saya berusia 18 tahun memberitahu isteri dilihat keluar dengan lelaki berkenaan menaiki motosikal pada pagi kejadian," katanya.

Menurut Firdaus, dia menghubungi lelaki itu yang mendakwa akan memulangkan semula isteri dan mahu berjumpa di sekitar Plaza Tol Simpang Ampat, di sini.

"Kerana terlalu gembira, saya sanggup menunggang motosikal sambil membawa bayi lelaki sejauh 50 kilometer dalam hujan renyai.

"Selepas sejam menunggu di lokasi dijanjikan, lelaki yang membonceng isteri saya itu bagaimanapun memecut motosikalnya ke arah Pulau Sebang," katanya yang bimbang akan keselamatan isterinya itu.

Menurutnya, dia mengenali 'adik angkat' yang juga bekas kekasih adik iparnya itu sejak Ogos tahun lalu namun tidak mengesyaki hubungan cinta tiga segi dengan isterinya.

Kata Firdaus, isterinya ada mengadu sakit dan amat merindui bayi mereka, namun sukar melepaskan diri daripada kawalan lelaki itu ketika kali terakhir menghubunginya pada jam 9 pagi kelmarin.

"Saya meminta lelaki itu memulangkan isteri dengan selamat kerana bimbang keadaannya yang baru habis berpantang. Kasihanilah bayi kami yang kerap merengek setiap malam," katanya yang membuat laporan polis di Balai Polis Rumbia, awal pagi semalam.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan menerima laporan dan kes dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk tindakan lanjut. ~ HM

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI