Showing posts with label Pendidikan. Show all posts
Showing posts with label Pendidikan. Show all posts

Biasiswa Tajaan Kerajaan Jepun (Monbukagakusho:MEXT)

Tuesday, March 03, 2015 0 Komen

Biasiswa Tajaan Kerajaan Jepun (Monbukagakusho:MEXT)

Jepun tawar biasiswa tahun akademik 2016 kepada rakyat Malaysia

Kerajaan Jepun mempelawa rakyat Malaysia memohon Biasiswa Tajaan Kerajaan Jepun (Monbukagakusho:MEXT) bagi mengikuti pengajian di peringkat ijazah dan lepasan ijazah di negara itu bagi tahun akademik 2016.

Kedutaan Jepun dalam kenyataan hari ini berkata, biasiswa untuk program sarjana muda bermula pada April 2016 selama lima hingga tujuh tahun, menawarkan elaun bulanan 117,000 yen (RM3,500).

Biasiswa bagi program ijazah lanjutan bermula pada April atau Oktober 2016 selama 18 bulan atau dua tahun, menawarkan elaun bulanan 143,000 yen (RM4,300).

"Pemohon untuk program ijazah mesti berumur 17 hingga 22 tahun pada 1 April 2016, tamat Sijil Pelajaran Malaysia atau O-level dan mempunyai sekurang-kurangnya 11 tahun pendidikan formal.

"Pelajar yang sudah tamat Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia, A-level, United Examination Certificate, Matrikulasi dan Diploma juga boleh memohon untuk program sarjana muda dan tarikh tutup permohonan pada 27 Mac," menurut kenyataan itu. - Bernama

STPM 2014: 390 calon dapat PNGK 4.00

Monday, March 02, 2015 0 Komen

STPM: Peratusan Lulus Penuh Kebanyakan Negeri Melebihi 90 Peratus

Peratusan pencapaian calon peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2014 yang mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 meningkat kepada 0.91 peratus atau 390 orang berbanding 0.89 peratus tahun lalu.

Kebanyakan negeri mencatatkan keputusan yang baik dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2014 yang diumumkan Isnin dengan ada di antaranya mencatatkan peratusan lulus penuh satu hingga lima mata pelajaran melebihi 90 peratus.

Di KUANTAN, sejumlah 2,363 atau 99.08 peratus calon lulus penuh dalam peperiksaan STPM 2014 bagi negeri Pahang berbanding 98.07 peratus pada tahun sebelumnya.

Pengarah Pendidikan Pahang Rosdi Ismail berkata daripada jumlah itu, sebanyak 0.55 peratus calon lulus penuh lima mata pelajaran (5P) dan 72.29 peratus lulus penuh dalam empat mata pelajaran (4P).


Katanya, prestasi calon yang memperoleh keputusan yang baik iaitu Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 3.00 turut meningkat iaitu 844 calon atau 35.99 peratus berbanding 30.82 pada 2013.

Di SEREMBAN, Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan Datuk Kalsom Khalid berkata sebanyak 1,242 daripada 1,263 calon atau 98.3 peratus lulus dengan mendapat sekurang-kurangnya satu mata pelajaran peringkat prinsipal.

Beliau berkata sebanyak 14 pelajar pula memperoleh PNGK 4.00.

Di PULAU PINANG, Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Osman Hussain berkata sejumlah 2,372 atau 97.05 peratus daripada 2,444 calon STPM 2014 lulus penuh, menurun 0.23 peratus berbanding 2013.

Beliau berkata sebanyak 50 calon memperoleh keputusan cemerlang PNGK 4.00 sementara 30 calon lulus lima prinsipal serta 1,619 lulus empat prinsipal.

Di SELANGOR, Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Mohd Salleh Mohd Kassim berkata sebanyak 97.05 peratus daripada 4,409 calon memperoleh kelulusan penuh bagi semua mata pelajaran yang diambil.

"Dua calon memperoleh keputusan cemerlang semua A bagi lima mata pelajaran manakala 51 calon pula mendapat semua A bagi empat mata pelajaran," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Datin Nawal Salleh berkata sebanyak 1,044 daripada 1,074 calon atau 97.21 peratus calon lulus penuh peringkat prinsipal, menurun 0.57 peratus berbanding tahun 2013.

Beliau berkata seramai 27 calon lulus Gred A dalam lima dan empat mata pelajaran dengan memperoleh PNGK 4.00 pada STPM 2014 berbanding 38 calon yang mendapat gred yang sama pada tahun sebelumnya.

Di ALOR SETAR, Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Datin Azuyah Hassan dalam satu kenyataan berkata pencapaian lulus penuh 100 peratus meningkat sebanyak 0.53 peratus pada tahun 2014 iaitu 98.88 peratus berbanding 98.35 peratus pada 2013.

Beliau berkata seramai 28 calon memperoleh PNGK 4.00 berbanding tahun 2013 iaitu 33 orang.

Di SABAH, Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Jame Alip berkata seramai 5,903 daripada 6,069 calon atau 97.28 peratus lulus penuh.

Beliau berkata sebanyak 16 calon STPM 2014 di negeri itu memperoleh PNGK 4.00, berbanding 15 calon pada tahun sebelumnya.

Di PERAK, Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan negeri Zulkurnaini Hussin berkata seramai 3,892 daripada 3,971 calon memperoleh kelulusan penuh.

"Daripada jumlah itu, seramai 48 calon lulus lima prinsipal serta 2,689 lulus empat prinsipal," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata seramai 53 pelajar memperoleh PNGK 4.00 pada 2014, menurun 1.33 peratus berbanding 2013.

Di MELAKA, Pengarah Pendidikan negeri Datuk Md Rashid Hussin berkata sejumlah 1,215 daripada 1,228 calon mendapat keputusan lulus penuh, meningkat 0.38 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Beliau berkata seramai 813 pelajar memperoleh keputusan empat prinsipal pada tahun lepas berbanding 957 pada 2013.

Di JOHOR BAHARU, seramai 43 calon di negeri ini memperoleh PNGK 4.00 pada peperiksaan STPM 2014 berbanding 77 calon pada peperiksaan tahun sebelumnya.

Pengarah Pendidikan Johor Aminudin Adam berkata jumlah calon yang lulus penuh satu hingga lima mata pelajaran pada STPM 2014 meningkat 0.18 peratus kepada 4,790 pelajar berbanding 6,009 pada 2013.

Beliau berkata 55 sekolah daripada 90 sekolah mencapai kelulusan penuh 100 peratus manakala PNGK negeri kekal 2.70 mata.

Di KUALA TERENGGANU, calon luar bandar negeri Terengganu menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan seramai 737 orang mendapat 5P dan 4P berbanding 716 calon bandar.

Pengarah Pendidikan Negeri Terengganu Zakaria Hussin berkata jumlah peratusan calon yang lulus penuh 5P dan 4P di negeri itu meningkat kepada 73.31 peratus pada tahun 2014 berbanding 64.23 peratus pada 2013.

Di KOTA BAHARU, sejumlah 2,649 atau 70.96 peratus calon sekolah bantuan kerajaan memperoleh keputusan 5P dan 4P berbanding 3,422 calon pada 2013.

Di KANGAR, Pengarah Pendidikan Perlis Roslee Ismail berkata seramai 477 daripada 485 calon lulus sekurang-kurangnya satu mata pelajaran peringkat prinsipal.

Di SARAWAK, sejumlah 4,834 orang (atau 97.34 peratus) daripada 4,973 calon sekolah lulus dalam STPM pada tahun 2014 berbanding dengan 5,897 calon (96 peratus) pada tahun sebelumnya.

Menurut kenyataan Jabatan Pendidikan Sarawak, seramai 40 calon sekolah (atau 0.81 peratus) mencapai PNGK 4.00 berbanding 39 pada tahun sebelumnya.

-- BERNAMA

'Dua Kuih, Satu Minuman' Peraturan Baru Mesyuarat Kementerian Pendidikan elak pembaziran

Friday, February 13, 2015 0 Komen

'Dua Kuih, Satu Minuman' Peraturan Baharu Mesyuarat Kementerian Pendidikan

Pegawai-pegawai di Kementerian Pendidikan yang menghadiri mesyuarat peringkat kementerian mulai sekarang hanya akan dihidangkan dengan dua jenis kuih dengan satu pilihan minuman.

Peraturan tersebut terpakai setiap kali mereka menghadiri mesyuarat di sebelah pagi, petang atau waktu rehat makan tengah hari.

Makanan berat seperti nasi lemak, nasi goreng atau mi tidak lagi dibenarkan.

Ketua Setiausahanya, Tan Sri Dr Madinah Mohamad berkata perintah baharu itu bertujuan untuk mengurangkan perbelanjaan dan juga pembaziran.

"Berdasarkan tinjauan kami, banyak makanan dibazirkan setiap kali mesyuarat diadakan.

"Semasa mesyuarat di sebelah pagi, setiap individu dihidangkan dengan makanan berat seperti sepinggan nasi lemak bersama buah-buahan dan minuman manakala pada waktu petang (mesyuarat), mereka dihidangkan dengan tiga jenis kuih, pencuci mulut, minuman panas dan air mineral," katanya.

Perintah tersebut turut dikuatkuasakan terhadap kakitangan di semua Jabatan Pendidikan Negeri, universiti awam, politeknik dan kolej komuniti.

Madinah berkata langkah tersebut untuk memastikan bahawa kementerian itu mempunyai peruntukan secukupnya bagi perbelanjaan tahunannya.

"Langkah itu juga sebahagian daripada pendekatan kawalan dalaman yang diperkenalkan oleh kementerian tersebut untuk meneliti pembaziran," katanya.

Tarikh Lokasi Karnival Jom Masuk U 2015 (Jadual Karnival Pengajian Tinggi 2015 Malaysia)

Monday, January 19, 2015 0 Komen

Tarikh Lokasi Karnival Jom Masuk U 2015 (Jadual Karnival Pengajian Tinggi 2015 Malaysia)

Zon 1 - Pahang - Sultan Ahmad Shah International Convention Center (SASICC)
Zon 2 - Penang - Perpustakaan Institut Perubatan dan Pergigian Termaju USM, Kepala Batas
Zon 3 - Melaka - Melaka International Trade Center (MITC) Ayer Keroh
Zon 4 - Selangor - Padang Kawad Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Kuala Lumpur
Zon 5 - Perak - Stadium Indera Mulia, Ipoh
Zon 6 - Johor - Padang Kawad Universiti Tun Hussein Onn (UTHM), Batu Pahat
Zon 7 sehingga Zon 9 masih lagi belum ditentukan.



Facebook Karnival Jom Masuk U
https://www.facebook.com/pages/Karnival-Jom-Masuk-U/256452331189257


JOM MASUK U

Jom Masuk U ini merupakakan program tahunan Kementerian Pengajian Tinggi yang telah dilaksanakan semenjak 2005 turut menyediakan maklumat akreditasi dan pembiayaan kepada lulusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau setaraf, pelajar lepasan asasi, diploma, sijil dan diploma kemahiran.

KPT telah menggunakan tagline ‘’JOM MASUK U’’ bagi memotivasikan para pemohon untuk mendapatkan maklumat tepat dan terkini mengenai peluang pendidikan tinggi di Malaysia.


•    Objektif program adalah menjadi Pusat Sehenti (One Stop Centre) bermaklumat kepada kumpulan sasaran seperti pemohon, ibu bapa, guru dan komuniti setempat untuk mendapatkan maklumat mengenai peluang pendidikan tinggi akreditasi dan pembiayaan bagi Lepasan SPM/Setaraf dan STPM/Setaraf.
•    Program ini juga ingin mendidik dan memupuk kesedaran di kalangan pemohon dan masyarakat awam mengenai pelaksanaan permohonan kemasukan ke IPTA melalui Aplikasi Dalam Talian (Online) .
•    Menyampaikan maklumat mengenai pelaksanaan dasar pemilihan Kemasukan ke IPTA yang mengguna pakai 90% markah akademik dan 10% markah kokurikulum
•    Menerangkan kaedah pemarkahan kokurikulum berasaskan sekolah yang diselaraskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi permohonan Kemasukan ke IPT.

Karnival Pengajian Tinggi Negara (KPTN) – JOM MASUK U ini dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) bagi mendidik dan memotivasikan para pemohon untuk mendapatkan maklumat tepat dan terkini mengenai peluang pendidikan tinggi di Malaysia.

Makluman:-

Bagi mendapatkan maklumat lanjut berkenaan Karnival JOM MASUK U ini sila hubungi Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar, Jabatan Pengajian Tinggi Malaysia, Aras 1, Blok E9, Parcel E, Presint 1, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62505 Putrajaya. Telefon : 03-8883 5801/5802 Faks : 03-8889 4260 Emel : upu@mohe.gov.my. Untuk maklumat lanjut boleh juga layari http://upu.mohe.gov.my/upu.php

Sumber: Kementerian Pengajian Tinggi

TalentCorp anjur pameran perkasa tenaga kerja muda

Sunday, January 18, 2015 0 Komen

TalentCorp anjur pameran perkasa tenaga kerja muda

Talent Corporation Malaysia Bhd (TalentCorp) menyasar memperkasakan tenaga kerja golongan muda bagi menampung keperluan ekonomi dengan menganjurkan siri Pameran Kerja Bertumpu Pada Sektor (SFCF).

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Johan Mahmood Merican berkata, ia bertujuan untuk membimbing tenaga kerja bagi mencari kerjaya menarik dalam sektor ekonomi utama dengan potensi pertumbuhan kukuh.

Lebih 50 syarikat tempatan dan asing utama termasuk Celcom Axiata, Texas Instruments Malaysia, KFC (Peninsular Malaysia) Sdn Bhd dan Prasarana Malaysia Bhd mengambil bahagian dalam pameran selama dua hari itu di Pusat Konvensyen TM di sini, bermula hari ini.

"Bahagian penting TalentCorp ialah The Big Bang, yang menyediakan kepada siswazah pelbagai peluang, pilihan dan instrumen terbaik untuk mencari kerja impian mereka," kata Johan dalam satu kenyataan bersempena dengan penganjuran SFCF itu.

SFCF Big Bang ialah permulaan bagi kalendar TalentCorp bagi enam SFCF di seluruh Malaysia yang menampilkan sektor-sektor utama seperti kejuruteraan, teknologi maklumat, perniagaan, perbankan dan kewangan untuk meningkatkan kesedaran kerjaya dan memupuk kefahaman yang lebih baik tentang sektor ekonomi utama Malaysia.

Aktiviti-aktiviti yang dirancang bagi SFCF Big Bang termasuklah temu duga bagi pencari kerja dan mereka yang mahu memohon latihan sambil kerja, temu duga dan sesi nasihat butiran peribadi.

SFCF yang diadakan di kebanyakannya kampus universiti seluruh negara, berjaya mendapatkan penyertaan syarikat-syarikat utama dan menarik lebih 25,000 golongan muda terutamanya pelajar.

Masuk adalah percuma dan maklumat lanjut mengenai TalentCorp serta siri SFCF boleh didapatkan di www.talentcorp.com.my atau www.facebook.com/SectorFocusedCareerFairSFCF.

Tiada larangan berbaju kurung bagi pelajar bukan Islam

Thursday, January 15, 2015 0 Komen

Tiada larangan berbaju kurung bagi pelajar bukan Islam

Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tiada garis panduan yang melarang pelajar perempuan bukan Melayu untuk memakai baju kurung sebagai seragam sekolah.

Sehubungan itu Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Pendidikan mengarahkan setiap sekolah untuk tidak membuat peraturan yang tidak selari dengan dasar Kementerian Pendidikan.


“Bagi saya pemakaian baju kurung patut digalakkan sebab merupakan pakaian kebangsaan, (larangan) ini tidak betul, minta sekolah perbetulkan,” katanya pada sidang akbar selepas majlis pelancaran Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampong Bharu (PITPKB) di sini hari ini.

Beliau mengulas isu seorang pelajar perempuan bukan Melayu di sebuah sekolah di ibu negara yang dilarang memakai baju kurung sebagai seragam sekolah. - UTUSAN ONLINE

Nilai keputusan PT3 secara menyeluruh, boleh dijadikan panduan menentukan hala tuju pendidikan

Wednesday, December 24, 2014 0 Komen

Nilai keputusan PT3 secara menyeluruh, boleh dijadikan panduan menentukan hala tuju pendidikan

Para pelajar dan ibu bapa perlu mempertimbangkan keputusan ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) secara menyeluruh supaya pentaksiran tersebut boleh dijadikan panduan dalam menentukan hala tuju pendidikan seterusnya.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, keputusan PT3 akan diambil kira bersama Pentaksiran Psikometrik (PPsi), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Sekolah (PS) bagi menentukan aliran yang akan diambil oleh pelajar.

Beliau berkata, selepas ini iaitu dengan berdasarkan keputusan PT3, ibu bapa dan pelajar perlu menentukan sama ada mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang sastera, sains atau latihan teknikal dan vokasional.

"PT3, PPsi, PAJSK dan PS secara bersama membentuk komponen utama sekolah berasaskan pendekatan penilaian yang membolehkan kita memahami dan menghargai dengan lebih baik potensi dan keperluan anak-anak kita.

"Adalah diharapkan menerusi sistem ini kita akan dapat membentuk pelajar yang bersifat lebih holistik dan mengangkat standard sistem pendidikan kebangsaan," katanya dalam status terbaharu laman sosial Facebook miliknya tengah malam tadi.

Selain itu, Idris turut mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang telah menduduki PT3 dan guru-guru yang telah bekerja keras bagi menjayakan sistem pendidikan yang baharu diperkenalkan itu.

Sebanyak 453,413 calon yang menduduki PT3 di 2,608 pusat peperiksaan seluruh negara pada Oktober lalu menerima keputusan masing-masing semalam.

Tahun ini adalah kali pertama PT3 dilaksanakan selepas Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diperkenalkan pada 1993.
~ Utusan

Pengumuman keputusan SPM 2014 diawalkan pada 3 Mac 2015

Tuesday, October 07, 2014 0 Komen

Pengumuman keputusan SPM 2014 diawalkan

Pengumuman keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2014 akan diawalkan kepada 3 Mac 2015 iaitu dua minggu lebih awal daripada jadual asal.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, keadaan itu untuk membolehkan pelajar mengikuti kursus asasi institusi pengajian tinggi (IPT) lebih awal dan sempat mengikuti tahun akademik di universiti luar negara pada 2016. - UTUSAN ONLINE

Fakulti Rekaan Komunikasi Visual ASWARA

Wednesday, July 09, 2014 0 Komen

Fakulti Rekaan Komunikasi Visual ASWARA

Fakulti Rekaan Komunikasi Visual ialah sebuah fakulti yang ditawarkan di Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) memfokuskan kepada pengajian dalam bidang seni rekaan komunikasi visual yang menggabungkan ilmu seni halus, rekaan tiga dimensi, rekaan visual dan seni persembahan.

Keunikan kursus ini ialah menawarkan kemahiran rekaan komunikasi visual yang merangkumi kemahiran rekaan pegun (static design) sehingga kepada rekaan pergerakan imej (moving images design).

Gabungan kedua-dua elemen terbabit adalah antara keistimewaan kursus ini berbanding dengan kursus rekaan komunikasi visual yang lain.

Kursus ini juga menekankan penguasaan ilmu asas seni visual yang merangkumi bidang catan, lukisan dan fotografi. Melalui ilmu dan kemahiran rekaan pegun, pelajar dapat menguasai bidang seni reka dalam bentuk visual grafik seperti poster, brosur, buku, imej korporat dan lain-lain.

Mereka bentuk visual

Peringkat seterusnya yang juga pelengkap kepada kursus ini ialah penguasaan kepada rekaan pergerakan imej yang memberikan peluang kepada pelajar mendalami ilmu dan kemahiran mereka bentuk visual sesebuah produksi seni persembahan seperti seni teater, muzik, tari, filem dan animasi.

Kemahiran serta keberkesanan rekaan komunikasi visual merupakan tonggak penting dalam menentukan kesan visual sesebuah persembahan sama ada melalui rekaan tekstur, warna, emosi dan suasana bagi membolehkan pelajar membuat rekaan set dan prop, pakaian, mekap, multimedia, pencahayaan dan bunyi.

Proses pembelajaran dan pengajaran dengan kemudahan perisian komputer terkini seperti AutoCAD, AI dan WYSIWYG serta penekanan kepada aspek teori dan praktikal memberikan peluang kepada pelajar melengkapkan diri sebagai graduan serta aktivis seni kreatif yang berkemahiran tinggi.

Graduan Diploma Rekaan Komunikasi Visual mempunyai potensi yang tinggi untuk menceburi kerjaya secara profesional dalam industri kreatif khususnya seni komunikasi visual dan seni persembahan sama ada sebagai pereka grafik, pengarah artistik, pereka produksi, pengarah seni, pereka set, pereka prop, pereka cahaya, pereka audio, pereka pakaian, pereka solekan dan pereka multimedia.

SYARAT KEMASUKAN PENGAJIAN DIPLOMA

- Lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan kepujian dalam Bahasa Melayu dan tiga mata pelajaran lain; ATAU Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan satu prinsipal; dan lulus mata pelajaran Ekonomi,

- DAN Warga negara Malaysia yang berusia sekurang-kurangnya 18 tahun pada tarikh tutup permohonan

- DAN Mempunyai pengalaman dan pengetahuan asas dalam bidang yang dimohon

- DAN Lulus temu duga dan uji bakat yang telah ditetapkan oleh ASWARA

Program khas KPJUC untuk lepasan SPM

Sunday, May 18, 2014 0 Komen

Program khas KPJUC untuk lepasan SPM

Asasi Sains adalah program komprehensif ditawarkan Kolej Universiti KPJ Healthcare (KPJUC). Program sepenuh masa ini direka khas bagi memberi peluang pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyambung pelajaran bagi persediaan ke peringkat lebih tinggi di mana-mana universiti diiktiraf.

Program Asasi Sains KPJUC dijalankan dalam jangka masa satu tahun merangkumi dua semester. Program yang dirancang dengan penuh ketelitian sama ada dari segi sukatan pelajaran mahu pun penilaian, mendapat akreditasi penuh daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan juga kelulusan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Penarafan MyQuest

Malahan KPJUC mendapat penilaian lima bintang dalam penarafan MyQuest iaitu suatu sistem penilaian prestasi kolej swasta dalam pengendalian pendidikan tinggi yang berkualiti.

Pelajar yang mendapat sijil dari program ini berpeluang mengikuti program ijazah sarjana muda di pelbagai bidang termasuk Perubatan, Kejururawatan, Farmasi, Pergigian dan Kejuruteraan di pelbagai universiti.

Malah KPJUC sendiri menyediakan pelbagai program ijazah dan diploma berkualiti untuk pelajar meneruskan pembelajaran mereka. KPJUC menerapkan budaya kualiti dalam pengajaran dan pembelajaran supaya pelajar memperoleh ilmu yang mantap di dalam subjek dipelajari dan mengaplikasikan dengan baik pada peringkat seterusnya.

Kawasan kehijauan

KPJUC terletak di kawasan yang lapang penuh kehijauan di Nilai, Negeri Sembilan.

Menurut Timbalan Presiden Kolej Universiti KPJ Healthcare, Profesor Dr Durrishah Idrus, pemilihan Nilai sebagai lokasi kampus induk KPJUC berdasarkan perkembangan kawasan ini sebagai hub atau pusat pendidikan di Malaysia.

Kawasan ini juga menempatkan pusat pengajian lain seperti Institut Aminuddin Baki, USIM, INTI dan Universiti Antarabangsa Manipal.

KPJUC menyediakan prasarana dan kemudahan pembelajaran kondusif dan selamat akademik seperti bilik kuliah dan auditorium berhawa dingin, pusat sumber dan kemudahan internet. Pelajar berpeluang menjalani amali di makmal serba lengkap.

Kemudahan asrama dan kantin juga turut disediakan untuk keselesaan pelajar. Program ini melaksanakan pengajaran melalui kuliah, amali, tutoran dan kerja khusus dan ia berdasarkan sistem mentor.



Keputusan SPM 2013 terbaik dlm tempoh 5 tahun

Friday, March 21, 2014 0 Komen

Keputusan SPM 2013 terbaik dlm tempoh 5 tahun

Pencapaian keseluruhan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 merupakan yang terbaik dalam tempoh lima tahun berdasarkan indeks nilai Gred Purata Nasional (GPN).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, nilai GPN pada tahun ini ialah 4.93 mata berbanding 5.34 mata pada 2009.

Beliau berkata, jumlah yang memperoleh semua gred A (Cemerlang) juga menunjukkan peningkatan iaitu seramai 13,970 calon dengan 11,892 daripadanya merupakan calon sekolah kerajaan manakala 2,078 calon pula sekolah persendirian.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, seramai 405 calon berjaya mendapat gred A+ (Cemerlang Tertinggi) bagi semua mata pelajaran yang diduduki.

"Jumlah yang memperoleh semua gred A lebih baik berbanding pada 2012 iaitu sebanyak 13,720 dengan peningkatan 0.05 peratus.

"Pada tahun ini, seramai 442,588 calon menduduki SPM berbanding 441,542 pada 2012 dengan penurunan sebanyak 1,046 calon," katanya ketika mengumumkan analisis keputusan SPM 2013 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Khair berkata, dalam SPM 2013, mata pelajaran Sejarah dijadikan sebagai wajib lulus sebagaimana Bahasa Melayu bagi melayakkan calon mendapat sijil.

Berikutan itu, sejumlah 378,490 calon layak mendapat sijil berbanding 402,859 pada tahun sebelumnya dengan penurunan sebanyak 24,369 calon.

Walau bagaimanapun, katanya, penurunan jumlah calon layak mendapat sijil bukan hanya disebabkan mata pelajaran Sejarah sebaliknya berdasarkan keseluruhan prestasi semua mata pelajaran mengikut nilai Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP).

"Berdasarkan GPMP, prestasi 61 mata pelajaran meningkat manakala 46 mata pelajaran menurun dan hanya satu subjek kekal prestasinya berbanding 2012.

"Walau bagaimanapun kesemua subjek teras meningkat kecuali Matematik yang menurun dengan 4.99 mata berbanding 4.91 mata tahun lalu," katanya.

Mengulas lanjut, Khair berkata, peningkatan calon luar bandar lebih tinggi berbanding pencapaian calon bandar sekali gus jurang pencapaian antara kedua-dua kawasan itu mengecil sebanyak 0.01 peratus mengikut nilai GPN.

Tambah Khir, SPM 2013 juga menyaksikan lapan calon berkeperluan khas mendapat sekurang-kurangnya gred A- (Cemerlang) membuktikan semua calon tanpa mengira kekurangan mereka berpeluang untuk cemerlang dalam peperiksaan SPM.

"Kementerian menggunakan khidmat pakar pentaksiran luar negara yang terlibat dalam SPM 2013 antaranya Cambrige International Examinations (CIE), United Kingdom bagi memastikan peperiksaan yang dikendalikan kami mendapat pengiktirafan antarabangsa.

"Pakar pentaksiran terlibat berpuas hati dengan proses pembinaan instrumen pentaksiran, pemeriksaan skrip jawapan calon dan penentuan standard yang telah dilaksanakan secara profesional dan memiliki kredibiliti tinggi.

"Kesemua proses tersebut menepati ciri-ciri piawaian pentaksiran pendidikan bagi memastikan kesahihan dan kebolehpercayaan keputusan peperiksaan adalah tinggi," katanya.

~utusan

Keputusan STPM 2013: 53,422 lulus peperiksaan

Wednesday, March 19, 2014 0 Komen

STPM 2013: 53,422 lulus peperiksaan

Sejumlah 53,422 atau 96.75 peratus calon lulus penuh satu hingga lima mata pelajaran dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2013 berbanding 47,910 (92.67 peratus) pada tahun sebelumnya.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) Profesor Datuk Dr Mohd Noh Dalimin berkata daripada jumlah itu, sebanyak 1,898 (3.44 peratus) calon lulus penuh lima mata pelajaran; 9,717 (17.60 peratus) calon lulus penuh tiga mata pelajaran; 5,234 (9.48 peratus) calon lulus dua mata pelajaran dan 3,810 (6.90 peratus) calon lulus penuh satu mata pelajaran.

"Calon yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran meningkat sebanyak 10,155 calon daripada 24,506 (47.40 peratus) calon pada 2012 kepada 34,661 (62.78 peratus) calon pada 2013," katanya ketika mengumumkan keputusan STPM 2013 hari ini.

Naib Canselor Universiti Tun Hussein Onn Malaysia itu berkata prestasi calon STPM 2013 pada umumnya lebih baik berbanding tahun lepas meskipun menggunakan format berbeza mengikut sistem pentaksiran baharu yang turut dibincang bersama wakil dari Cambridge Assesment, United Kingdom.

Beliau berkata Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) Negara pada tahun ini, yang dihitung berdasarkan nilai gred mata pelajaran bagi empat mata pelajaran terbaik termasuk Pengajian Am, juga meningkat kepada 2.55 daripada 2.24 pada STPM 2012.

"Sebanyak 492 (0.89 peratus) calon mendapat PNGK 4.00 berbanding 442 (0.86 peratus) calon pada tahun 2012, iaitu peningkatan sebanyak 50 calon di mana 273 daripadanya adalah calon aliran sastera dan 219 calon daripada aliran sains," katanya.

Mohd Noh berkata jumlah calon yang mendapat Gred A dalam semua mata pelajaran yang diambil pada STPM 2013 meningkat kepada 497 calon berbanding 450 calon tahun lepas, bagaimanapun, calon yang berjaya memperoleh 5A dalam semua mata pelajaran ialah lapan berbanding 18 pada tahun sebelumnya.

Peningkatan juga berlaku dalam jumlah calon sekolah kerajaan yang mendapat lulus penuh dalam lima dan empat mata pelajaran iaitu daripada 23,698 (49.65 peratus) pada tahun 2012 kepada 34,318 (63.21 peratus) calon pada 2013.

Daripada 23 mata pelajaran yang ditawar, prestari 10 mata pelajaran meningkat melebihi 10 peratus berbanding STPM 2012 iaitu Kesusasteraan Melayu Komunikatif (19.87 peratus), Usuluddin (18.53 peratus), Sains Sukan (17.45 peratus), Pengajian Perniagaan (16.87 peratus), Bahasa Arab (16.89 peratus), Sejarah (15.69 peratus), Matematik (M) (15.27 peratus), Perakaunan (13.32 peratus), Syariah (12.36 peratus) dan Bahasa Melayu (12.04 peratus).

Sementara itu, prestasi dua mata pelajaran dianggap tidak berubah di mana Literature in English mencatat +1.04 peratus dan Physics sebanyak -0.59 peratus berbanding STPM 2012, iaitu perbezaan antara -2.00 peratus dan 2.00 peratus.

Hanya satu mata pelajaran turun prestasinya iaitu Matemetik Lanjutan yang mendapat peratusan -28.57 peratus di mana calon yang hadir menduduki peperiksaan hanyalah tujuh daripada 11 orang yang mendaftar.

Selain itu, Mohd Noh berkata jurang prestasi calon bandar dan luar bandar masih ketara di mana prestasi calon bandar jauh lebih baik daripada luar bandar.

"Bilangan calon bandar yang mendapat 5A, 4A dan 3A adalah sebanyak 1,189 (12.02 peratus) berbanding hanya 156 (1.58 peratus) calon luar bandar. 

"Calon aliran sains yang mendapat 5A, 4A dan 3A pula adalah sebanyak 473 (17.23 peratus) berbanding 14 (0.51 peratus) luar bandar manakala calon bandar aliran sastera yang mendapat keputusan sama adalah sebanyak 716 (10.02 peratus) calon berbanding hanya 142 (1.99 peratus) calon luar bandar," katanya.

STPM 2013 menyaksikan daripada 58,402 calon mendaftar, sejumlah 55,214 calon (94.54 peratus) hadir menduduki peperiksaan berbanding 51,697 (94.61 peratus) calon yang hadir pada tahun 2012.

Mengulas keputusan prestasi 72,101 calon Ujian Bahasa Inggeris Universiti Malaysia (MUET) sesi November 2013 yang dikeluarkan pada 8 Januari 2014 pula menyaksikan sebanyak 33.15 peratus calon mendapat Band 3 atau lebih baik berbanding 28.52 peratus pada MUET sesi Julai 2013.

Di SEREMBAN, sejumlah 20 pelajar cemerlang iaitu 1.14 peratus calon di Negeri Sembilan memperoleh PNGK 4.00 dalam STPM 2013.

Pengarah Pendidikan negeri Datuk Kalsom Khalid berkata mereka terdiri daripada lima orang calon jurusan sains manakala selebihnya (15) orang calon jurusan sastera.

Di KUALA TERENGGANU, sejumlah tujuh daripada 3,002 calon di Terengganu memperoleh keputusan empat prinsipal dalam semua mata pelajaran yang diambil.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri Hashim Mohd Zin berkata secara keseluruhan, pencapaian STPM 2013 merupakan keputusan yang cemerlang berbanding pada 2012.

"Dari segi lulus penuh empat mata pelajaran juga turut meningkat sebanyak 17.07 peratus berbanding tahun lepas apabila sejumlah 1,757 calon lulus penuh empat mata pelajaran berbanding tahun lepas hanya 1,236 menjadikan peratus lulus empat mata pelajaran tahun ini sebanyak 58.53 peratus," katanya kepada pemberita di sini.

Di MELAKA, Pengarah Pendidikan negeri Md Rashid Hussin berkata sejumlah 940 calon atau 61.56 peratus memperoleh keputusan empat prinsipal, menyaksikan peningkatan sebanyak 9.5 peratus berbanding 52.06 peratus pada 2012.

Beliau berkata 1,505 calon mencatat keputusan lulus penuh tahun lepas berbanding 1,198 orang pada 2012, meningkat sebanyak 1.87 peratus.

Di KUANTAN, Pengarah Pendidikan Pahang, Rosdi Ismail berkata sejumlah 2,893 calon atau 97.97 peratus memperoleh kelulusan penuh iaitu mendapat sekurang-kurangnya satu mata pelajaran lulus penuh.

Di PULAU PINANG, sejumlah 61 daripada 3,208 calon STPM memperoleh keputusan cemerlang PNGK 4.0.

Pengarah Pelajaran Pulau Pinang Datuk Ahmad Tarmizi Kamaruddin berkata pencapaian itu merupakan peningkatan sebanyak 0.06 peratus berbanding tahun sebelumnya, yang menyaksikan 42 calon memperoleh PNGK 4.0.

"Sebanyak 14 sekolah di negeri ini berjaya mencapai kelulusan 100 peratus selepas semua pelajar yang mengambil STPM memperoleh keputusan lulus dalam semua subjek," katanya dalam sidang akhbar berhubung keputusan STPM 2013 hari ini.

Di KOTA BAHARU, sebanyak 23 sekolah mencatat kelulusan 100 peratus dengan 15 calon dipilih sebagai pelajar terbaik STPM 2013 berbanding hanya empat pada 2012.

Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri Hussain Awang berkata pelajar terbabit memperoleh A dalam semua mata pelajaran yang diambil selain mencatat PNGK 4.0.

Di IPOH, sejumlah 69 daripada 5,276 calon memperoleh A dalam semua mata pelajaran yang diambil selain mencatat PNGK 4.0.

Pemangku Pengarah Pelajaran negeri Mohd Idris Mohd Ramli berkata pencapaian itu menyaksikan peningkatan sebanyak 0.09 peratus berbanding tahun sebelumnya dengan 51 calon.

Di JOHOR BAHARU, Timbalan Pengarah Pendidikan Johor Hasidin Zaini berkata sejumlah 70 calon di negeri itu memperoleh PNGK 4.00 dalam peperiksaan STPM 2013 iaitu 38 calon aliran sains dan 32 calon aliran sastera.

Di KANGAR, Pengarah Pendidikan negeri Dun Kasa berkata pencapaian peperiksaan STPM 2013 di Perlis meningkat berbanding tahun 2012.

Beliau berkata dari segi peratusan, Perlis mencatat 96.71 peratus atau 618 calon lulus sekurang-kurangnya satu Prinsipal iaitu peningkatan 0.89 peratus berbanding 95.82 peratus pada tahun sebelumnya.

Di ALOR SETAR, peratus calon yang lulus penuh ialah sebanyak 98.22 peratus atau 3,983 calon berbanding 3,431 calon atau 93.79 peratus pada 2012.

Pengarah Pelajaran negeri Datuk Mansor Lat berkata sebanyak 33 sekolah mencapai keputusan 100 peratus lulus penuh termasuk 17 dalam kategori luar bandar.

Di KUCHING, Sejumlah 39 daripada 6,142 calon sekolah kerajaan di Sarawak memperoleh keputusan cemerlang PNGK 4.0, menyaksikan peningkatan berbanding 20 orang pada 2012.

Pengarah Pendidikan negeri Datuk Abdillah Adam berkata sejumlah 1,360 calon memperoleh PNGK 3.00 ke atas berbanding 981 orang pada 2012.

Di SABAH, sebanyak 35 sekolah mencapai kelulusan 100 peratus dengan 15 pelajar memperoleh PNGK 4.00.

Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Jame Alip berkata 7,213 daripada 7,515 calon yang menduduki STPM 2013 (atau 95.98 peratus) memperoleh kelulusan penuh berbanding 89.44 peratus pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, di LABUAN, keputusan STPM 2013 menunjukkan peningkatan 10.73 peratus dengan 96.64 peratus pelajar lulus penuh berbanding 85.71 peratus pada tahun sebelumnya.

Pengarah Pendidikan Labuan Mistirine Radin berkata daripada 119 calon yang menduduki peperiksaan itu, sejumlah 115 orang lulus penuh berbanding 84 pelajar yang direkod pada 2012.

Sementara itu, di SELANGOR, Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Mahmud Karim berkata sebanyak 96.53 peratus daripada sejumlah 5,749 calon memperoleh kelulusan penuh bagi semua mata pelajaran yang diambil dalam peperiksaan STPM tahun lepas.

Beliau berkata keputusan itu meningkat 1.68 peratus daripada 94.85 peratus pada 2012 dengan 99 calon mendapat keputusan cemerlang lima Prinsipal.

"Bagi keputusan STPM kali ini, seorang calon memperoleh keputusan cemerlang semua A bagi lima mata pelajaran manakala 59 calon pula mendapat semua A bagi empat mata pelajaran dengan Purata Nilai Gred Keseluruhan 4.0," katanya kepada Bernama hari ini.

Mahmud berkata gred purata negeri bagi keputusan STPM kali ini juga meningkat kepada 2.52 mata berbanding 2.35 pada 2012.

Katanya, lima sekolah yang dinobat sekolah terbaik STPM 2013 ialah Kolej Islam Sultan Alam Shah; Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) Katolik, Petaling Jaya; SMJK Yoke Kuan, Sekinchan; SMK Kepong dan SMK Batu 8, Puchong. - Bernama

Pelajar mangsa buli siber

Wednesday, February 26, 2014 0 Komen

Pelajar mangsa buli siber

Sikap keterbukaan pengguna laman sosial yang berkongsi kata laluan antara faktor menyebabkan peningkatan jumlah pelajar sekolah menjadi mangsa buli siber.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Diah berkata, berdasarkan kajian oleh CyberSecurity Malaysia, Kementerian Pendidikan dan DiGi Telecommunications Sdn Bhd tahun lalu membabitkan 9,651 pelajar dari 459 sekolah rendah dan menengah seluruh negara mendapati 13 peratus atau 1,255 pelajar menjadi mangsa buli siber.

"Selain itu, 26 peratus atau 2,509 pelajar mengaku pernah menjadi mangsa buli siber yang menunjukkan gejala ini semakin meningkat dan serius. Situasi itu disokong dengan bertambahnya insiden keselamatan siber yang dilaporkan oleh pengguna Internet melalui Pusat Bantuan Cyber999.

"Pada 2012 sebanyak 250 kes buli siber dilaporkan namun jumlah itu meningkat sebanyak 55.6 peratus pada 2013 dengan 389 kes. Rata-ratanya masalah ini disebabkan sikap mangsa yang terlalu terbuka terutamanya membabitkan penggunaan laman sosial dengan berkongsi kata laluan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Safer Internet Day 2014 dan Pelancaran Buku Panduan Keselamatan Siber di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Tanjong, Tanjong Kling dekat sini, kelmarin.

Turut hadir, Pengerusi CyberSecurity Malaysia Tan Sri Jeneral (B) Mohd Azumi Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutifnya Dr Amirudin Abdul Wahab.

Abu Bakar berkata, disebabkan peningkatan kes itu, pihak CyberSecurity Malaysia mengambil langkah proaktif bagi melaksanakan kempen membanteras gejala buli siber dalam kalangan pelajar.

"Pada tahun ini, mereka menyasarkan lebih 20,000 pelajar di seluruh negara akan menyertai kempen ini yang mana mampu membantu memberi kesedaran kepada mereka supaya tidak menjadi pembuli siber atau mendedahkan diri kepada ruang untuk menjadi mangsa buli siber.

"Saya berharap dengan kempen dan program dilakukan ini akan membantu orang ramai supaya lebih berhati-hati kerana disebabkan kecuaian mereka itu secara tidak langsung mengakibatkan individu tidak bertanggungjawab menyalahgunakan maklumat diketahui bagi menjatuhkan maruah mangsa dan sebagainya," katanya ~HM

Prof Dr Sahol Hamid dilantik semula Naib Canselor UiTM

Thursday, January 02, 2014 0 Komen

Prof Dr Sahol Hamid dilantik semula Naib Canselor UiTM

Kementerian Pendidikan Malaysia hari ini mengumumkan pelantikan semula Tan Sri Prof Dr Sahol Hamid Abu Bakar sebagai Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa pada 1 Januari 2014 hingga 31 Disember 2015.

Dalam satu kenyataan hari ini, pelantikan semula Dr Sahol Hamid adalah berdasarkan kepada kriteria yang ditetapkan kementerian di samping memastikan kesinambungan pelan pembangunan UiTM berjalan lancar.

 "Kementerian Pendidikan berharap agar pelantikan semula ini dapat membantu UiTM untuk menghasilkan graduan Bumiputera yang berkualiti tinggi dan mampu menyumbang kepada pembangunan masyarakat dan negara.

"Di samping itu, kementerian juga berharap agar pencapaian UiTM dapat dipertingkatkan menerusi pemantapan barisan kepimpinan dan organisasi, kualiti staf akademik, kualiti pembelajaran dan pengajaran dan pembangunan aplikasi sains dan teknologi," kata kenyataan itu kepada Bernama.

MRSM sedia 2,415 tempat bagi lulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013

Tuesday, December 24, 2013 0 Komen

MARA menyediakan 2,415 tempat bagi lulusan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2013 memasuki Tingkatan Empat di 46 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) seluruh negara, tahun depan.

Menurut satu kenyataan dikeluarkan MARA, keutamaan diberikan kepada calon daripada keluarga berpendapatan rendah dan memperoleh keputusan cemerlang PMR 2013.

"Calon juga perlu memenuhi syarat kelayakan ditetapkan iaitu 6A 2B bagi Semenanjung serta 5A 3B untuk Sabah dan Sarawak dengan A dalam Matematik dan Sains. Hanya permohonan yang memenuhi syarat kelayakan saja akan dipertimbangkan.

Semak keputusan

Menurut kenyataan itu, permohonan bagi calon Semenanjung sudah ditutup, manakala tarikh akhir bagi permohonan secara online bagi calon di Sabah dan Sarawak ialah pada 6 Januari 2014 dan penghantaran cetakan borang dan dokumen pula pada 10 Januari 2014.

Borang dan dokumen lengkap yang dicetak perlu dihantar ke alamat, Permohonan Ke Tingkatan 4, Pengarah, Bahagian Pendidikan Menengah, Tingkat 19, Ibu Pejabat MARA, 21 Jalan Raja Laut, 50609 Kuala Lumpur.

Calon yang memohon boleh menyemak keputusan permohonan masing-masing menerusi laman web www.mara.gov.my pada 21 Januari 2014.

Aplikasi e-rayuan

Semakan boleh dibuat dengan memasukkan nombor kad pengenalan masing-masing dan calon yang berjaya dijangka mendaftarkan diri di MRSM ditetapkan pada 10 Februari 2014.

Bagi calon gagal mendapat tempat pada pengambilan pertama, mereka boleh mengemukakan rayuan menerusi aplikasi e-rayuan untuk dipertimbangkan sekiranya terdapat kekosongan selepas pendaftaran.

Semua MRSM yang menerima kemasukan Tingkatan Empat kecuali MRSM Pasir Tumboh dan MRSM Gerik menawarkan jurusan sains tulen sebagai jurusan utama.

Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia- Jepun (MJIIT) bawa ilmu dari teknologi Jepun

Friday, November 29, 2013 0 Komen

Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia- Jepun (MJIIT) bawa ilmu dari teknologi Jepun

Ditubuhkan sejak 2010 dengan matlamat untuk menyediakan pendidikan kejuruteraan Jepun di Malaysia yang berpatutan dan mudah Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia- Jepun (MJIIT) terus mengorak langkah untuk menjadi hab penyelidikan dan pembangunan terunggul. Ikuti perkembangan terkini mengenai MJIIT bersama Dekan, Prof Ir Megat Johari Megat Mohd Noor yang dikongsikan kepada wartawan, Khairunnisa Kamarudin.

S: Berapakah jumlah pelajar yang terdapat di MJIIT?

J: Sehingga kini, kira-kira 550 pelajar sedang mengikuti pengajian di MJIIT iaitu 200 program Doktor Falsafah (PhD) manakala baki 300 pelajar lagi mengikuti program ijazah sarjana muda dalam pelbagai pengkhususan. Daripada keseluruhan jumlah pelajar, kira-kira 25 peratus ialah pelajar luar negara manakala selebihnya pelajar tempatan. Namun begitu jumlah pelajar antarabangsa akan ditingkatkan lagi bagi mencapai sasaran 40 peratus kemasukan pelajar luar negara pada tahun akan datang. Kewujudan MJIIT cukup signifikan kerana menjadi lambang pengukuhan kerjasama pendidikan tinggi kerajaan Jepun dan Malaysia dalam usaha melahirkan lebih ramai graduan berkemahiran dalam bidang teknologi, selain menonjolkan Malaysia sebagai pusat pembelajaran teknikal dan pembangunan kejuruteraan terkemuka di rantau ini.

S: Keunikan MJIIT terletak kepada teknologi Jepun serta tenaga pengajar dari negara, adakah konsep pembelajarannya mempunyai perbezaan ketara dengan kursus kejuruteraan sedia ada di Universiti Teknologi Malaysia (UTM)?

J: Pembelajaran (P&P) di MJIIT tidak banyak perbezaannya tetapi pengisiannya memberi nilai tambah kepada pelajar tempatan kerana mereka mendapat pendedahan dan tunjuk ajar daripada tenaga pengajar atau pensyarah berpengalaman dari Jepun selain penerapan budaya kerja masyarakat negara matahari terbit itu.

Mereka juga berpeluang menjalani latihan praktikal sama ada penyelidikan makmal ataupun bekerja dengan industri di Jepun bagi memberi lebih banyak pendedahan mengenai pembangunan teknologi yang maju dari Jepun selain mempelajari budaya dan bahasa Jepun.

Proses P&P menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantara tetapi menggunakan sistem pembelajaran Jepun yang diguna pakai di universiti di sana. Setakat ini, MJIIT bekerjasama dengan 25 universiti terkemuka Jepun dan lima agensi kerajaan dan industri Jepun bagi menyediakan peluang kerjaya kepada pelajar.

S: Memandangkan MJIIT menyasarkan kemasukan 40 peratus pelajar luar negara bagi tahun akan datang, apakah usaha yang akan dilakukan untuk menca pai sasaran itu?

J: MJIIT akan menyediakan kemudahan pembiayaan kewangan menerusi pemberian biasiswa kepada 20 pelajar luar negara yang berminat mengikuti program di MJIIT bermula tahun depan. Kemudahan diberikan kepada pelajar yang layak bagi mengikuti program peringkat prasiswazah dan pascasiswazah.

Rangkaian kerjasama akademik pada peringkat antarabangsa turut diatur menerusi cadangan penawaran program ijazah berkembar dengan universiti Jepun seperti Shibaura Institute of Technology, Yamaguchi University, Osaka University dan Nagoya Institute of Technology.

S: Jelaskan sedikit mengenai peruntukan yang diberikan kerajaan sebanyak RM58 juta bagi pembinaan makmal baharu serta tujuan mengadakan majlis makan malam gala MJIIT baru-baru ini.

J: Peruntukan berkenaan akan dimanfaatkan bagi membina makmal kejuruteraan kimia dan alam sekitar bagi tujuan pembelajaran dan penyelidikan di MJIIT. Penyediaan pembangunan infrastruktur dan kemudahan itu penting bagi menyokong proses P&P dan memantapkan aktiviti penyelidikan yang turut menjadi keutamaan di MJIIT.

Penganjuran majlis makan malam gala yang diadakan baru-baru ini pula adalah sebagai tanda penghargaan kepada organisasi yang banyak memberikan kerjasama dan menyumbang kepada MJIIT selain mewujudkan rangkaian atau landasan perniagaan antara industri tempatan dan Jepun.

Majlis juga bermatlamat mengumpul dana bagi mengisi Tabung Biasiswa MJIIT dan saya dimaklumkan sebanyak RM300,000 berjaya dikumpulkan menerusi aktiviti penjualan meja makan malam.

Memandangkan masyarakat Jepun tidak begitu biasa dengan amalan penjualan meja, aktiviti seumpama ini akan diteruskan pada masa akan datang bagi memberi mereka pendedahan mengenainya.

S: Apakah kualiti yang diperlukan untuk calon yang berminat meneruskan pengajian di MJIIT?

J: Selain mendapat keputusan yang baik dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan memenuhi kriteria ditetapkan institusi, calon juga perlu menanam sikap terbuka untuk mencari peluang kerjaya di luar negara dan berani bersaing pada peringkat global.

Ketika ini, pelajar tempatan yang mengikuti program di MJIIT cukup bernasib baik kerana kebanyakan daripada mereka berjaya memperoleh mendapat biasiswa dan kelebihan itu seharusnya dimanfaatkan sebaik mungkin sejajar matlamat untuk melahirkan pemimpin daripada kalangan jurutera.

~ BH

Sains bantu majukan negara, potensi kerjaya

Thursday, November 21, 2013 0 Komen

Sains bantu majukan negara

Sains adalah bidang penting bagi membentuk masyarakat yang progresif, di samping memberi peluang kepada graduan berkerjaya mempelajari ilmu ini kerana dunianya sangat luas.

BIOLOGI

Walaupun kerjaya dalam bidang biologi menjanjikan kepuasan, namun peluang pekerjaan ditawarkan adalah terhad. Anda perlu mempunyai minat tinggi sekiranya ingin membina kerjaya dalam bidang ini. Terdapat pelbagai peluang pekerjaan boleh dipilih jika ingin melanjutkan pengajian secara mendalam.

Inisiatif Bioekonomi Malaysia telah membuat perjanjian untuk bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (SEDIA). Kerjasama ini bertujuan mewujudkan peluang yang menyokong kerajaan sebagai negara yang kaya dengan sumber pertanian dan biodiversiti.

Bioekonomi di Malaysia berada pada kedudukan memberangsangkan hasil kerjasama IBM dalam sektor ekonomi dan semua industri yang menggunakan sumber biologi termasuk pertanian, perhutanan, perikanan, pemakanan, kesihatan, bahan kimia dan sumber tenaga yang diperbaharui.

Potensi Kerjaya - Huraian Kerja

Sains Biologi - Mengkaji tentang struktur dan fungsi organisma hidup serta bagaimana ia berkaitan dengan persekitaran. Mereka tertumpu kepada bidang khusus seperti kajian mengenai tumbuhan, haiwan, mikroorganisma dan persekitaran.

Ahli Pertanian dan Saintis Makanan - Memastikan bekalan rantai makanan adalah sentiasa berkualiti dan selamat. Membuat kajian mengenai tumbuhan dan haiwan bagi memperbaiki kualiti dan kuantiti hidupan tersebut. Bekerja dengan sektor kerajaan dalam bidang pertanian, bekerja dalam bidang pengajian sebagai pensyarah atau bekerja dalam sektor swasta.

Ahli Biokimia/ Biofizik - Mengkaji tentang proses biologi seperti pembentukan sel, pertumbuhan sel dan baka.

JULAT GAJI

Taraf Jawatan - Min (RM)* - Maksimum (RM)*

Eksekutif Senior - 2,600 - 4,000

Eksekutif Junior - 1,800 - 2,400

Lepasan Ijazah - 1,600 - 2,100

FIZIK

Bagi lepasan ijazah dalam bidang Fizik, mereka berpeluang bekerja di industri elektronik, agensi penyelidikan dan pembangunan, astronomi, astrofizik, geofizik, fizik perubatan, akademi dan industri kejuruteraan (mekanikal dan aeroangkasa). Peluang pekerjaan bagi lepasan ijazah dalam jurusan Fizik di Malaysia lebih tertumpu kepada industri kejuruteraan kerana ia sebuah industri yang mempunyai kedudukan ekonomi kukuh. Namun, peluang pekerjaan dalam jurusan lain seperti astronomi masih lagi terhad.

JADUAL GAJI

Berdasarkan PayScale, purata gaji tahunan negara bagi jurutera proses (semikonduktor) dan pekerjaan dalam bidang semikonduktor di Malaysia adalah antara RM29,590 dan RM79,713.

Potensi Kerjaya - Huraian Kerja
Ahi Fizik - Mengkaji sifat alam semesta daripada sebesar-besar angkasa sehingga sekecil-kecil zarah; membangunkan teknologi, kaedah dan teori baru berdasarkan keputusan penyelidikan yang menyumbang kepada permintaan dunia sebenar.

Ahli Biofizik - Mengkaji tentang proses biologi dalam penghasilan, pertumbuhan dan baka sel.

KIMIA

Dalam menghasilkan produk seperti plastik, poliester, telefon dan produk-produk yang lain, kepakaran seorang ahli kimia amat diperlukan. Di Malaysia, anda boleh bekerja di beberapa buah syarikat seperti Petronas, Tenaga Nasional Berhad, Duracell, Goodrich, Saint Gobain, AbioMed, Kodak, Proton, Intel dan Coca-Cola. Bidang ini memerlukan jurutera yang pakar dalam penyelidikan tenaga atau bidang baru seperti nanoteknologi dan bioteknologi pada masa kini.

Potensi Kerjaya - Huraian Kerja

Saintis Bahan - Mengkaji tentang struktur, komposisi, reaksi dan ciri-ciri bagi sesuatu bahan. Mereka membangunkan dan menambah baik produk baru dan sedia ada.

Ahli Biokimia/ Biofizik - Mengkaji tentang proses biologi seperti perkembangan, pertumbuhan dan sel-sel baka dalam hidupan.

Pengurus Sains SemulaJadi - Menyelia kerja-kerja saintis termasuklah ahli kimia, fizik dan biologi; melakukan penyelidikan dan pembangunan projekprojek termasuklah melakukan ujian, pengawalan kualiti dan pengeluaran

GEOLOGI

Ahli geologi berperanan membuat ramalan tindak balas bumi terutamanya melibatkan bencana alam sangat tinggi nilainya. Ini kerana ahli geologi perlu menguasai beberapa bahasa lain dan tugas mereka tidak tertumpu dalam negara semata-mata. Setelah tamat pengajian, ahli geologi boleh menyertai syarikat sumber asli atau perunding alam sekitar, agensi kerajaan dan sebagainya. Malah kerja sambilan juga digalakkan. Ramai memilih bekerja di makmal, bilik darjah mahupun pejabat. Sesetengah daripadanya memilih untuk melanjutkan pengajian dalam pengkhususan tertentu seperti paleontologi, mineralogi atau gunung berapi. Mereka berkelulusan tinggi berkelayakan menjawat jawatan sebagai penyelidik atau penyelia kerana memperoleh pengalaman latihan yang lebih baik.

Di Malaysia, industri minyak dan petroleum menawarkan peluang kerja yang baik untuk para geologi. Di luar negara pula, firma dalam industri ini berjaya meraih lebih RM22.18 bilion dalam peluang perniagaan yang ada di sana seperti industri minyak dan gas, fabrikasi struktur minyak dan gas serta pembinaan kapal dan sokongan pesisir. Petronas dan rakan kongsinya akan mempergiatkan lagi akiviti penerokaan dengan menetapkan sasaran penggerudian sebanyak 50 telaga eksplorasi dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi memenuhi permintaan semasa.

Potensi Kerjaya - Huraian Kerja

Geosaintis - Mengkaji tentang komposisi, struktur dan proses bumi.

Juru Teknik - Geologi dan Petroleum Membantu para saintis dan jurutera meneroka dan mengekstrak sumber alam semulajadi seperti mineral, minyak dan gas asli.

Juru Ukur - Pemetaan Membantu juru ukur dan ahli kartografi mengumpul data dan melakar peta permukaan bumi; melawat dan mengambil ukuran tapak lawatan.

Ubah persepsi terhadap subjek Sains Pertanian

Thursday, November 21, 2013 0 Komen

Mata pelajaran Sains Pertanian yang ditawarkan kepada murid tingkatan empat sewajarnya tidak dipandang sebagai subjek pilihan kepada pelajar yang kurang pandai sebaliknya perlu dipertingkatkan sebagai subjek yang mempunyai masa depan.

Ketua Kluster Pendidikan dan Pembangunan Modal Insan, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Datuk Dr Zakaria Kasa, berkata misi utama subjek itu diperkenalkan ialah untuk menyemai minat pelajar dalam bidang pertanian sejak di bangku sekolah, namun usaha itu sukar kerana wujud persepsi negatif terhadap bidang itu.

"Satu daripada faktornya ialah anggapan salah pihak pengurusan sekolah yang berpendapat subjek itu hanya untuk pelajar kurang pandai kerana hanya memerlukan tenaga untuk bercucuk tanam selain petani dianggap sebagai golongan berpendapatan rendah dan menghadapi kesukaran hidup.

Mirip sains tulen

"Persepsi ini perlu dikikis kerana kandungan mata pelajaran ini mirip kepada subjek Biologi dan sedikit Kimia, Fizik dan Matematik. Hal ini menunjukkan Sains Pertanian ialah subjek Sains dan memerlukan golongan pelajar yang pandai untuk mengikutinya," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu kertas kerja bertajuk Pendidikan Asas Dalam Masyarakat Tani Di Malaysia pada Forum Ikatan Profesor Indonesia-Malaysia (IPIMA) 2013 di Bogor, Indonesia barubaru ini.

Zakaria yang juga Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) berkata, pelaksanaan mata pelajaran ini juga lebih menumpukan soal teori apabila pelajar lebih banyak menghafal fakta daripada menjalani amali di ladang atau aktiviti berkaitan pertanian.

Perlu latihan amali

"Hanya sekolah di luar bandar yang mempunyai sedikit kawasan melakukan amali dengan mengusahakan tanaman dan ternakan sedangkan pembelajaran melalui pengalaman membolehkan mereka memahami hubung kait antara tanaman, serangga dan penyakit," katanya.

Pada masa sama, beliau turut menegaskan ketiadaan kejayaan aktiviti pertanian yang diusahakan pihak sekolah untuk dijadikan contoh kepada pelajar menjadi antara faktor subjek Sains Pertanian tidak mendapat sambutan di sekolah.

Namun katanya, penawaran kursus pertanian di Kolej Vokasional Pertanian dan institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sedikit sebanyak membantu usaha melahirkan graduan pertanian yang diperlukan negara.

~ bh

Tabung Sumbangan Wang Awam Sekolah (TSUWA) bukan cari untung

Thursday, November 21, 2013 0 Komen

Tabung Sumbangan Wang Awam Sekolah (TSUWA) ditubuhkan khusus untuk pembelajaran dan pengajaran pelajar, bukan bertujuan mencari keuntungan, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, matlamat penubuhan tabung itu amat jelas seperti ditetapkan Kementerian Pendidikan iaitu semata-mata bagi amanah pendidikan dan bukan untuk mencari keuntungan selaras peruntukan perenggan 44(7)(aa) Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

"Selaras dengan fokus kerajaan untuk meringankan perbelanjaan, menambahbaik kemudahan sekolah yang tidak berorientasikan keuntungan, peruntukan ACP 1967 dipinda untuk melayakkan TSUWA mendapat kelulusan di bawah sub seksyen 44(6) ACP 1967.

"Sekolah yang layak memohon mestilah berdaftar dengan Kementerian Pendidikan atau Majlis Agama Islam Negeri atau Jabatan Agama Islam Negeri," katanya dalam jawapan bertulis kepada Datuk Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam), semalam.

Kelulusan ikut program

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata, kelulusan hanya diberi berdasarkan sesuatu program yang diluluskan oleh Bahagian Perancangan dan Penyelidikan Dasar Pendidikan.

"Dalam Bajet 2012, kerajaan mengumumkan institusi pendidikan rendah dan menengah berdaftar termasuk sekolah kebangsaan, sekolah jenis kebangsaan, sekolah misionari dan sekolah agama menerima sumbangan kewangan syarikat persendirian atau individu.

"Justeru, bagi menggalakkan orang ramai terus menyumbang kepada sekolah berkenaan sumbangan seumpama itu diberi potongan cukai," katanya.

Ka Siong ingin tahu mengenai jumlah pengecualian cukai terhadap sumbangan orang awam yang dikemukakan Lembaga Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) dan pertubuhan agama serta rumah berhala yang diluluskan.

Katanya, sejak 2012 hingga Oktober lalu, sebanyak enam permohonan masing-masing lima daripada Lembaga Pengelola Sekolah SJKC dan satu daripada SMPC diterima.

"Bagi Tabung Pengurusan Rumah Ibadat (TPRI) pula, sebanyak 64 permohonan diterima dan daripada jumlah itu, 13 permohonan sudah diluluskan," katanya.

Dapat UPSR 5A walau tak hadir penuh ke sekolah

Friday, November 15, 2013 0 Komen

Dapat UPSR 5A walau tak hadir penuh ke sekolah

Walaupun terpaksa 'ponteng' sekolah pada setiap Rabu, namun ia tidak menghalang anak seorang tukang rumah daripada memperoleh keputusan 5A dalam Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diumumkan hari ini.
   
Amir Zuhaidi Razali tidak dapat hadir pada hari tersebut kerana terpaksa menjalani rawatan fisioterapi di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian akibat kemalangan jalan raya yang dialaminya enam tahun lepas.
   
Dia terpaksa menggunakan tongkat setiap kali ke Sekolah Kebangsaan Ketereh di sini dan menduduki UPSR sebagai calon berkeperluan khas.
   
"Saya tidak menyangka mendapat 5A kerana sering tidak menghadiri sesi persekolahan ekoran rawatan saya," katanya ketika ditemui di sekolahnya.
   
Anak keempat dari lapan beradik dari Kampung Hutan Pasir ini menghadiahkan kejayaannya kepada ibu bapanya yang bersusah-payah menghantarnya ke sekolah setiap hari.
   
Bapanya Razali Harun, 44, berkata akibat kemalangan itu anaknya patah kaki kiri dan tercabut bahu kanannya.
   
"Akibat kemalangan itu, Amir Zuhaidi dimasukkan ke hospital selama 10 hari. Setelah sembuh, dia diserang penyakit saraf kaki. Dia terpaksa ponteng sekolah sehari dalam seminggu untuk menjalani rawatan fisioterapi dan terpaksa  menggunakan tongkat untuk memudahkanya berjalan," katanya.
  
Pada masa yang sama Razali berkata sehingga kini bil perubatan anaknya yang berjumlah RM1,500 masih belum mampu dijelaskannya walaupun anaknya mempunyai insurans berkelompok.
   
"Mujur ada bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat sebanyak RM1,800 setahun untuk membiayai kos perubatan dan fisioterapi Amir Zuhaidi ketika ini," katanya. - Bernama

 

ZONFINITI