Nilai keputusan PT3 secara menyeluruh, boleh dijadikan panduan menentukan hala tuju pendidikan

Wednesday, December 24, 2014

Nilai keputusan PT3 secara menyeluruh, boleh dijadikan panduan menentukan hala tuju pendidikan

Para pelajar dan ibu bapa perlu mempertimbangkan keputusan ujian Pentaksiran Tingkatan 3 (PT3) secara menyeluruh supaya pentaksiran tersebut boleh dijadikan panduan dalam menentukan hala tuju pendidikan seterusnya.

Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, keputusan PT3 akan diambil kira bersama Pentaksiran Psikometrik (PPsi), Pentaksiran Aktiviti Jasmani, Sukan dan Kokurikulum (PAJSK) dan Pentaksiran Sekolah (PS) bagi menentukan aliran yang akan diambil oleh pelajar.

Beliau berkata, selepas ini iaitu dengan berdasarkan keputusan PT3, ibu bapa dan pelajar perlu menentukan sama ada mahu melanjutkan pelajaran dalam bidang sastera, sains atau latihan teknikal dan vokasional.

"PT3, PPsi, PAJSK dan PS secara bersama membentuk komponen utama sekolah berasaskan pendekatan penilaian yang membolehkan kita memahami dan menghargai dengan lebih baik potensi dan keperluan anak-anak kita.

"Adalah diharapkan menerusi sistem ini kita akan dapat membentuk pelajar yang bersifat lebih holistik dan mengangkat standard sistem pendidikan kebangsaan," katanya dalam status terbaharu laman sosial Facebook miliknya tengah malam tadi.

Selain itu, Idris turut mengucapkan tahniah kepada semua pelajar yang telah menduduki PT3 dan guru-guru yang telah bekerja keras bagi menjayakan sistem pendidikan yang baharu diperkenalkan itu.

Sebanyak 453,413 calon yang menduduki PT3 di 2,608 pusat peperiksaan seluruh negara pada Oktober lalu menerima keputusan masing-masing semalam.

Tahun ini adalah kali pertama PT3 dilaksanakan selepas Penilaian Menengah Rendah (PMR) yang diperkenalkan pada 1993.
~ Utusan

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI