Alasan AirAsia Indonesia QZ8501 tiada panggilan kecemasan

Tuesday, December 30, 2014

Alasan AirAsia Indonesia QZ8501 tiada panggilan kecemasan

Ramai pakar penerbangan yakin ribut tropika tidak mungkin boleh menyebabkan pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 terhenti secara mendadak hingga menyebabkan ia terhempas.

Menara kawalan udara semalam terputus hubungan dengan pesawat itu selepas juruterbangnya meminta kebenaran menukar laluan bagi mengelakkan cuaca buruk ketika dalam perjalanan dari Surabaya ke Singapura.

Naib Presiden Persatuan Pengurusan Keselamatan Penerbangan Antarabangsa Asia Pasifik Desmond Ross berkata, juruterbang biasanya mempunyai masa untuk memulihkan keadaan jika berlaku perubahan atau pesawat terhenti mendadak.

“Ia (ribut) tidak sepatutnya menyebabkan pesawat terhempas. Biarpun enjin pesawat itu terhenti secara tiba-tiba pada ketinggian 11,582 meter terdapat teknik untuk memulihkannya.

“Ada banyak ruang udara untuk turun sebelum merempuh air atau tanah. Juruterbang mempunyai masa untuk pulih dari keadaan itu,” katanya.

Menurut Ross, cuaca buruk bukanlah faktor tunggal yang boleh menyebabkan sesebuah pesawat hilang.

“Saya tidak rasa kita patut membuat andaian serta-merta bahawa kejadian ini disebabkan oleh cuaca buruk. Realitinya, juruterbang itu tidak sepatutnya berada dalam cuaca buruk seperti itu.

“Kita membuat spekulasi, namun pesawat itu dilengkapi dengan radar cuaca dan ia boleh melihat jauh ke hadapan dan mengetahui di mana sel ribut berada,” katanya.

Ross berkata, juruterbang terbabit boleh menerbangkan pesawat mengelilingi sel ribut itu atau berpatah balik dan mendarat semula di tempat ia berlepas.

“Kapten pesawat itu bertanggungjawab ke atas keselamatan pesawat dalam keadaan terbabit. Pada ketika ini, kita tidak tahu apa yang berlaku.

“Sekiranya ia berkaitan dengan cuaca, banyak lagi perkara selain daripada hanya faktor cuaca. Anda perlu tanya mengapa juruterbang berkenaan berada dalam cuaca itu,” katanya.

Seorang lagi pakar Peter Marosszeky memberitahu ABC News Breakfast, pesawat Airbus A320 yang lebih ringan berbanding pesawat lain akan mengalami kesukaran apabila melalui ribut tropika.

“Saya merasakan pesawat itu mungkin tidak sepatutnya berada dalam kawasan berkenaan pada masa itu,” katanya.

Marosszeky berkata, dia tidak terkejut apabila panggilan kecemasan tidak dilakukan serta-merta kerana juruterbang mengalami kesukaran menerbangkan pesawat dalam cuaca terbabit.

“Saya membayangkan juruterbang sangat sibuk dan dia berusaha mengawal pesawatnya. Hanya ada dua juruterbang di kokpit dan saya mengandaikan kedua-duanya melakukan sedaya upaya bagi memastikan kedudukan pesawat dalam keadaan sepatutnya.

“Ada dua juruterbang dan salah seorangnya berharap panggilan kecemasan dapat dibuat walaupun dalam kecemasan paling sukar. Jika kedua-duanya berusaha keras untuk menyelamatkan pesawat, mereka mungkin tidak ada masa untuk melakukan (panggilan kecemasan),” katanya.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI