2015 tahun terbaik melabur

Tuesday, December 30, 2014

2015 tahun terbaik melabur  
        
Kuala Lumpur: Orang ramai disarankan supaya melakukan lebih banyak pelaburan pada tahun depan kerana pasaran saham dijangka kembali rancak terutama pada separuh kedua tahun didorong faktor domestik dan pelaksanaan pembentangan Bajet 2015 pada Oktober lalu.

Presiden Persatuan Pelabur Strategik Melayu Malaysia (PPSMM), Norizam Tukiman berkata, mereka perlu mengenepikan sentimen yang menyatakan ekonomi dunia akan meleset tahun depan sebaliknya merebut peluang dan melihat potensi yang bakal tercetus berdasarkan penurunan harga saham bagi tahun ini.

“Tahun 2014 menyaksikan kebanyakan saham bermodal rendah dan pertengahan sudah mencatatkan penurunan dan 2015 adalah masa terbaik bagi mereka memulakan pelaburan memandangkan trend penurunan harga minyak dunia pada masa ini,” katanya.

Beliau menyarankan supaya pelabur memberi fokus kepada industri seperti kepenggunaan, barangan pengguna, kesihatan dan teknologi kerana ia dijangka menawarkan prospek keuntungan lebih baik dan stabil.

“Secara keseluruhannya, 2015 adalah tahun terbaik bagi pasaran saham dan orang ramai disarankan supaya membuat pelaburan dalam bidang yang berpotensi untuk memberikan pulangan yang diingini,” katanya.

Ketika diminta mengulas mengenai impak kehilangan pesawat QZ8501 kepada harga saham AirAsia, Norizam berkata situasi itu akan menyumbang kepada penurunan harga saham syarikat itu, namun ia tidak akan berlaku secara mendadak dan ia hanya bersifat sementara memandangkan rekod baik yang dimiliki sebelum ini.

Menurutnya,harga saham dan prestasi syarikat disenarai awam tidak akan begitu terjejas dengan sesuatu peristiwa negatif sekiranya syarikat terbabit memiliki rangkaian pengurusan terbaik, kewangan kukuh dan menawarkan faedah terbaik.

“Penurunan harga saham memang dijangka berlaku, namun ia tidak begitu terkesan kerana AirAsia menikmati keuntungan daripada penurunan harga minyak dunia sebanyak 40 peratus pada sebelum ini. Saya menjangkakan harga saham AirAsia akan berada pada tahap mendatar iaitu pada RM2.50 hingga RM3.00 dalam tempoh 12 bulan akan datang,” katanya.

Harga sesaham AirAsia menurun sebanyak 0.25 mata atau 8.5 peratus kepada RM2.69 pada jam lima petang daripada RM2.94 pada jam lapan pagi semalam manakala AirAsia X mencatatkan penurunan 55 mata atau lapan peratus kepada RM0.63 daripada RM0.68 dalam tempoh masa sama.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI