Pengagihan pendapatan ASN3 6.3 sen seunit

Sunday, November 25, 2012

ASNB umum pengagihan pendapatan ASN3 6.3 sen seunit

AMANAH Saham Nasional Bhd (ASNB) mengumumkan pengagihan pendapatan 6.3 sen seunit bagi Amanah Saham Nasional 3 Imbang (ASN3) untuk tahun kewangan berakhir 30 November 2012.

Ia adalah peningkatan 0.3 sen seunit berbanding enam sen seunit yang dibayar tahun kewangan sebelumnya.

Pengerusi Permodalan Nasional Bhd (PNB), Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata pengagihan pendapatan itu membabitkan pembayaran berjumlah RM8.11 juta yang akan dimanfaatkan 11,652 pelabur yang melanggan 128.81 juta unit dana saham amanah itu.

Beliau berkata, kadar pengagihan pendapatan itu adalah berdaya saing jika dibandingkan dengan instrumen pelaburan lain terutama dalam suasana ekonomi yang masih dalam proses pemulihan ketika ini.

Alami peningkatan
Katanya, meskipun pasaran global mengalami penurunan pada awalnya akibat penurunan penarafan kredit Amerika Syarikat (AS) dan krisis hutang zon euro, indeks utama pasaran saham Asia mengalami peningkatan disokong usaha Bank Pusat Eropah untuk menyelesaikan krisis hutang serta program pengurangan kuantitatif yang dilaksanakan AS yang membantu meningkatkan keyakinan pelabur asing terhadap pasaran saham yang bersifat bertahan.

"Sebagai sebuah tabung imbang, portfolio ASN 3 diimbangkan di antara instrumen pelaburan berpendapatan tetap, ekuiti yang disenaraikan di Bursa Malaysia dan instrumen pelaburan lain. Justeru, pelabur boleh membuat perbandingan jumlah pulangan keseluruhan dan hasil pendapatan ASN3 dengan instrumen pelaburan yang mempunyai tahap risiko yang lebih kurang sama," katanya pada sidang media mengumumkan pengagihan pendapatan itu di Kuala Lumpur, semalam.

Yang turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulannya, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.

Pendapatan kasar RM10.74j

Setakat 19 November 2012, ASN 3 meraih pendapatan kasar RM10.74 juta dengan pendapatan daripada dividen menyumbang RM4.11 juta atau 38.27 peratus manakala keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat sebanyak RM4.09 juta atau 38.08 peratus.

Sebanyak RM2.54 juta atau 23.65 peratus pula diraih daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek dan pendapatan lain.

Pengiraan pengagihan pendapatan itu adalah berdasarkan pegangan unit pada 30 November 2012 yang akan dilaburkan semula dalam bentuk unit secara automatik ke dalam akaun pelabur berdasarkan nilai aset bersih pada hari yang sama. 

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI