Petua Cemerlang - Teknik mengekalkan motivasi diri

Thursday, February 23, 2012

Teknik mengekalkan motivasi diri
Tahap motivasi diri anda menentukan kejayaan atau kegagalan anda. Kebanyakan pelajar berada dalam kategori tidak bermotivasi atau berada pada pusingan roda, ke atas dan ke bawah!

Dalam artikel ini, saya membincangkan teknik mengekalkan motivasi diri, cara melenyapkan kemalasan dan mengurangi pengaruh sekitaran yang memusnahkan motivasi pelajar.

Kemalasan sering menjadi penyebab ketidakcekapan pelajar.

Pernahkah anda mendengar seseorang berkata, ``saya letih. Saya penat. Nanti saya buatlah''.  Dan sebagainya.

Terasa letih atau malas dan anda kerap berhenti di tengah jalan.

Untuk mengekalkan rentak motivasi anda, jangan biarkan kemalasan dan keletihan menghalang kemaraan anda mencapai matlamat.

Keletihan mampu menjadi kebiasaan dan penyebab minda tidak beraksi.

Pada mulanya, apabila anda terasa letih, anda terus sahaja berhenti membaca.

Minda anda pun turut menipu anda.

Apabila anda sepatutnya menyelesaikan kerja sekolah, atau tugasan yang memerlukan pemikiran kreatif, minda anda memicu program keletihan anda, menyebabkan cepat menjadi malas.

Keputusan

Anda lantas mengambil keputusan bahawa sekarang bukan masa yang sesuai untuk belajar.

Keterjagaan dan keletihan berlaku dalam edaran masa 90 minit, sama seperti kelaparan.

Dalam masa hanya 20 minit dari sejam setengah, anda sudah terasa letih.

Tetapi, jika anda terus berada dalam keadaan jaga dan aktif, maka keletihan itu akan berlalu dan anda mengalami kesegaran yang tidak terhingga.

Apabila mengalami keletihan, teruslah belajar dengan mengalihkan penumpuan daripada projek yang kreatif kepada sesuatu yang kurang memerlukan tenaga otak.

Misalnya, jika anda mengarang, berhenti sejenak, kepada mengemas buku untuk jadual hari esok.

Atau, kalau anda letih membaca, berhenti sejenak, alihkan pandangan ke arah luar tingkap, bangun menuju ke tingkap, menyedut udara segar, menarik nafas panjang-panjang dan menghembuskan nafas dalam kiraan 1,2,3,4.

Lakukan tiga empat kali begini.

Jangan lebih daripada lima minit berhenti membaca.

Setelah melakukan gerakan menarik nafas panjang di tepi tingkap, kembalilah ke meja belajar.

Duduk dan buka buku seolah-olah anda baru mendapat buku baru!

Kemudian kembali membaca.

Keletihan

Keletihan ketika membaca dapat juga dihindari dengan menentukan cara duduk yang betul.

Duduk dalam keadaan tegak sewaktu membaca.

Jangan duduk menyandar, membongkok atau menundukkan kepala ke arah muka buku.

Ada beberapa cara lain yang dapat membantu anda mengatasi keletihan ataukemalasan belajar.

Pertama: Minum setengah gelas air bersih (disuling atau dimasak), setiap 15minit sekali. Jangan minum air berais atau bergas.

Dengan mengisikan badan dengan air membolehkan sistem limpa teraktif dan mengeluarkan toksin termasuk asid laktik, yang menjadi penyebab utama anda terasa letih dan mengantuk.

Kedua: Tarik nafas dalam-dalam sebanyak 10 kali. Bernafas dalam kiraan 1,2; tahan hingga dua saat dan hembuskan nafas sehingga kiraan 1,2,3,4.

Lakukan latihan bernafas sewaktu duduk tegak atau berdiri.

Latihan seperti ini akan memaksa tekanan udara anda mengarah ke dinding peparu.

Darah mendapat udara dan memindahkan oksigen ke otak anda, menyebabkan anda terasa jaga.

Ketiga: Lakukan 10 kali gerakan mendepang dan mengecilkan dada atau berlari setempat selama 30 saat.

Tambahkan denyutan hati anda dengan menyempitkan dan melebarkan otot- otot anda.

Keempat: Dongakkan kepala ke arah siling sambil menarik nafas, setiap sepuluh minit.

Lakukan begini semasa duduk membaca atau semasa duduk mendengar guru sedang mengajar. Atau, gerakkan kepala ke kiri dan ke kanan selepas setiap 20 minit duduk mendengar atau membaca.

Kelima: Picu kelenjar adrenal anda.

Ada satu tempat pada tapak tangan anda, yang apabila digosok selama 30 saat, akan mengepam adrenalin ke dalam sistem pergerakan anda.

Gosok tempat ini apabila anda keletihan atau apabila anda terasa pening.

Okay, selamat bermotivasi!

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI