Belasungkawa: WS Rendra seniman malar sepanjang zaman

Sunday, August 09, 2009

WS Rendra
Pemergian WS Rendra ke Rahmatullah pada jam 10.05 malam, kelmarin, di Rumah Sakit Mitra Keluarga Depok, Jawa Barat, Indonesia, akibat sakit jantung disifatkan sebagai kehilangan besar pada dunia kesenimanan bukan saja di Indonesia, tetapi juga Nusantara. Beliau berusia 74 tahun.

Mantan Pensyarah Jabatan Kesusasteraan, Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Fatimah Busu, menyifatkan Rendra sebagai penyair malar zaman Indonesia dan Nusantara yang mampu mengasyikkan peminatnya melalui karya yang asli dan kaya dengan idea baru.

“Rendra adalah pelopor puisi balada. Semua karyanya mengangkat realiti masyarakat marhaen dan kepincangannya.

“Allahyarham tidak mencedok idea orang lain dan ketulenan puisinya terserlah. Tiada hipokrasi dalam karya mahupun hidupnya. Rendra adalah pejuang tulen kelompok marhaen.

“Saya tidak pernah menghafal karya penyair lain seperti saya lakukan pada Rendra, Chairil Anwar serta Amir Hamzah.

“Karyanya bukan saja untuk orang Indonesia, tetapi juga pada peringkat antarabangsa kerana beliau ‘bercakap’ mengenai masyarakat yang didampinginya walau di mana beliau berada,” katanya diminta mengulas pemergian tokoh puisi kontemporari tersohor itu.

Dr Fatimah bertemu dan mewawancara WS Rendra pada 1988 di Taman Ismail Marzuki (Tim), Jakarta, ketika melakukan kajian Persamaan dan Perbezaan dalam Perkembangan Novel Melayu dan Indonesia untuk ijazah doktor falsafahnya (PhD).

Rendra yang hebat dalam puisi dan teater, terlatih di American Academy of dramatical Arts pada 1964 hingga 1967 dan membentuk bengkel teater mandiri di Jogjakarta, sebaik tamat pengajian dan setiap pementasannya dibanjiri ribuan penonton, di samping diawasi dua trak polis.

Empat kumpulan sajak dari 1961 hingga 1978 ialah Ia Sudah Bertualang (1963), Blues untuk Bonnie (1971), Sajak-sajak Sepatu Tua (1972), Potret Pembangunan Dalam Puisi (1980) selain Allahyarham turut menterjemahkan karya asing ke bahasa Indonesia seperti Oidipus Sang Raja karya Sophacles (1976), Oidipus di Kolonus (1976) dan Antigone (1976).

Bagi Dr Fatimah, Rendra adalah pejuang tulen kelompok marhaen dan keberaniannya mengkritik pemerintah yang mengabaikan kelompok proletariat pada zaman pemerintahan Sukarno dan Suharto menyebabkan persembahannya sentiasa diawasi polis negara jiran itu.

Presiden Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Pena), Datuk Baharudin Zainal, ralat dengan pemergiannya itu kerana tidak berkesempatan bertemu WS Rendra, meskipun Allahyarham disenaraikan sebagai penyair dalam senarai jemputan kelompok pemuisi mewakili Indonesia pada Mesyuarat Asean Korea Selatan di Pulau Jeju, pada Jun lalu.

“Allahyarham adalah institusi tersendiri kerana beliau bukan saja penyair yang sangat kreatif, tetapi seniman yang komited kepada masyarakat. Beliau juga pengkritik sosial melalui karya, ceramah dan ucapan di samping menonjol sebagai tokoh intelektual awam,” katanya yang juga dikenali sebagai Baha Zain.

Rendra yang melalui zaman gemilang pada dekad 1970-an, mementaskan Hamlet karya Shakespear dengan imej Jawa di Taman Ismail Marzuki, Jakarta, pada 1972, dilihat Baha Zain sebagai seniman yang bukan saja berkarya, tetapi juga cergas dalam perjuangan masyarakat dalam dunia kebudayaan.

“Allahyarham melalui kehidupan berkesenian sepenuh masa dan bukan bertenggek atas kesenian. Jiwa raga dan fikirannya memperjuangkan kesenian. Beliau bukan sekadar menulis skrip, tetapi juga mengarah dan menghayati kehidupan sebagai seniman tulen,” jelasnya.

Bekas Editor Sastera dan Budaya, Berita Harian, A Rahim Abdullah yang berkenalan dengan Rendra pada dekad 1980-an ketika menguruskan jemputan penyair itu untuk persembahan di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), terkilan kerana belum menyiapkan kajian Pemenang Anugerah Penulisan Sea yang turut membabitkan Allahyarham.

“Saya sudah mengumpul drama, puisi, tesis dan kajian mengenainya, tetapi belum sempat menyelesaikannya. Saya tidak dapat melupakan pengalaman keluar masuk ke bilik persiapan Rendra sebelum beliau mengadakan persembahan. Beliau mengambil masa yang lama untuk bersiap di hadapan cermin sambil membacakan mantera,” ujarnya.

Bekas Pegawai Perancang Bahasa DBP, A Ghani Abdullah, berkesempatan melihat cara Rendra membina bengkel teater mandirinya di Depok ketika melakukan kunjungan pada 1980-an dan meluangkan masa selama seminggu untuk sama-sama menghayati perjuangan penyair dan penggiat teater itu.

“Rendra menggunakan konsep perkampungan apabila pelajarnya turut bercucuk tanam dan memelihara ikan untuk makanan mereka. Saya kagum melihat kehidupan mereka yang sederhana dan menjalani latihan teater pada waktu petang, manakala malam pula diisi dengan kelas teater Rendra atau diskusi dengan tetamu luar negara,” ujarnya.

A Ghani turut berpengalaman mengiringi Rendra melawat ke Malaysia, mendapati Allahyarham sangat mengambil berat mengenai sejarah bangsa dan lokasinya, selain mementingkan kesenian dan perjuangan membela rakyat sehingga ahli politik negara kelahirannya menggeruninya.

“Karya Rendra ada rentak tersendiri melalui pemilihan kata yang menusuk hati dan tidak hairanlah mengapa beliau digeruni ahli politik di negaranya, tetapi dihormati golongan politik di negara kita sehingga pernah dijemput mengadakan persembahan di Kuala Lumpur pada 1993 dan beraksi di pentas bersama-sama sesetengah menteri negara ini,” katanya.

Penyair kelahiran Solo pada 7 November 1935 itu, tidak hanya mendeklamasikan puisi yang menyihirkan di TIM, bahkan puisinya menerobos gedung kekuasaan apabila beliau diberi kesempatan beraksi di hadapan Dewan Perwakilan Rakyat (DBP) pada Mei 1998.

Rendra pernah dipenjarakan pada zaman pemerintahan Sukarno sebanyak tiga kali manakala merengkok dalam penjara sebanyak enam kali pada era Suharto dan dalam dunia teater, WS Rendra menempa namanya lewat naskhah Orang-orang di Tikungan Jalan, Panembahan Reso dan Kasidah Barzani.

Oleh Salbiah Ani dan Nazmi Yaakub

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI