Cerpen Online: Angin Pada Mekar Kuntum Sakura

Monday, August 24, 2009

"Izinkan aku membayar kebejatan bangsaku, Kiki."

Sakura menggebu seumpama gumpalan salju bertinta pancaran mentari di hujung ranting pepohonan ceri sepanjang laluan pejalan kaki Hiroshima Peace Memorial Park. Wangian enak tunak tertebar menusuk indera bau. Kirana menghirup nafas sedalam-dalam. Kelibat kuntuman sakura merah-putih beriring gugusan buah ceri masam ditatap sepuas-puas sebelum tangan menghala lensa. Sekali petik dengan bantuan fokus automatik, imejan Genbaku-dome atau acap juga disebut Kubah Bom Atom dan jambangan sakura di pinggir Sungai Motoyasu bercantum sebagai piksel-piksel digital.

O-hanami sedang memuncak. Menurut laporan rasmi agensi kaji cuaca Jepun, musim bunga di Hiroshima pada tahun ini tidak banyak berselisih daripada musim lalu. Setelah sakura zensen tiba pada pertengahan bulan Mac menandakan bermulanya kaika atau tempoh mekar pertama, para penduduk setempat hanya mempunyai seminggu dua untuk menghargai kuntum-kuntum sakura kembang penuh, atau mankai. Ketika ini, sakura-sakura kembang yang disebak tiupan angin akan berguguran, semacam emping-emping salju yang rapuh dan suci.

Oleh sebab itu, masyarakat Jepun tidak melepaskan kesempatan untuk membentang gebar tipis dan membuka bekalan okonomiyaki dan takoyaki lalu berkelah bersama ahli keluarga dan teman-teman. O-hanami sebetulnya bukan sekadar aktiviti riadah-santai yang sia-sia. Argh, orang-orang Jepun bukankah terkenal kuat bekerja? Jika tidak, mustahillah sehari selepas Hiroshima hancur dibedil bom-bom atom, rangkaian perkhidmatan trem awam kembali meluncuri rel-rel khas sekitar kota. Bekalan elektrik pula berjaya dipulihkan sepenuhnya dua hari kemudian. O-hanami, secara literal diterjemah sebagai ‘melihat bunga’ sebetulnya adalah tradisi melepas lelah, jauh berakar sejak era Heian pada abad kelapan sebelum diteruskan kesinambungannya oleh Hideyoshi Toyotomi, syogun agung dari Osaka yang menyatukan seluruh Jepun pada tahun 1598.

Tetapi Genbaku-dome .…

Kirana mengemam bibir sedang tangan ringan mengacu lensa. Alistair James Henry - jejaka Amerika yang diakrabi tatkala mengaji di Tokyo Daigaku yang berprestij, kini terlontar bertugas di hospital pangkalan tentera milik pentadbiran negaranya di Pulau Okinawa dan Genbaku-dome, sisa-sisa cerucuk besi sebuah bangunan agam yang pernah bergelar Hiroshima Prefectural Industrial Promotion Hall menyatu dalam foto. Bangunan itu asalnya telah direka bentuk oleh Jan Letzel, arkitek dari Republik Czech dan pernah menjadi lambang kemakmuran kegiatan perdagangan dan perkilangan di Hiroshima sebelum lebur ditabrak bom-bom atom hunjaman pesawat-pesawat pejuang Amerika Syarikat tepat jam 8.15 pagi pada 6 haribulan Ogos tahun 1945. Tidakkah ironik?
Rebecca Ilham

Kirana menurunkan kamera. Alistair telah berulang kali menawarkan sesuatu untuk menebus kebobrokan bangsanya membunuh kemanusiaan dan memusnahkan ketamadunan di Hiroshima pada suatu masa dahulu. Sesuatu yang didamba oleh seorang gadis Jepun, anak Hiroshima jati yang mengabdi diri menekuni cabang fizik nuklear, kini meniti takah-takah hidup dengan mengusung sepasang ginjal sifar fungsi.

“Tidak semudah itu untuk engkau membasuh dosa-dosa besar Albert Einstein dan sekian ramai rakan saintis lain yang menggeluti Projek Manhattan, Ali,” dia mengujar tegas.

“Tidak pula engkau salahkan Franklin Delano Roosevelt, pemegang tampuk pemerintahan Rumah Putih ketika itu .…” Alistair menduga.

“Roosevelt hanyalah boneka. Dokumentasi sejarah membuktikan dalang sebenar di sebalik pembinaan bom atom pertama adalah para saintis pelbagai bangsa yang berkubu di sebalik dinding makmal universiti-universiti bertaraf Ivy League di Amerika.”

“Engkau merujuk surat desakan Albert Einstein pada tahun 1939 yang melobi Presiden Roosevelt agar Rumah Putih menyalurkan dana kepada penyelidikan berkaitan potensi bom atom pertama dicipta?”

Kirana mengangguk. “Tetapi bukan Einstein seorang adalah pencetus. Leo Szilard, ahli fizik Yahudi dari Jerman telah bermain sentimen politik dengan membayangkan Adolf Hitler akan terlebih dahulu memiliki senjata nuklear andai Amerika Syarikat tidak cakna bertindak. Perlu diingat, Szilard terhalau dari tanah airnya oleh kegilaan Hitler menulenkan bangsa Aryan di Eropah. Tentu sahaja dia menyulam dendam sehingga merangka surat yang kemudiannya tanpa ragu ditandatangani Einstein sebelum dikirim kepada Roosevelt.”

“Tetapi konsepsi Projek Manhattan tidak akan diterjemah sebagai kenyataan tanpa bantuan Rumah Putih, Kiki,” Alistair mengingatkan.

“Argh, Roosevelt hanya seorang politikus! Tahukah dia tentang segala implikasi bom-bom atom yang bersungguh disembunyikan para saintis?”

“Suatu perspektif menarik, sementelah ia diluahkan oleh seorang saintis juga. Selama ini, aku hanya mengenal engkau sebagai Profesor Kirana Shinomiya, penggubal dasar di Institut Nuklear Antarabangsa dan pengkritik utama hasrat kerajaan Jepun menyertai perlumbaan membangunkan senjata nuklear.”

Kirana membuang pandang ke tengah Sungai Motoyasu yang memisahkan Hiroshima Peace Memorial Park atau Hiroshima Heiwa Kinen Koen kepada dua bahagian. Tebingan barat menampung Genbaku-dome, sementara tugu memperingati korban kanak-kanak tertegak di tebingan timur. Kedua-dua bahagian ini dihubungkan oleh Aioi Bridge yang berbentuk T, suatu inovasi tanpa mengabaikan binaan asal daripada logam tempa. Seperti Hiroshima Prefectural Industrial Promotion Hall yang tinggal nama, Aioi Bridge yang asli juga hanya tinggal sejarah apakala ia dicairkan rembesan radiasi bom-bom atom bersuhu lebih 3000 darjah Celcius pada pagi jahanam 6 Ogos tahun 1945.

“Sungguh pun lahir sebagai anak jati Hiroshima, entah mengapa sejak kecil jiwaku tidak memesrai impak zahir dan batin bom atom yang digelar Little Boy itu. Sebaliknya, minatku lebih terarah kepada mekanisme seni, punca yang menjadikan bom-bom atom berkenaan senjata yang amat digeruni.”

Kening Alistair terjungkit sebelah. “Maksudmu mekanisme pembelahan atom?”

Kirana mengiyakan. “Proses pembelahan atom sebenarnya amat menakjubkan, Ali. Seperti yang engkau ketahui, atom merupakan antara zarah paling seni dalam hierarki pengkelasan fizik partikel. Ia juga adalah teras kepada setiap unsur yang wujud di atas muka bumi ini dan strukturnya sangat mirip dengan aturan galaksi di angkasa di mana neutron dan proton sentiasa diorbit oleh elektron yang bercas negatif. Biar pun begitu, hanya unsur-unsur tertentu sahaja yang berpotensi untuk membebaskan tenaga berskala tinggi apabila atom-atomnya dibelah. Unsur pilihan Einstein dan rakan-rakan adalah uranium, atau setepatnya isotop uranium dengan jumlah nombor jirim sebanyak 235.

Pilihan ini dibuat berikutan sifat unsur berkenaan yang tinggi kandungan radio aktifnya. Isotop uranium itu diasingkan di dalam reaktor khas yang dindingnya diperbuat daripada plumbum kerana hanya material itu sahajalah yang tidak lut diterjah pancaran sinaran radioaktif apabila atom-atom dipisahkan menggunakan tembakan neutron tambahan. Renung-renungkanlah Ali, bahkan di dalam makmal sekali pun uji kaji dikawal sedemikian ketat, inikan pula bom-bom atom yang mengalami tindak balas berantai di udara tanpa sebarang agen pengawal, apatah lagi secebis benteng kebal. Penduduk Hiroshima sebenarnya adalah mangsa pembunuhan terancang!”

“Sepatutnya pada peringkat ini, Roosevelt dimaklumkan secara jujur. Projek Manhattan tidak mungkin diluluskan dan Hiroshima tidak akan lebur.” Alistair menggeleng-geleng kesal.

“Sayangnya dalam arena politik, kehebatan fenomena sains telah dieksploitasi untuk mewajarkan propaganda. Aku berpendapat politik ditunjangi pengaruh para saintis bercapah natijahnya. Ia sepatutnya membawa kebaikan, tetapi tidak mustahil memudaratkan. Kami para saintis tidak mempunyai Hippocratic Oath yang khusus memperincikan tanggungjawab sosial terhadap masyarakat seperti kalian pengamal perubatan, sebaliknya hanya berbekalkan kompas moral peribadi yang andai tidak pula berpaksikan agama akan kerap digugah pelbagai perkara. Argh, mencampuri politik bukankah menjanjikan kuasa?” Tona keras tetapi sayu intim berdesir.

Sekumpulan pelajar berseragam biru-putih menghingar di keliling mereka, riuh menghambur kekaguman sambil saling bertukar-tukar nota. Kirana tidak berlengah menawarkan khidmat tatkala mereka mula bergambar.

“Kau menyebut tentang kompas moral, tentang agama …” Alistair membangkitkan setelah Kirana usai berkhidmat percuma. Gadis itu segera tersenyum lunak.

“Jikalau bom atom di Amerika telah membutakan para saintis dengan kuasa, bom atom di Hiroshima pula telah mencelikkan mata hatiku terhadap kewujudan Tuhan.”

“Tuhan?” Alistair membulatkan mata. “Tidakkah engkau sememangnya penganut Shinto yang mempercayai kewujudan dewa-dewi pengurnia rezeki?”

Kirana tergelak besar. “Tuhan yang ini lain, Dia bukan tuhan olok-olok seperti dongengan dari kayangan yang mengulit lenaku sejak anak-anak, Ali. Tuhan nan satu ini malahan menyebut tentang kewajipan memikul tanggungjawab sosial dalam kitab al-Quran melalui ayat-ayat terpilih.”

“Engkau seorang Muslim?” Alistair semakin terbuntang. Kirana sayugia memperakukan. “Ya, aku seorang isuramukyouto. Sepanjang bergelar saintis, barangkali inilah penemuanku yang paling cemerlang, iaitu Tuhan. Kau tahu, sewaktu mula-mula didiagnosis dahulu, aku pernah membawa diri ke rumah ibadat tertua penganut Shinto iaitu Itsukushima-jinja lalu menghentak kaki di hadapan patung dewa, menyalahkan arca pegun yang pernah aku sembah sebagai kuasa paling tinggi itu kerana tidak putus-putus mengutus perkhabaran celaka kepada keluargaku. Nenekku terselamat daripada maut pada 6 Ogos lebih 63 tahun lalu, tetapi darah beracunnya diperturunkan kepada ibuku. Ibuku menderita sebelum akhirnya meninggal dunia akibat leukemia pada usia muda. Kemudian aku, aku yang sihat sehingga menjangkau usia lebih suku abad sebelum disahkan rosak kedua belah pinggang.”

“Tetapi kemudiannya engkau bertemu Tuhan .…”

“Ya, aku bertemu Tuhan yang memesan melalui Ayat 165 Surah Al -An’am bahawa ‘Dan Dialah yang menjadikan kamu khalifah di bumi dan meninggikan setengah kamu atas setengahnya yang lain beberapa darjat kerana dia hendak menguji kamu pada apa yang telah dikurniakan-Nya kepada kamu. Sesungguhnya Tuhanmu amatlah cepat azab seksa-Nya dan sesungguhnya Dia Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.’ Mungkin dugaan ini adalah peringatan, Ali, bahawa aku sebagai manusia yang seharusnya memimpin, seorang saintis, terpesong dalam melaksanakan amanah itu. Argh, apa sahajalah ujian di dunia yang sementara andai dibandingkan kekhilafan yang pasti kesudahannya kuusung sehingga ke alam seterusnya!”

Khali. Kirana membiarkan kalimah-kalimah akhir berkelintar dihadam Alistair. Angin mengengsot lalu, menghantar geletar ke seluruh kujur seorang lelaki Amerika yang kaku. Kirana membuka telapak, menyambut sekuntum sakura mekar yang meliuk-lentuk gugur dipukul alunan bayu lalu dibawa rapat ke hidung. Ah, wangi!

“Oleh sebab itu, kerana ia semacam peringatan, maka engkau menolak pemberianku?”

Kirana tergelak lagi. Raut keliru Alistair dicenungnya bersungguh. “Ali, jikalau mahu memberi, hulurkanlah dengan ikhlas. Tidak sepatutnya engkau meletakkan harga untuk sebelah organ bernilai itu. Sesungguhnya menerima sesuatu di atas sesuatu yang lain, sesuatu yang tidak akan tertebus terlalu meralatkan!”

Kirana menghembus nafas, meniup pergi kuntuman sakura di tangan. Alistair memerhati dengan ralit. Argh, perawan Jepun yang manis sememangnya sukar ditelah atau hanya Kirana Shinomiya yang sebegini istimewa?

Angin mengelus, seolah-olah membalas pertanyaan bisu.

Karya:
REBECCA ILHAM

Biodata Penulis

REBECCA ILHAM adalah nama pena bagi Hazwani Rameli, Ketua I Grup Karyawan Luar Negara (GKLN) dan salah seorang moderator GKLN Cawangan Amerika Syarikat. Graduan Kejuruteraan Petroleum, Colorado School of Mines, Amerika Syarikat ini, pernah memenangi tempat kedua Pertandingan Menulis Esei Berunsur Sejarah Peringkat Negeri Pulau Pinang pada 2000. Puisi dan cerpennya, Hakikat Seni, Di Bawah Langit Manchester dan Yang Aneh Itu Lelaki pernah tersiar dalam majalah Dewan Siswa serta Dewan Kosmik. Selain itu, cerpen Langit Lazuardi dan Mencari Tuhan di Celahan Cambrian pernah tersiar dalam ruangan Susastera Berita Minggu, cerpen Senja-Senja Brasilia dalam akhbar Mingguan Malaysia dan cerpen Menjadi Naurah dalam majalah Sastera.net edisi bulan Disember 2007.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI