Helah pengemis kolar putih

Wednesday, August 12, 2009

Berbekalkan pakaian buruk, sesetengah pekerja pejabat dikatakan menyamar sebagai peminta sedekah setiap hari bagi menambah pendapatan di tengah London.

Mereka didakwa menukar pakaian sebaik saja pulang dari pejabat dan menghabiskan petang menadah tangan bagi menarik simpati orang ramai.

Pada ketika tertentu, mereka dikatakan boleh mendapat kutipan sehingga RM1,200 sehari.

Seorang daripada mereka berkata, dia bercadang menggunakan wang diperoleh daripada meminta sedekah untuk membeli dapur baru di apartmennya.

Kelmarin, polis memberi amaran, berlaku peningkatan jumlah peminta sedekah profesional bagi mengatasi masalah kegawatan ekonomi.

Sesetengah mereka, kata polis, mengumpul sehingga ribuan ringgit wang setiap hari dan ia tidak pernah dikenakan cukai.

Pegawai polis Leicester berkata, mereka melakukan operasi antipengemis selepas mendapati, tiada seorang pun daripada 20 peminta sedekah ditahan dua minggu lalu tidak memiliki rumah.

Katanya, mereka boleh mendapat kutipan lebih RM1,000 terutama pada hujung minggu.

“Jika itulah perolehan mereka dua kali seminggu, mereka boleh mengumpul £21,000 (RM126,000) setahun bagi menambah pendapatan melalui gaji bulanan,” katanya.

Turut menyedihkan, katanya, ramai orang diperdaya kerana mereka menyangka peminta sedekah itu benar-benar memerlukan bantuan.

“Jika orang ramai tahu peminta sedekah itu sebenarnya memiliki tempat tinggal dan makanan mencukupi di rumah, adakah mereka akan menderma juga?” katanya.

Sebelum ini polis mengambil pendekatan ‘tiga kesalahan’ ke atas peminta sedekah sebelum dikenakan tindakan.

Polis boleh menahan dan mendakwa peminta sedekah itu di mahkamah jika mereka ditahan kerana mengemis pada kali ketiga. - Agensi

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI