Majalah Wanita kini 40 tahun

Tuesday, August 25, 2009

Bermula dengan moto 'Majalah Untuk Semua Peringkat Wanita', keluaran sulung majalah Wanita membuka wadah pembacaan khusus untuk kaum hawa pada tanggal 13 Ogos 1969.

Biarpun ketika itu baru 12 tahun mencapai kemerdekaan, Malaysia berjaya menghasilkan wanita-wanita hebat yang mencatat kejayaan sehingga dikenali dalam bidang masing-masing tidak kira politik, ekonomi, industri perkhidmatan mahupun senario hiburan tempatan.

Justeru edisi pertama majalah Wanita yang ketika itu diterajui Allahyarham Harun Hassan atau lebih mesra dengan panggilan Pak Harun di kalangan para wartawan menghadapi cabaran tersendiri dalam menyajikan bahan-bahan yang mampu memacu ideologi wanita ke arah pemodenan.

Nik Rahimah Hassan yang diberi penghormatan mengambil alih tugas Pak Harun tidak lama selepas itu memikul tanggung jawab besar untuk mengkaji bahan-bahan bacaan yang sesuai tanpa terlalu terikut-ikut dengan gaya penulisan media Barat.

"Zaman 1960 dan 1970-an, pencapaian wanita secara keseluruhannya masih dianggap tidak setaraf dengan lelaki tetap sebenarnya sedang menuju ke arah itu.

"Tumpuan diberikan kepada berita-berita yang membakar semangat kaum wanita untuk memperbaiki diri sendiri, berdikari, mencapai hak dan membebaskan diri dari kekangan ekonomi ketika itu," katanya yang memegang jawatan Pengarang Majalah Wanita selama 13 tahun.

Roseminah Ahmad memberitahu, ketika itu bahan dari agensi berita luar negara menjadi rujukan untuk mencipta sesuatu kolum yang diharapkan dapat menarik perhatian pembaca.

Dahulu, jelasnya, setiap wartawan, pengarang dan pemberita wanita (akhbar Utusan Malaysia) menyumbang artikel sama ada dalam bentuk rencana luar negara, susulan berhubung sesuatu isu atau pengalaman penulis berdepan pengalaman menarik seperti berjumpa kerabat diraja, VIP dan tokoh negarawan.

"Yang penting, bahan-bahan perlu sesuai untuk semua lapisan wanita tidak mengira di dalam atau luar bandar. Pengarang memikul tugas berat mengkaji kehendak pembaca dan mengangkat tahap pemikiran mereka, bukan merendah-rendahkan," ujarnya yang turut menyumbangkan tulisan- tulisannya sejak edisi pertama majalah Wanita ketika bertugas sebagai wartawan Utusan Malaysia pada awal 1970-an.

Beliau yang berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan dan merupakan Tokoh Kewartawanan Negeri Selangor 2008 memegang jawatan Pengarang Majalah Wanita selama tujuh tahun, mulai Julai 1986 sehingga September 1993.

Antara yang pernah menjadi Pengarang Majalah Wanita adalah Faridah Idris mulai Ogos 1980 hingga Januari 1983; Maimunah Yusuf (1983-1986); Wirda Adnan (1993-1997); Normala Hamzah (1997-2003) dan Noor Hazani Musa (2003-2006).

Selain itu, Mahani Awang (2006-2008) dan Norimy Aimi (April 2008-Mei 2009). Normala kembali semula menerajui WANITA pada Jun tahun ini.

Bekas-bekas Pengarang Majalah Wanita ini diraikan pada Majlis Minum Petang Anggun 40 Bersama Wanita di Hotel Nikko, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Majlis anjuran Majalah Wanita terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. (UKSB) itu diadakan sempena menyambut ulang tahun majalah Wanita yang ke-40, diterbitkan buat pertama kalinya pada 13 Ogos 1969.

Turut hadir Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Senator Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Tan Sri Zainuddin Maidin serta Datuk Johan Jaaffar.

Hadir sama, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan, Tan Sri Mohamed Hashim Ahmad Makaruddin; Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Ketua Pengarang Majalah UKSB, Badrul Azhar Abdul Rahman.

Sementara itu, tiga pembaca setia majalah Wanita turut diberi penghargaan iaitu Roziah Che Mat dari Sungai Petani, Kedah; Jama'iah Suhaili dari Petrajaya Kuching, Sarawak dan Sharifah Zainol dari Tanjong Kling, Melaka.

Mereka berjaya mengumpul sejumlah 480 naskah majalah Wanita sejak keluaran pertama.

Di samping itu, majlis turut diserikan dengan kemunculan salah seorang penghias kulit majalah Wanita yang pertama iaitu Zaimah Alias.

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI