Selesema babi pandemik paling buruk dunia

Tuesday, August 25, 2009

Pada 11 Jun lalu, Pertubuhan Kesihatan Sedunia mengisytiharkan pandemik H1N1 telah berada di tahap enam, menjadi pandemik global pertama sejak selesema Hong Kong pada 1968.

Percaya atau tidak, walaupun dengan hanya 27 juta penduduk, Malaysia merupakan antara negara yang mencatatkan jumlah kes selesema babi paling tinggi di dunia.

Malah sehingga Selasa lepas, kita menduduki tempat kelapan jumlah kematian tertinggi dunia ekoran wabak maut itu dengan 67 kematian dari 4,225 kes disahkan positif.

Pandemik selesema babi ialah satu wabak terkini yang melanda penduduk dunia secara besar-besaran. Wabak ini adalah ekoran jangkitan strain baru daripada virus selesema Influenza A, subjenis H1N1.

Sebagai perbandingan, sehingga Selasa lepas, seluruh dunia mencatatkan 242,872 kes yang disahkan positif manakala angka kematian telah mencecah seramai 2,267 orang.

Amerika Syarikat mencatatkan jumlah kes positif dan kematian paling tinggi iaitu 46,948 kes dengan 477 kematian.

Ia diikuti Argentina, Brazil, Mexico, Australia, Chile, Thailand, Malaysia, Kanada dan Britain.

Bagaimanapun Jerman, Jepun dan China masing-masing mencatatkan kes positif seramai 11,103 orang, 5,022 orang dan 2,350 orang tetapi masih belum ada kematian yang dicatatkan.

Selesema Spanish 1918

Sepanjang abad ke-20, strain virus influenza A adalah punca tiga pandemik selesema terbesar dunia, iaitu selesema Spanish pada tahun 1918, selesema Asia pada 1956 hingga 1958 dan selesema Hong Kong pada 1968 hingga 1969.

Seluruh dunia, dianggarkan sehingga satu bilion orang dijangkiti selesema Spanish yang telah menyebabkan anggaran jumlah kematian sehingga 100 juta orang.

Pandemik influenza A terkini pertama kali dikenalpasti pada April 2009 bermula di Mexico, dipercayai ia telah menular beberapa bulan sebelum itu sebelum ia dikenalpasti sebagai satu wabak.

Justeru, kerajaan Mexico mengambil langkah menutup hampir semua pejabat dan kemudahan awam serta swasta di seluruh bandar Mexico sebagai langkah membendung wabak tersebut.

Ia merebak dengan mudah di hemisfera selatan ekoran ia berada di musim selesema musim sejuk dan negara-negara membangun yang mempunyai sistem penjagaan kesihatan terhad.

virus ini telah menyerang ratusan ribu mangsa di seluruh dunia dalam masa beberapa bulan sahaja.

Penularannya secara mendadak menyebabkan selesema babi diistiharkan sebagai pandemik dunia pada 11 Jun lepas.

Biasanya, ia merebak melalui batuk, bersin dan sentuhan permukaan yang tercemar. Simptomnya serupa dengan selesema biasa termasuk demam, bersin, sakit tekak, sakit kepala dan sakit-sakit sendi yang biasanya kekal selama seminggu.

Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) mendapati kebanyakan kematian melibatkan mereka yang mempunyai sistem imunisasi yang lemah atau masalah kesihatan seperti asma, obesiti atau penyakit jantung.

Dalam satu kajian yang diterbitkan oleh jurnal perubatan New England Journal of Medicine mendapati 94 peratus daripada pesakit yang disahkan positif menghidap selesema babi mendapat demam panas, manakala 92 peratus pesakit mendapat batuk.

Mereka yang berisiko tinggi mendapat komplikasi serius termasuk warga tua yang berusia melebihi 65 tahun, kanak-kanak yang berusia kurang lima tahun, wanita mengandung.

Data CDC menunjukkan lebih 70 peratus daripada kes yang dimasukkan ke hospital ialah mereka yang mempunyai masalah kesihatan.

Di awal penyebarannya, kebanyakan kes di luar Amerika Utara berpunca dari lawatan ke AS dan Mexico, bagaimanapun penyebaran di dalam negara telah dilaporkan di sekurang-kurangnya 89 negara seawal bulan Jun.

Media seluruh dunia menggelarkan influenza ini sebagai selesema babi kerana virus terbaru itu adalah sejenis influenza yang berasal dari strain virus yang terdapat di kalangan haiwan tersebut. Walaupun, pegawai rasmi kesihatan antarabangsa telah mengesahkan bahawa daging babi selamat dimakan, beberapa dozen negara masih mengharamkan import daging babi dari AS.

Terlepas pandang

Terdapat juga pakar yang mendakwa pegawai rasmi kesihatan seluruh dunia telah terlepas pandang akan risiko kumpulan babi sebagai penyebab strain influenza baru, sedangkan tumpuan yang lebih banyak telah diberikan kepada ancaman selesema burung.

Penyelidik berpendapat perdagangan babi hidup di antara Eurasia dan Amerika Utara telah membantu mencampuradukkan strain-strain berlainan virus influenza babi sehingga menyebabkan pembentukan strain virus H1N1 yang terbaru.

Tambahan pula, virus influenza H1N1 kali ini disifatkan oleh pakar virologi dari Universiti Hong Kong, Guan Yi, sebagai sangat tidak stabil yang bermakna ia boleh bercampur dan memindahkan bahan genetik apabila terdedah dengan virus lain memudahkannya untuk bermutasi.

Malah pandemik terbaru ini juga menyebabkan para penyelidik mengesyaki punca utama wabak 2009 ialah kekurangan pemantauan daripada industri babi memandangkan penternakan haiwan itu terlalu diindustrikan.

Terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesahkan bahawa jumlah jangkitan baru di hemisfera selatan kelihatannya telah memuncak dan kemudiannya mula berkurang di negara seperti Argentina, Chile, Australia dan New Zealand.

Bagaimanapun, badan itu mendapati penularan virus itu semakin aktif dengan jangkitan baru yang semakin meningkat di negara-negara Asia termasuk Thailand, India, Vietnam dan Malaysia.

Memandangkan virus tersebut boleh merebak dengan mudah, sama ada melalui udara atau sentuhan, mereka yang dijangkiti sewajarnya dikuarantin di rumah dengan tidak ke sekolah, ke tempat kerja atau tempat-tempat awam.

CDC mencadangkan orang ramai yang mengalami tanda-tanda selesema untuk tinggal di rumah selama tujuh hari dan jangan keluar atau kembali ke pejabat atau sekolah sehinggalah 24 jam selepas sihat sepenuhnya.

Dalam usaha mengawal penularan selesema babi, beberapa negara terutama Asia telah mengenakan arahan kuarantin terhadap penumpang kapal terbang yang mempunyai simptom selesema, malah ada negara yang mewajibkan pemeriksaan kepada penumpang.

Langkah penutupan sekolah bagaimanapun dianggap strategi yang tidak efektif. Bak kata Penguasa Kesihatan Awam Houston, David Persse, penularan virus tersebut terlalu mudah dan pantas di kalangan pelajar sekolah hinggakan apabila sekolah ditutup sebenarnya sudah terlewat.

Kebanyakan negara kini menasihatkan rakyatnya supaya menangguhkan perjalanan ke luar negara, serta memantau mereka yang baru pulang dari kawasan yang dijangkiti.

Sebagai langkah pencegahan, banyak syarikat penerbangan telah membaiki prosedur kebersihan terhadap penerbangan antarabangsanya bagi mengurangkan risiko termasuk memasang penapis udara, pemeriksaan suhu terhadap semua penumpang dan menyediakan tuala dengan antiseptik.

Ada juga negara yang menguatkuasakan perintah kuarantin yang sangat ketat terhadap pelancong termasuk kerajaan China yang mengarahkan 21 pelajar dan tiga guru dari AS berkurung di dalam bilik hotel mereka ekoran salah seorang penumpang kapal terbang disyaki mengidap selesema babi.

Di Hong Kong pula, sebuah hotel mengkuarantinkan kesemua 240 tetamu selepas salah seorang tetamu disahkan mengidap virus tersebut, sementara kerajaan Australia mengarahkan sebuah kapal pesiar dengan 2,000 penumpang supaya tidak mendarat selama seminggu.

WHO menjangkakan vaksin penuh untuk virus itu tidak akan ditemui sebelum akhir 2009, jika ada pun mungkin terhad dan akan diberikan terlebih dahulu kepada kakitangan kesihatan, wanita mengandung dan lain-lain kumpulan berisiko tinggi.

Mereka juga bimbang virus influenza A itu boleh bermutasi lagi dan menjadikannya sebarang vaksin baru juga mungkin tidak berkesan.

Oleh WAN SHAHARA AHMAD GHAZALI

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI