Noordin Mohammad Top hantar e-mel

Friday, August 14, 2009

Seorang lelaki yang mengaku sebagai pengganas paling dikehendaki di Indonesia, Noordin Mohammad Top (gambar) dipercayai menghantar e-mel kepada sebuah laman web tempatan iaitu BAGUSTV.com di sini, lapor akhbar semalam.

Dalam mesej yang disiarkan laman itu, dia mengancam akan meneruskan kegiatan keganasannya.

Lelaki itu turut mengaku sebagai pengganas yang diburu oleh pihak berkuasa Indonesia selama ini.

Pengirim itu juga mengesahkan bahawa lelaki yang maut dalam serbuan pihak polis di Temanggung, Jawa Tengah pada Sabtu lalu ialah Ibrohim alias Boim.

Dia mendakwa berada di situ pada waktu kejadian bersama Ibrohim dan dua orang pengawalnya.

Namun, pengirim yang mendakwa Noordin itu mendakwa dia berjaya meloloskan diri daripada kepungan polis.

Pesanan itu turut menjelaskan bahawa dia tidak berhasrat menyerah diri sehingga tentera Amerika Syarikat (AS) berundur dari Iraq dan negara Islam lain.

"Saya tidak pernah menyerah sebelum Amerika dan sekutunya keluar dari Iraq atau negara Islam lain.

Antara alasannya perjuangannya ialah dia mahu membalas perbuatan AS dan sekutu-sekutunya terhadap saudara seagamanya.

Noordin turut menyatakan AS dan sekutunya itu ialah pencuri dan perompak barang berharga di Indonesia.

Pada akhir e-mel itu, dia merujuk dirinya sebagai ketua atau Amir Tandzim Al-Qaeda Indonesia dengan nama Abu Mu'awwidz Nur Din bin Muhammad Top.

Pada Jumaat lalu, polis Indonesia melancarkan gerakan memburu Noordin dengan mengepung sebuah rumah di Temanggung selama 17 jam.

Bagaimanapun, seorang lelaki yang ditembak mati dalam rumah itu didapati bukan Noordin tetapi Ibrohim berdasarkan keputusan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang diumumkan kelmarin.

Mengulas e-mel tersebut, seorang pegawai polis iaitu Sulistyo Ishak berkata, pihaknya berusaha mencari siapakah pengirim sebenar e-mel itu. - Agensi

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI