Penganggur wajib daftar di Jabatan Tenaga Kerja

Tuesday, August 25, 2009

Persatuan Pembekal dan Pengurusan Tenaga Kerja Asing Malaysia (Tekam) mencadangkan agar kerajaan mewajibkan setiap penganggur di negara ini mendaftarkan diri mereka dengan Jabatan Tenaga Kerja di setiap daerah.

Presiden Tekam, Datuk Baharum Ghani berkata cadangan itu telah dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri yang mempengerusikan Jawatankuasa Kabinet Pekerja Asing dan Pendatang Asing Tanpa Izin.

"Menerusi pendaftaran secara wajib ini, syarikat yang terlibat dalam sektor perkilangan, perkhidmatan, peladangan dan pertanian hanya perlu berhubung dengan pejabat Jabatan Tenaga Kerja yang terdapat di setiap daerah untuk mendapatkan pekerja tempatan," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata pendaftaran secara wajib penganggur negara ini juga akan memastikan rakyat tempatan berhenti daripada menyalahkan syarikat yang sering didakwa mementingkan pekerja asing berbanding pekerja tempatan.

"Jikalau mereka (penganggur tempatan) mahu bekerja, mereka perlu mendaftarkan diri di pejabat Jabatan Tenaga Kerja di setiap pelusuk negara ini," katanya.

Baharum berkata memorandum mengenai cadangan Tekam itu juga diserah kepada Kementerian Dalam Negeri yang bertanggungjawab terhadap keluluskan kemasukan pekerja asing dan Kementerian Sumber Manusia.

Beliau berkata hanya selepas syarikat gagal mendapatkan pekerja tempatan di pejabat-pejabat Jabatan Tenaga Kerja daerah, barulah mereka dibenar mengambil pekerja asing.

Tekam juga katanya, meminta prosedur untuk mengambil pekerja asing dipermudah dan dipercepatkan kerana sebarang penangguhan akan menjejaskan operasi syarikat. - Bernama

0 Komen:

Post a Comment

 

ZONFINITI